Ketam labah-labah semakin membesar
WEYMOUTH - Seekor ketam labah-labah gergasi seberat 15 kilogram semakin membesar selepas ia ditangkap oleh seorang nelayan di Heda, Teluk Suraga, barat daya Tokyo, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketam labah-labah Jepun itu pada mulanya mahu dijual untuk dijadikan hidangan makanan.
Bagaimanapun, nelayan itu menghubungi seorang ahli biologi yang bekerja dengan Akuarium Sea Life Weymouth di Britain, Robin James.
James pernah melawat kampung nelayan itu beberapa minggu sebelum ketam tersebut ditangkap.
Ahli biologi tersebut kemudian mengatur rancangan untuk menyelamatkan ketam labah-labah itu daripada dibunuh untuk dijadikan makanan.
Kakitangan di akuarium itu percaya bahawa ketam tersebut adalah yang paling besar pernah dipelihara di dunia.
Ketam labah-labah yang berusia 40 tahun itu kini dipamerkan di akuarium tersebut di Weymouth, Dorset, Britain sebelum ia dipindahkan ke Munich, Jerman. - Agensi
Wartawan AS jadi mangsa serangan seksual
NEW YORK - Seorang wartawan stesen televisyen CBS, Lara Logan menjadi mangsa serangan seksual oleh sekumpulan lelaki ketika dia membuat liputan mengenai pergolakan di Mesir.
Menurut kenyataan stesen itu, kejadian tersebut berlaku semasa Logan, 39, berada di Dataran Tharir, Kaherah pada Jumaat lalu terpisah daripada anggota-anggota kumpulannya pada Jumaat lepas.
"Dia dan pasukannya serta petugas-petugas keselamatan mereka dikelilingi golongan berbahaya semasa orang ramai meraikan pengunduran Hosni Mubarak. Dia dikelilingi lebih 200 orang yang hilang akal," jelas CBS.
Menurut kenyataan itu, Logan dikelilingi dan mengalami serangan seksual yang kejam selain dipukul sebelum dia diselamatkan oleh sekumpulan wanita serta kira-kira 20 askar Mesir.
Wartawan itu terpisah daripada kumpulannya di antara 20 hingga 30 minit.
Menurut sumber akhbar Wall Street Journal, Logan, 39, yang merupakan ibu dua anak tidak dirogol
Dia diterbangkan ke Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu dan kini beransur pulih selepas menerima rawatan di sebuah hospital di New York.
Wanita kelahiran Afrika Selatan itu yang pernah membuat liputan konflik di Iraq dan Afghanistan merupakan antara koresponden peperangan paling dikenali di AS.
Dia dilantik sebagai ketua koresponden asing CBS pada 2006. - Agensi
Penyu gergasi ganggu majlis perkahwinan
LONDON - Seekor penyu gergasi mengganggu satu majlis perkahwinan yang diadakan di dalam Akuarium Sea Life di sini pada Isnin lalu.
Insiden itu berlaku semasa pengantin lelaki menyarungkan cincin di jari pengantin wanita.
Seekor penyu gergasi itu kemudian menghampiri mereka sebelum ia menggigit gaun pengantin perempuan, Kathryn O'Connor.
Kathryn dan pengantin lelaki, James Oliver kemudian bertindak menolak penyu tersebut dengan tangan mereka.
Oliver kemudian meneruskan majlis perkahwinan dengan mendukung isterinya itu manakala seorang jurugambar merakamkan peristiwa melucukan itu. - Agensi
DUNIA
Sepasang naga dilihat di Kalimantan
KUTAI BARAT - Penduduk di Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur digemparkan dengan kemunculan sepasang naga raksasa sebesar sepanjang 40 meter.
Haiwan itu dilihat menyusur di permukaan air di Sungai Mahakam yang menghubungkan Riam Haloq, Kampung Long Tuyoq, Kecamatan Long Pahangai di sini.
Naga raksasa seperti ular itu didapati melintas di sungai ini diyakini masyarakat suku Dayak sebagai naga.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh akhbar Tribun, peristiwa kemunculan naga tersebut berlaku pada 29 Januari lepas.
Pada hari kejadian, sejumlah penumpang dan pemandu sebuah bot panjang yang dalam perjalanan ke sini melihat sepasang naga mirip ular raksasa itu melintas di permukaan Sungai Mahakam dari arah berlawanan.
Bimbang mereka akan menjadi korban haiwan raksaksa itu, pemandu bot berkenaan mengemudi botnya ke tepi sungai untuk memberi laluan.
"Kedua-dua ekor naga itu bergerak terus dan tidak merasa terganggu dengan kehadiran bot itu," kata seorang penduduk tempatan, Dodik, yang mendengar tentang peristiwa itu daripada keluarganya di Mahakam Ulu.
Pemandu dan beberapa penumpang bot itu kemudian merakamkan gambar raksaksa tersebut dengan menggunakan telefon bimbit berkamera.
Gambar-gambar naga raksasa itu kemudian tersebar dan menggemparkan masyarakat tempatan.
Menurut seorang penduduk di sini, terdapat dua naga yang dilihat. Salah satu haiwan itu dipercayai jantan kerana terdapat dua tanduk di kepala manakala naga betina pula tidak bertanduk.
Kedua-dua haiwan itu memiliki empat kaki, kulit berwarna hitam dengan panjang sekitar 40 meter. - Agensi
DUNIA
Kapal selam seludup dadah berhawa dingin
BOGOTA - Tentera Colombia buat kali pertama merampas sebuah kapal selam penyeludup dadah berhawa dingin yang mampu menyelam sedalam tiga meter dan melakukan perjalanan jauh sehingga ke perairan Mexico, kata pihak berkuasa kelmarin.
Sebelum ini, kapal selam penyeludupan dadah yang ditemui di Colombia tidak boleh melakukan selaman ke dalam laut.
Seorang pegawai tentera Colombia, Kolonel Manuel Hurtado berkata, kapal selam itu sepanjang 30 meter dan diperbuat daripada gentian kaca serta boleh membawa enam kru.
Menurutnya, ia yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, pada Ahad lepas boleh membawa sehingga lapan tan dadah.
Hurtado menyatakan kapal selam yang dilengkapi dengan enjin diesel itu mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk dibina dengan melibatkan kos sebanyak AS$2 juta (RM6.10 juta).
Dia berkata, kapal selam itu ditemui berdasarkan maklumat risikan. Ia didapati kosong semasa ditemui. - Agensi
Ibu jari palsu pada kaki mumia Mesir kuno
LONDON - Satu ibu jari kaki palsu yang ditemui pada kaki mumia Mesir kuno dipercayai merupakan organ palsu tertua di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Artifak tersebut yang diperbuat daripada kayu dan kulit, kini disimpan di Muzium Mesir, Kaherah.
Ia digunakan pada tahun 600 Sebelum Masehi bagi membantu orang yang hilang ibu jari kaki berjalan seperti biasa.
Ibu jari kaki palsu itu beberapa ratus tahun lebih tua daripada kaki palsu Empayar Rom yang dipercayai organ palsu terawal ditemui sebelum ini. - Agensi
Suami simpan mayat isteri 12 tahun
SEOUL - Seorang lelaki Korea Selatan ditangkap selepas 12 tahun dia membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam sebuah kotak besar, kata polis semalam.Menurut polis, kotak besar itu diletakkan di rumah seorang anak perempuannya.
Anak perempuannya itu yang berusia 20 tahun itu terjumpa kotak besar tersebut yang dibalut dengan 10 lapisan plastik semasa dia mahu melakukan persiapan untuk berpindah ke kediaman lain.
Dia yang terkejut melihat mayat seorang wanita di dalam kotak itu bertindak menghubungi polis untuk membuat siasatan pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, siasatan cap jari membuktikan mayat itu adalah ibunya.
Suspek yang dikenali sebagai Lee berusia 51 tahun itu kemudian ditangkap oleh polis di Bucheon.
Lee berkata kepada wartawan bahawa dia bertengkar dengan isterinya kerana masalah perpindahan rumah baru dan perkara lain.
"Namun saya menyimpan mayat itu sebab rasa bersalah terhadap isteri dan anak perempuan saya." katanya.
Lee disyaki membunuh isterinya yang berusia 39 tahun itu di rumahnya pada Jun 1999. - AFP
Aksi spontan juruterbang dalam jet
CADAIR IDRIS, Wales - Seorang juruterbang sempat melambaikan tangan ke arah seorang jurugambar semasa dia berada di dalam sebuah jet tempur yang bergerak pada kelajuan 804 kilometer sejam di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Juruterbang itu melambaikan tangannya ke arah jurugambar tersebut, Peter Bailey yang berada kira-kira 91.44 meter dari jet tersebut di kawasan pergunungan Cadair Idris baru-baru ini.
Bailey sempat merakamkan gambar juruterbang Tentera Udara Diraja Britain itu yang duduk di dalam ruang kokpit jet Typhoon berharga £68 juta (RM332 juta).
Semasa gambar itu dirakamkan, jet tersebut melakukan satu latihan ketenteraan. - Agensi
DUNIA
Ibu tumpang lahir cucu lelaki
CHICAGO, Amerika Syarikat - Seorang wanita berusia 61 tahun, Kristine Casey yang menjadi ibu tumpang untuk anak perempuannya berjaya melahirkan seorang cucu lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.
Kristine melahirkan anak untuk anak perempuannya itu menerusi pembedahan di sebuah hospital di sini pada Rabu lalu.
Dia bersetuju menjadi ibu tumpang selepas anak perempuannya yang kini berumur 35 tahun tidak dapat melahirkan anak selepas dia mengalami keguguran.
Menurut Dr. Susan Gerber, pembedahan untuk mengeluarkan bayi tersebut tidak rumit.
Kelahiran bayi itu disambut dengan gembira oleh semua anggota keluarga termasuk Kristine. - Agensi
No comments:
Post a Comment