Thursday, February 17, 2011

RAGAM DUNIA 1

Mengamuk 28 jam kerana dilarang pandu kereta


MAKSIM GELMAN dikawal oleh beberapa anggota polis di sebuah stesen tren bawah tanah di New York kelmarin.



NEW YORK - Seorang artis grafiti, Maksim Gelman yang bersenjatakan lima bilah pisau mengamuk selama 28 jam di bandar raya ini sebelum dia ditangkap kelmarin.
Menurut polis, Gelman yang berusia 23 tahun membunuh bapa tiri dan bekas kekasihnya, Yelena Bulchenko pada Jumaat lalu.
Pemuda itu turut membunuh ibu bekas kekasihnya sebelum dia melanggar sehingga mati seorang pejalan kaki dengan menggunakan sebuah kereta.
Lelaki itu sempat menikam seorang lagi pejalan kaki sebelum dia ditangkap polis di Times Square di sini kelmarin.
Menurut sumber, Gelman melakukan pembunuhan itu hanya kerana bapa tirinya melarang dia memandu kereta Lexus milik keluarga mereka.
Pemuda itu kemudian bertindak menikam bapanya yang berusia 54 tahun pada pukul 5 pagi Jumaat di apartmen mereka sebelum melarikan diri dengan mencuri kereta Lexus itu.
Gelman kemudian pergi ke rumah bekas kekasihnya dan menikam dia dan ibunya sehingga mati.
Pemuda itu kemudian melanggar seorang pejalan kaki yang kemudian mati sebelum dia menikam tiga orang lagi namun mereka tidak mati cuma mengalami kecederaan.
Dia ditangkap selepas seorang penumpang memberitahu anggota polis bahawa seorang lelaki yang wajahnya disiarkan akhbar kerana menikam mati empat orang berada bersama mereka di dalam tren.
Penumpang itu memberitahu polis tersebut di platform tren.
Gelman kemudian keluar dari tren itu dan menaiki sebuah tren lain sebelum dia menikam seorang penumpang.
Dia kemudian menuju ke bilik pemandu dengan menyamar sebagai polis.
Namun, dia bernasib malang kerana salah seorang anggota polis yang sudah berada di dalam bilik pemandu tersebut bertindak menjatuhkan Gelman sebelum menangkapnya. - Agensi


Memancing dari tebing tinggi


LELAKI ini tidak menghiraukan angin kuat semasa dia memancing.



DOWNPATRICK, Ireland Utara - Seorang nelayan menangkap ikan dari tebing setinggi 45.72 meter dekat Downpatrick dengan menggunakan pancing, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Walaupun angin bertiup selaju 112 kilometer sejam, lelaki itu berjaya memperoleh lima ekor ikan kembung selepas memancing selama 90 minit baru-baru ini.
Seorang lelaki yang melalui tebing tinggi itu berkata: "Pemancing tersebut tidak mempedulikan bahaya yang dihadapinya (semasa memancing)." - Agensi


Harimau jaguar bermata juling jadi tumpuan


SEEKOR harimau jaguar yang memiliki sepasang mata juling kini menjadi daya tarikan di Zoo Delitzscher di Jerman.



BERLIN - Seekor harimau jaguar yang mempunyai sepasang mata juling menjadi tumpuan para pengunjung Zoo Delitzscher di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Harimau jantan berusia 14 tahun itu tinggal dekat sebuah zoo di Leipzig yang turut menempatkan haiwan possum bermata juling bernama Heidi.
Jurucakap zoo tempat harimau jaguar itu dipelihara menyatakan, pihaknya tidak mengetahui kenapa ia memiliki sepasang mata juling.
"Ia amat gembira tetapi haiwan itu tidak akan dapat hidup lama dalam hutan kerana mata tersebut," katanya.
Dia menjelaskan, kesan daripada mata juling itu, haiwan tersebut tidak suka memburu dan memanjat. - Agensi


Ikan paus bengkok


SEEKOR ikan paus yang bengkok dekat bahagian ekor ditemui dekat perairan Pulau Kauai, Hawaii pada Isnin lalu.



HONOLULU - Seekor ikan paus yang gambarnya dirakamkan dari udara di Pulau Kauai, Hawaii didapati bengkok dekat bahagian ekornya, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar ikan paus humpback itu dirakamkan dari sebuah pesawat pada Isnin lalu.
Pada mulanya, terdapat tanggapan bahawa sebuah bot mungkin melanggar bahagian belakang ikan tersebut.
Namun, seorang penyelaras Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), David Schofield berkata, ikan itu bengkok mungkin disebabkan penyakit scoliosis atau tulang melengkung.
Penyakit itu jarang dihidapi haiwan tetapi beberapa saintis menyatakan mereka pernah melihat ia turut berlaku ke atas ikan lumba-lumba. - Agensi


Kanak-kanak miliki 26 jari


LAI YADI MIN mempunyai tujuh jari pada setiap kakinya dan 12 jari tangan.


BEIJING - Seorang kanak-kanak berketurunan Cina berusia setahun yang tinggal di Okkalarpa Selatan di Yangon, Myanmar, Lei Yadi Min mempunyai 12 jari tangan dan 14 jari kaki, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kanak-kanak itu kini menunggu pengesahan rasmi daripada Guinness of World Records bagi kategori bilangan jari tangan dan kaki yang paling banyak.
Dia memiliki tujuh jari pada setiap kaki dan enam jari tangan.
Secara keseluruhannya, Min mempunyai 26 jari.
Dia bersaing dengan dua rakyat India masing-masing berusia lima tahun dan 15 tahun yang memiliki 12 jari tangan dan 13 jari kaki dengan jumlah keseluruhan 25 jari. - Agensi





Nenek dedah punca dia tumpaskan enam perompak


GAMBAR yang dirakamkan seorang jurugambar menunjukkan Ann Timson (dalam bulatan) memukul seorang perompak di depan sebuah kedai barang kemas di Norhampton, Britain pada Isnin lalu.



NORTHAMPTON - Seorang nenek di Britain, Ann Timson yang menumpaskan enam penjenayah yang mahu merompak sebuah kedai barang kemas dengan menggunakan beg tangannya, menafikan dia merupakan seorang wirawati, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Mungkin sesuatu yang bodoh buat saya kerana terlibat dalam kejadian itu tetapi seseorang perlu melakukan sesuatu," katanya selepas kejadian itu berlaku pada Isnin lalu.
Menurut jiran-jirannya, dia kerap memeriksan penduduk yang terdedah pada jenayah di kawasan perumahannya.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, nenek berusia 71 tahun itu memukul kesemua penjenayah itu dengan beg tangannya apabila dia melihat mereka cuba melarikan barang kemas dari sebuah kedai di sini.
"Saya sedang berdiri dan berbual dengan seorang wanita apabila saya terdengar bunyi bising dan melihat enam lelaki menaiki beberapa skuter di seberang jalan.
"Mereka sedang memukul seorang lelaki dan saya cuba masuk campur untuk membantu lelaki itu. Apa yang merisaukan saya ialah orang ramai hanya berhenti untuk melihat tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan perbuatan tersebut.
"Apabila saya berada dekat dengan mereka baru saya sedar bahawa kejadian itu adalah satu rompakan dan saya bertambah marah kerana mereka (kumpulan perompak) fikir mereka bebas melakukan jenayah di tempat terbuka pada siang hari," katanya.
Menurutnya, dia kemudian memukul seorang perompak itu dengan menggunakan beg tangannya tetapi lelaki itu melarikan diri manakala rakan-rakannya cuba memecahkan cermin untuk mencuri barangan kemas.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku seterusnya tetapi saya terus menghayunkan beg saya. Saya memukul seorang perompak yang berada di atas skuter sehingga dia terjatuh. Dia mengangkat sebatang tukul besi untuk memukul saya, jadi, saya terus memukul sambil menjerit meminta pertolongan," jelas nenek itu.
Nasib warga emas itu baik, kerana orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu datang untuk menolongnya.
Kejadian tersebut dirakamkan oleh seorang jurugambar yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Salah seorang perompak itu ditangkap oleh orang awam.
Selepas perompak itu disoal siasat, polis telah memberkas tiga lagi rakannya yang lain dan bakinya kini diburu pihak berkuasa. - Agensi


Budak 13 tahun cipta laman mirip Facebook


MUKA surat Muhamad Yahya Harlan dalam laman salingsapa.com.



BANDUNG - Walaupun baru berusia 13 tahun, seorang budak lelaki di Indonesia, Muhamad Yahya Harlan ternyata hebat apabila dia mencipta laman jaringan sosial mirip Facebook, lapor akhbar dalam talian, Tribunnews.com semalam.
Laman itu yang dinamakan salingsapa.com dapat disiapkan Muhamad yang belajar di Sekolah Alam Bandung, di sini, dalam masa sebulan.
Konsep salingaapa.com hampir menyerupai Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg dari Amerika Syarikat tetapi Muhamad berkata, laman webnya menampilkan beberapa ciri tambahan.
"Pada awalnya, saya menonton berita tentang ada orang Indonesia yang mencipta laman web seperti Facebook dalam bahasa Indonesia.
"Saya terus terfikir, saya juga boleh mencipta laman web serupa, tetapi lebih baik lagi," kata Muhamad ketika ditemui di sekolahnya kelmarin.
Seterusnya, anak sulung pasangan Yan Harlan, 45, dan isterinya, Fidriana, 37, itu mulai 'mengklik' komputernya untuk merancang ciri-ciri laman sosial yang akan dihasilkan nanti.
Dia turut mendapat bantuan daripada ayahnya yang menyumbang idea tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk menghasilkan salingsapa.com.
Kini, kejayaan pelajar cilik itu mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.
Menurut ibunya, Muhammad membentangkan hasil kerjanya itu di hadapan 12 mahasiswa Institut Teknologi Bandung semalam.
"Harapan kami ialah laman sosial ciptaan anak saya ini akan digunakan untuk tujuan kebaikan," kata ibunya. - Agensi



Bieber beli kondo RM5.2 juta


RUANG di dalam kondominium Justin Bieber di Los Angeles.



LOS ANGELES - Dalam usia baru mencecah 16 tahun, penyanyi terkenal, Justin Bieber dilaporkan telah membeli satu unit kondominium berharga AS$1.7 juta (RM5.2 juta) di Los Angeles, lapor laman Real Estalker.com di Internet semalam.
Kondominium penyanyi pop itu dikatakan memiliki tiga buah bilik, terletak di kawasan Westwood, bersaiz 222.967 meter persegi dengan hiasan dalaman yang moden.
Keseluruhan kondominium itu dilengkapi jubin lantai berkilat, dinding berwarna putih dilengkapi perabot mewah dan cermin dari lantai hingga ke siling.
Kondominium itu turut menyediakan kemudahan lain seperti pusat kesihatan, tempat letak kenderaan dan bilik parti. - Agensi


Chef wanita bogel di Hong Kong




HONG KONG - Seorang chef wanita, Flora Cheung (gambar) akan mengendalikan program masakan di televisyen dalam keadaan berbogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Flora yang berusia 26 tahun akan menjadi hos program yang disiarkan dalam rangkaian televisyen untuk orang dewasa.
"Ramai lelaki tidak mahu memasak tetapi saya mahu menjadikan mereka meminati bidang masakan," katanya kepada akhbar South China Morning Post.
Dalam program itu, jurukamera akan mengikuti Flora berjalan di pasar basah di Hong Kong.
Selepas dia membeli beberapa barang untuk dimasak, dia akan pergi ke dapur untuk memasak.
Wanita itu kemudian akan berbogel dengan hanya memakai apron lut sinar yang boleh menampakkan susuk tubuhnya.
Walaupun Flora bukannya seorang chef yang profesional, penerbit program itu, Jesse Au berkata, wanita tersebut akan mampu menarik minat ramai orang untuk menontonnya.
Setiap episod akan berlangsung dalam tempoh 30 minit. - Agensi



Pindah zirafah guna rakit besar


EMPAT ekor zirafah dipindahkan dengan menaiki rakit besar di Tasik Baringo, Kenya baru-baru ini.



TASIK BARINGO, Kenya - Lapan ekor zirafah dipindahkan dari Tasik Baringo, Kenya ke habitat asal mereka iaitu Taman Pemuliharaan Ruko Game baru-baru ini dengan menaiki sebuah rakit besar, lapor sebuah akhbar semalam.
Taman pemuliharaan itu terdiri daripada kawasan seluas 7,689 hektar yang terletak di bahagian timur Tasik Baringo. Zirafah-zirafah itu kelihatan seperti itik di dalam air apabila lehernya yang panjang itu mengintai di sebalik kandang untuk melihat apa yang berlaku di sekelilingnya.
Ini merupakan kali pertama haiwan tersebut dipindahkan melalui jalan air dalam sejarah Kenya.
Dua buah bot yang membawa beberapa pakar pemuliharaan turut mengiringi rakit besar itu bagi memastikan ia bergerak dengan stabil. - Agensi

No comments:

Post a Comment