Dulu wajah dipenuhi luka, kini amat cantik
EDINBURGH - Empat tahun lalu, wajah Jo Minto dipenuhi dengan luka disebabkan terkena serpihan sebuah gelas yang pecah apabila ia dilempar oleh seorang lelaki di sebuah bar, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia memerlukan 35 jahitan dan menjalani pembedahan selama empat hari bagi mengeluarkan serpihan kaca kecil yang tertanam di muka dan matanya.
Ekoran kejadian itu, dia meninggalkan kerjayanya sebagai model.
Pada tahun lalu, Minto, 23, didesak oleh keluarga dan rakan-rakannya untuk terlibat dalam dunia peragaan.
Dia kemudian mendapat tempat dalam pertandingan Ratu Cantik Edinburgh tahun ini.
"Semua itu (wajahnya cedera) merupakan sesuatu yang sudah berlalu dan saya kini tampil untuk memulihkan semula kerjaya saya," katanya.
Gelas bir itu dibaling oleh seorang samseng, Alexander Varndell di sebuah pub di Tranent, Lothian Timur pada Februari 2007.
Varndell dihukum penjara dua tahun kerana melakukan serangan itu. - Agensi
Akhbar puji mahkamah bubarkan parti Hosni
KAHERAH - Akhbar-akhbar Mesir semalam memuji tindakan Mahkamah Agung Persekutuan membubarkan Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang pernah memerintah negara ini semasa Hosni Mubarak menjadi presiden.
Akhbar al-Shorouk menyatakan parti itu sudah tiada manakala akhbar Al-Masry al-Youm melaporkan parti tersebut sudah mati.
Komen akhbar berkenaan dibuat selepas Mahkamah Agung Pentadbiran kelmarin mengarahkan parti NDP dibubarkan dan mengarahkan dana serta hartanah miliknya diserahkan kepada pemerintah yang kini ditadbir tentera buat sementara waktu selepas Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu ekoran desakan rakyat.
Menurut laporan stesen televisyen, ibu pejabat parti tersebut yang menghadap Sungai Nil dan pernah dibakar oleh penunjuk perasaan akan dijadikan muzium.
Sebuah lagi bangunan NDP akan dijadikan pejabat Majlis Kebangsaan Hak Asasi Manusia.
Menurut penghakiman mahkamah, parti tersebut telah merosakkan kehidupan politik.
"Ia (parti itu) menerapkan dasar yang memperkukuhkan kepimpinan diktator dan memonopoli kuasa.
"Parti itu menipu pilihan raya dan mengawal parlimen dan merencatkan ekonomi dan sosial negara," kata penghakiman mahkamah tersebut.
Pembubaran itu merupakan antara tuntutan utama para penunjuk perasaan selepas pemerintahan Hosni selama 30 tahun berakhir.
Sementara itu, Hosni yang dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat tekanan darah rendah kini berada dalam keadaan stabil, lapor agensi berita rasmi MENA dalam satu kenyataan ringkas semalam.
Hosni yang ditahan berkaitan kes keganasan ke atas penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat sebelum ini dilaporkan mengalami serangan sakit jantung sewaktu disiasat oleh pendakwa raya pada Selasa lalu.
Hosni ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di tepi Laut Merah.
Beliau ditahan selama 15 hari untuk disoal siasat.
Dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal ditahan di penjara di sebuah penjara di Kaherah dan menghadapi tuduhan sama. - Agensi
Perkahwinan dengan Putera William
LONDON - Ibu bapa Kate Mid- dleton akan mengeluarkan perbelanjaan hampir AS$163,000 (RM492,911) untuk majlis perkahwinan anak perempuannya itu dengan pewaris kedua takhta England, Putera William hujung bulan ini.
Menurut akhbar Sunday Times tanpa menyebut sumbernya, ibu bapa Middleton iaitu Carole dan Michael Middleton memperuntukkan perbelanjaan untuk hotel, gaun pengantin serta pengapit pengantin perempuan, pakaian pembantu kehormat dan tempat bulan madu pasangan tersebut.
Ibu bapa Middleton akan membayar beberapa suite di Hotel Goring yang terletak di tengah London di daerah Belgravia termasuk dua bilik tidur dan lima suite untuk Middleton, adik perempuannya, Pippa dan pembantu kehormat.
Carole, Michael dan anak lelaki mereka, James yang merupakan adik Middleton dilaporkan tinggal di sebuah hotel tidak jauh dari Istana Buckingham bagi menghadiri majlis perkahwinan itu di Westminster Abbey pada 29 April ini.
Bil untuk hotel sahaja difahamkan melebihi jumlah AS$32,640 (RM98,703).
Ibu bapa Middleton yang meraih pendapatan sebanyak jutaan pound sterling hasil perniagaan barang-barang untuk berparti juga mengeluarkan perbelanjaan sebanyak AS$48,960 (RM148,055) untuk gaun Middleton dan AS$32,640 (RM98,703) bagi pakaian Pippa.
Keluarga diraja itu berkongsi kos perkahwinan dengan ibu bapa Middleton. - AFP
Biri-biri diwarnakan oren elak dicuri
DEVON - Seorang petani, John Heard di sini sanggup mewarnakan bulu sejumlah biri-biri miliknya dengan warna oren bagi mengelak ia dicuri, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Ia akan kelihatan seperti biri-biri yang ganjil tetapi muslihat itu berjaya dan saya hanya hilang seekor biri-biri pada tahun ini," kata Heard yang berusia 49 tahun.
Menurutnya, sebanyak 250 ekor biri-biri miliknya sebelum ini hilang sejak beberapa tahun lalu sebelum dia membuat keputusan untuk mewarnakan bulu haiwan itu.
"Muslihat itu berjaya kerana haiwan itu mudah untuk dibezakan (dengan ternakan lain) menjadikan saya dan jiran-jiran saya mudah untuk mengawal haiwan tersebut," katanya.
Biri-biri itu mempunyai kepala yang berwarna hitam.
Dia mendapat idea itu daripada seorang anak lelakinya, James yang melihat biri-biri diwarnakan di Scotland.
Kejadian mencuri biri-biri menjadi satu masalah besar di wilayah itu dengan haiwan betina bernilai £140 (RM690.92) seekor. - Agensi
Pelacur Britain buat pengakuan mengejut
LONDON - Seorang pelacur, Helen Wood membuat pendedahan mengejut apabila menyatakan dia berasmara dengan beberapa bintang bola sepak kelab Manchester United (MU) dengan bayaran £600 (RM2,961), lapor beberapa buah akhbar semalam.Pelacur itu sebelum ini pernah melakukan hubungan seks bersama seorang bintang MU, Wayne Rooney dengan melibatkan tiga orang.
Namun, dia membuat pendedahan sensasi dengan menyatakan pernah melakukan hubungan seks dengan beberapa pelakon dan seorang hakim selain beberapa bintang MU bertaraf jutawan.
Pelacur berusia 24 tahun itu menyatakan, dia juga pernah melakukan hubungan seks dengan seorang ahli politik dari Dublin, seorang pegawai kanan polis, seorang juruterbang dan seorang tetamu asing yang dihormati yang melawat Britain.
Ibu tunggal itu mendedahkan dia dibayar oleh seorang pemain MU untuk melakukan hubungan seks melibatkan lima orang di rumahnya dan sebuah hotel mewah di Manchester.
Namun, dia memberitahu hubungannya dengan pemain berkenaan rengang selepas dia dilihat diperkenalkan kepada Rooney.
Menurutnya, Rooney yang sudah berkahwin ketika itu tidak pasti kadar bayaran seks yang perlu dibayar untuk melanggan pelacur tetapi dia menyerahkan wang tunai sebanyak £1,000 (RM4,935) untuk menempahnya dan seorang lagi pelacur, Jenny Thompson.
Helen berkata, seorang lagi bintang liga perdana Inggeris menempah sebuah bilik di sebuah hotel.
Menurutnya, bintang kelab bola sepak Chelsea itu membayarnya £800 (RM3,948) untuk pekerjaan yang sepatutnya dibayar £220 (RM1,085).
Pelacur itu mendedahkan, dia turut mengambil bahagian dalam permainan penderaan seks dengan seorang hakim dan seorang pegawai kanan polis. - Agensi
No comments:
Post a Comment