Sunday, April 17, 2011

Belanda mungkin haramkan penyembelihan binatang

NATO perhebat serangan udara


SEORANG pejuang pemberontak melintasi sebuah kereta kebal yang musnah dibom jet pejuang NATO, ketika menuju ke Adabiyah.


ADABIYAH - Beberapa serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengenai pasukan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi di bandar ini, timur Libya semalam, kata sumber pemberontak.
Sumber berkenaan berkata, sekurang-kurangnya 15 mayat askar yang setia kepada pemimpin Libya itu bergelimpangan selepas siri serangan itu.
Seorang wartawan agensi berita Reuters memberitahu, dia melihat mayat-mayat rentung berhampiran enam kenderaan tentera Gaddafi dua lokasi berlainan di barat bandar ini.
Serangan NATO itu menyusul selepas tentera Gaddafi memperhebatkan pada hujung minggu lalu bagi merampas semula bandar strategik ini.
"Serangan udara NATO berjaya memusnahkan 11 kereta kebal yang sedang menuju ke Adabiyah dan serangan udara ini akan berterusan siang dan malam," kata seorang pegawai NATO di Brussels.
"Serangan dilakukan selepas pemberontak di Adabiyah berdepan ancaman senjata berat tentera Gaddafi," tambahnya.
Pada jumaat lepas dan kelmarin pakatan itu memusnahkan 15 buah kereta kebal tentera Gaddafi berhampiran bandar Misrata, satu-satunya bandar di barat Libya yang jatuh ke tangan pemberontak.
Serangan udara Barat terhadap rejim Gaddafi bermula pada 19 Mac lepas menerusi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi rakyat Libya selepas pemimpin berkenaan mengerahkan angkatan bersenjata negara itu bagi mematahkan kebangkitan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai perubatan memberitahu sekurang-kurangnya 12 pemberontak Libya maut dalam pertempuran sengit di sini. - Agensi

Belanda mungkin haramkan penyembelihan binatang


SEBUAH kedai menjual daging halal di Amsterdam, Belanda.


AMSTERDAM - Penyembelihan binatang ternakan mungkin diharamkan di Belanda selepas kaedah tersebut yang terkandung dalam agama Islam dan Yahudi, ditentang oleh majoriti wakil rakyatnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah akhbar melaporkan majoriti wakil rakyat Belanda menganggap kaedah penyembelihan halal seperti yang diamalkan umat Islam, bersifat kejam terhadap haiwan.
Satu rang undang-undang mengenainya akan didebat di Parlimen Belanda pada hujung bulan ini.
Sebelum ini, undang-undang Belanda mengarahkan haiwan ternakan diberikan renjatan elektrik supaya ia pengsan sebelum dibunuh dengan pengecualian diberikan untuk daging yang disediakan untuk orang Islam dan Yahudi.
Kaedah tersebut kononnya untuk mengurangkan kesakitan dan ketakutan haiwan terbabit.
Cadangan untuk mengharamkan kaedah penyembelihan itu bagaimanapun, ditentang hebat komuniti Islam dan Yahudi di negara berkenaan.
"Jika undang-undang ini diluluskan tiada apa yang dapat kami lakukan kecuali mengadakan protes," kata seorang aktivis halal di Belanda, Abdulfatteh Ali-Salah.
Seorang jurucakap sebuah pertubuhan Yahudi, Ruben Vis pula menganggap rang undang-undang tersebut melanggar hak kebebasan beragama.
Larangan penyembelihan haiwan telah pun diamalkan di New Zealand, negara-negara rantau Scandinavia dan Baltik serta Switzerland.
Terdapat sekitar sejuta orang Islam daripada keseluruhan 16 juta penduduk Belanda manakala kira-kira 50,000 orang Yahudi turut tinggal di negara Eropah berkenaan. - Agensi

PM Britain naik angin




LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron (gambar) menggunakan kata-kata kesat dalam penerbangan pulang dari lawatannya ke Pakistan selepas beliau dimaklumkan tentang kontroversi berkaitan komennya bahawa Britain sepatutnya dipersalahkan kerana mencetuskan banyak krisis besar dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Perdana menteri berkenaan berpaling kepada seorang wartawan yang membangkitkan isu tersebut dan menjawab menggunakan kata-kata kesat.
Insiden itu berlaku selepas Cameron, 44, cuba menjauhkan dirinya dengan sejarah kolonial Britain semasa beliau menyampaikan satu ucapan di Pakistan.
Ditanya tentang permusuhan panjang antara Pakistan dan India berhubung isu wilayah Kashmir yang bermula sejak pemerintahan Empayar British, beliau memberitahu:" Saya tidak mahu menampilkan Britain sebagai watak utama yang mana, seperti masalah-masalah lain di dunia, kami yang bertanggungjawab kerana mencetuskan isu tersebut,"
Kenyataannya dikritik hebat dan menjadi tajuk utama akhbar-akhbar Britain pada keesokan harinya tetapi beliau cuma mendapat tahu tentang perkembangan tersebut semasa dalam penerbangan pulang ke London kelmarin.
"Britain perlu berhenti daripada malu tentang sejarahnya sebagai negara penjajah," seorang pakar Unit Pengkajian Dasar Komanwel, Daisy Cooper ketika mengulas kenyataan Cameron.
Beliau kemudian bertanya siapakah wartawan yang melaporkan berita tersebut dan apabila wartawan berkaitan mengangkat tangan, beliau terus memakinya.
- Agensi

Tak boleh tutup mulut lepas menguap


SEBANYAK 26 batang kayu kecil dimasukkan ke dalam mulut Holly Thompson.


KINGSTHORPE, Britain - Seorang remaja perempuan berumur 17 tahun, Holly Thompson tidak dapat menutup mulut selepas dia menguap semasa berada di dalam kelas di Sekolah Perempuan Northampton di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini, dia meminta seorang rakan menutup mulutnya tetapi apa yang berlaku ialah dia berasa sakit semasa percubaan itu dilakukan.
Holly kemudian dihantar menemui seorang jururawat sekolah tetapi dia gagal untuk menutup mulutnya walaupun air panas dan ketul ais diletakkan di bawah dagunya.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Besar Northampton dan rahangnya terkatup semula selepas 26 batang kayu kecil mirip batang aiskrim dimasukkan ke dalam mulutnya.
Dr. Ejiro Obakponovwe memasukkan batang kayu itu yang diikat dengan pita pelekat dengan tujuan untuk menjadikan rahang Holly menjadi letih kerana gigi Holly menggigitnya buat seketika.
Doktor wanita itu menarik perlahan-lahan batang kayu tersebut sebelum dia memegang kedua-dua pipi pelajar tersebut dan menutup mulut Holly.
Pelajar itu kemudian dapat menutup semula mulutnya tanpa berasa sakit. - Agensi


Pesawat kargo bawa pam air gergasi ke Jepun


PAM air gergasi bergerak masuk ke dalam pesawat kargo Rusia di Atlanta, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.


ATLANTA, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah pesawat kargo gergasi Rusia di sini digunakan untuk membawa pam air antara yang terbesar di dunia ke Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Pam seberat 95 tan berharga AS$2 juta (RM6.04 juta) itu diletakkan di atas lori 26 roda dan akan digunakan untuk menyembur air ke dalam loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang rosak akibat gegaran gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu.
Ketua Pegawai Ekekutif Putzmeister Amerika, Dave Adams berkata, pihaknya berharap peralatan yang dikeluarkan syarikatnya akan dapat membantu kerajaan Jepun menyelesaikan masalah di loji jana kuasa nuklear itu.
Masalah yang berlaku di loji tersebut kini ialah pekerja-pekerja berusaha untuk menyejukkan reaktor nuklear selepas sistem penyejukan mengalami kerosakan. - Agensi

No comments:

Post a Comment