Sunday, April 17, 2011

TV tertua di Britain dilelong

TEPCO guna garam mandian untuk sekat kebocoran radiasi



Para pekerja yang memakai pakaian khas menyembur pelekat sintetik di loji nuklaer Fukushima Dai-ichi dalam usaha menyekat kebocoran radiasi daripada terus masuk ke dalam laut.



TOKYO - Para jurutera pengendali loji nuklear Fukushima Dai-ichi, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) menggunakan garam mandian dalam usaha terbaru mereka untuk mengesan satu kebocoran yang berlaku pada salah satu reaktornya.
Garam mandian itu digunakan bagi menghasilkan warna putih, sekali gus membantu mengesan punca kebocoran. TEPCO turut merancang memasang sejenis 'langsir' sebagai cubaan menghalang air beradiasi daripada terus memasuki laut. TEPCO bagaimanapun masih belum menyatakan apakah material yang akan digunakannya.
"Kami perlu menghalang penyebaran air tercemar daripada terus merebak ke laut secepat mungkin. Kami telah meminta TEPCO supaya bertindak pantas," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.
Edano turut memberi amaran bahawa radiasi terkumpul daripada kebocoran itu boleh memberi impak besar kepada Lautan Pasifik.
Pada hujung minggu lalu, mereka mencampurkan serbuk kayu dan surat khabar dengan polimer serta simen untuk menyekat kebocoran. Setakat ini, usaha tersebut gagal untuk menampal retakan pada satu pit konkrit pada reaktor No. 2 yang menyebabkan air mengandungi radioaktif masuk ke dalam laut.
Jepun menyatakan bahawa tiga daripada enam reaktor di loji terbabit secara keseluruhannya berada dalam keadaan stabil.
Dalam perkembangan lain, TEPCO mula membuang lebih 10,000 tan air yang mengandungi tahap radiasi rendah ke laut bagi menstabilkan loji tersebut. "Kami tiada pilihan, ini adalah langkah keselamatan," jelas Edano.
Tindakan itu diambil untuk menambah ruang penyimpanan yang semakin penuh dan menjejaskan usaha pembaikan. TEPCO menegaskan bahawa air yang tercemar itu tidak akan menjejaskan kehidupan marin. - Agensi

Utusan khas Gaddafi cari penyelesaian krisis Libya



Abdul-Ati al-Obeidi berjabat tangan dengan Perdana Menteri Greece, George Papandreou dalam pertemuan mereka di Athens, Greece pada Ahad lalu.



BENGHAZI, Libya - Seorang utusan khas pemerintah Libya, Abdul-Ati al-Obeidi kelmarin memberitahu Perdana Menteri Greece, George Papandreou bahawa Muammar Gaddafi sedang mencari jalan untuk menyelesaikan krisis di Libya selepas serangan udara tentera sekutu Barat dilihat cuba menumbangkan pemerintahannya sejak dua minggu lalu.
Al-Obeidi yang juga Timbalan Menteri Luar Libya dijangka meneruskan kunjungan ke Turki dan Malta sebagai isyarat bahawa rejim Gaddafi bersedia untuk berlembut bagi menyelesaikan krisis dalaman Libya.
"Daripada komen utusan khas Libya, jelas bahawa rejim tersebut cuba mencari penyelesaian," kata Menteri Luar Greece, Dimitris Droutsas dalam satu kenyataan selepas pertemuan di Athens.
Droutsas menegaskan bahawa Greece menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya Libya mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi kebenaran terhadap serangan udara, selain menuntut Gaddafi dan puak pemberontak menamatkan pertempuran.
"Hormati dan laksanakan sepenuhnya resolusi PBB, segera kuatkuasakan gencatan senjata, tamatkan keganasan dan pertempuran terutama ke atas orang awam Libya," kata Droutsas.
Kerajaan Gaddafi sebelum ini pernah mengumumkan beberapa gencatan senjata, namun tidak mematuhinya.
Jumaat lalu, utusan khas Libya mennyatakan kerajaan Gaddafi cuba untuk mengadakan perbincangan bersama Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis dalam usaha menghentikan serangan udara yang bermula pada 19 Mac lalu. - Agensi

Tiada perjanjian praperkahwinan pengasas majalah Playboy



HUGH HEFNER dan kekasihnya, Crystal Harris



LOS ANGELES - Pengasas majalah Playboy, Hugh Hefner yang memiliki kekayaan bernilai AS$80 juta (RM242.08 juta) enggan membuat perjanjian praperkahwinan dengan bakal isterinya yang merupakan bekas model majalah bogel tersebut, Crystal Harris, lapor sebuah akhbar semalam.
Hefner yang berusia 84 tahun difahamkan tidak mengambil peduli nasihat orang lain tentang perancangannya untuk mendirikan rumah tangga dengan Harris.
Dia tetap berpendirian bahawa wanita berusia 24 tahun itu menyayangi dirinya tanpa memandang soal harta atau kemewahan.
Pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada 18 Jun depan selepas Hefner melamar Harris pada Krismas lalu.
Hefner menghantar komen di laman Twitter beberapa bulan lalu yang berbunyi: "Selepas saya memberi Harris cincin, dia terus menangis. Ini merupakan hujung minggu paling gembira dalam memori saya."
Ketika status perjanjian praperkahwinan mereka tetap diperkatakan, perkahwinan pasangan itu terus menjadi kontroversi.
Bekas teman wanita Hefner, Kendra Wilkinson berkata kepada E!: "Saya belum membuat keputusan untuk datang pada majlis itu atau sebaliknya. Saya tidak bergurau. Saya sebaliknya marah apabila mendengar tentang perkahwinan mereka."
Wilkinson bagaimanapun bertuah selepas Hefner membenarkannya menggunakan rumah agam miliknya untuk majlis perkahwinan bersama bintang bola sepak Amerika, Hank Baskett pada tahun 2009.
Seorang lagi bekas kekasih Hefner, Holly Madison pula lebih kecewa dan melepaskan kemarahannya kepada Harris.
"Dia (Harris) memiliki karakter misteri. Saya telah lihat ramai wanita yang cuba mengenali rapat dengan Hefner. Ada setengah daripada mereka yang bermotif jahat.
"Ramai kenalan yang mengucapkan tahniah kepada Hefner menerusi Twitter. Tetapi, saya ingin berada di sana bagi menyaksikan perkahwinan mereka," jelasnya.- Agensi


Lelaki meluncur di sisi jerung putih


CHRIS FALLOWS berdayung di sisi seekor jerung putih.


CAPE TOWN, Afrika Selatan - Seorang peluncur ombak, Chris Fallows berdayung menghampiri seekor jerung putih sambil berdiri di atas papan luncur bagi membuktikan pemangsa itu tidak seganas seperti yang digambarkan dalam filem Jaws, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, ramai peluncur ombak takut berbuat demikian kerana jerung putih dipercayai gemar menyerang peluncur ombak kerana mereka kelihatan seperti seekor penyu di permukaan laut.
Namun, bagi Fallows, 36, pendapat tersebut adalah tidak benar.
"Kebarangkalian untuk jerung putih menyerang manusia secara spontan adalah amat kecil," katanya.
Lelaki itu mengendalikan ekspedisi melihat ikan jerung di perairan di sini.
Namun, mereka yang tidak memiliki keseimbangan badan yang baik, dilarang meniru aksi tersebut. - Agensi






TV tertua di Britain dilelong



SET televisyen Marconi 702 yang berusia 75 tahun



LONDON - Set televisyen tertua di Britain yang dipasang pada 1936, akan dilelong pada harga bidaan bermula £5,000, (RM24,415), lapor sebuah akhbar semalam.
Set televisyen jenis Marconi 702 itu yang didatangkan dengan skrin berukuran 30.48 sentimeter, masih berfungsi dengan baik walaupun sudah beroperasi selama 75 tahun.
Ia dibeli pada harga bawah £100 (RM488) oleh seorang lelaki, G. B. Davis selepas tiga minggu siaran televisyen bermula di Britain.
Pada masa itu, cuma terdapat satu saluran di Britain yang bersiaran selama tiga jam setiap hari.
"Set ini dijual oleh keluarga pemilik asalnya (telah meninggal dunia) dan merupakan televisyen tertua di Britain yang masih berada dalam keadaan baik," kata pakar agensi lelongan Bonhams yang mengendalikan lelongan itu, Laurence Fisher. - Agensi

No comments:

Post a Comment