Sunday, April 17, 2011

Mak nyah Malaysia tinggalkan suami mat salih kerana disisih

Krisis nuklear Jepun sama seperti Chernobyl


OMBAK tsunami melanda kawasan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.


TOKYO - Jepun meletakkan krisis nuklear Fukushima Daiichi di timur laut negara itu menyamai tragedi nuklear terburuk dunia di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 selepas data baru menunjukkan lebih banyak radiasi merebak semasa krisis itu tercetus berbanding jangkaan sebelum ini.
Beberapa pegawai berkata, mereka mengambil masa agak lama untuk menyukat kadar radiasi dari loji Fukushima yang rosak dalam gempa bumi pada 11 Mac lalu dan peningkatan tahap krisis nuklear tersebut pada tahap tertinggi tidak bermakna bahawa situasi kini bertambah buruk.
"Persediaan kami adalah bagaimana untuk mengukur kebocoran radiasi apabila berlakunya tsunami dan gempa bumi adalah tidak cukup dan hasilnya kita lambat dalam menyebarkan maklumat di peringkat antarabangsa," kata pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri Jepun Naoto Kan.
Justeru, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri (NISA) Jepun, Hidehiko Nishiyama, berkata, keputusan menaikkan tahap bahaya krisis nuklear daripada tahap lima kepada tahap tujuh seperti yang dilaksanakan ketika bencana Chernobyl adalah berdasarkan jumlah radiasi yang dibebaskan.
"Sebelum ini pun, kami pernah mempertimbangkan keadaan ini sebagai insiden serius. Tidak akan berlaku perubahan besar dalam cara kami mengendalikan masalah ini," katanya.
Satu lagi gempa bumi melanda timur Jepun semalam menyebabkan kebakaran berlaku di loji nuklear yang bocor itu tetapi jurutera-jurutera yang bertugas di loji terbabit berjaya memadamkan api tersebut.
Tahap tujuh bermakna jumlah radiasi yang dibebaskan adalah besar dengan memberi kesan buruk keatas kesihatan manusia dan alam sekitar sehingga melibatkan kematianmanakala tahap 5 pula hanya membabitkan pengeluaran radiasi dalam jumlah yang terhad.
Tragedi di Chernobyl berlaku pada 26 April 1986 yang melibatkan 350,400 penduduk dipindahkan dari kawasan tersebut.
Letupan tersebut menyebabkan kadar radiasi yang tinggi tersebar di ruang udara di sekitar bandar tersebut. - Agensi

Mak nyah Malaysia tinggalkan suami mat salih kerana disisih


GAMBAR perkahwinan Ian Young dan Fatine pada 2009.


LONDON – Sikap dingin suaminya, Ian Young menjadi punca mak nyah dari Malaysia, Fatine meninggalkan dia dua minggu selepas lelaki Inggeris berkenaan, Ian Young membantunya mendapatkan hak untuk menetap di Britain, lapor sebuah akhbar Daily Mail semalam.
Fatine, 38, akhirnya memutuskan untuk memberi penjelasan tentang punca perpisahan mereka selepas suaminya yang berusia 32 tahun itu mendakwa, dia ditinggalkan tanpa alasan setelah membelanjakan £12,000 (RM59,061) bagi membantu mendapatkan visa isterinya.
Fatine berkata, dia melakukan pengorbanan besar dengan berhijrah ke Britain dan tinggal dengan Young tetapi akhirnya, dia disisihkan lelaki itu.
Suami Fatine sebelum ini berkerja sebagai penyelenggara bangunan sekolah di Derby, England.
“Dia (Young) meminggirkan saya. Amat sengsara apabila lelaki yang anda cinta dingin terhadap anda. Saya berkorban segalanya demi dia,” kata Fatine.
Menurutnya, pada malam sebelum dia meninggalkan suaminya, mereka bergaduh besar.
Young kemudian bergegas meninggalkan kediaman mereka di Pear Tree, Derby.
“Dia meninggalkan saya tanpa memberikan saya sesen pun,” kata Fatine.
Suaminya sebelum ini memberitahu, dia terpaksa menganggur selepas diberhentikan dari tiga buah sekolah di Derby kerana tekanan ibu bapa yang marah dengan gaya hidup homoseks mereka.
Young turut kehilangan rumahnya dan pernah cuba membunuh diri dengan menelan sejumlah pil.
Bibit-bibit cinta pasangan itu bermula apabila Young berkenalan dengan Fatine semasa dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia. Pasangan itu pertama kali berbual di sebuah kedai kopi dan ketika itu, Young tidak tahu bahawa Fatine ialah seorang mak nyah.
Selepas mak nyah itu mendedahkan siapa dirinya yang sebenar, hubungan mereka terus mekar.
Young pernah menjalin hubungan cinta selama lapan tahun dengan seorang wanita tetapi memutuskan untuk menukar selera seksnya selepas bertemu Fatine.
Fatine kemudian berhijrah ke Derby dan pasangan tersebut berkahwin dalam satu majlis sivil di Pejabat Pendaftar Derby pada 2009.
Masalah mereka bermula apabila permohonan visa Fatine ditolak oleh Pejabat Dalam Negeri Britain.
Mereka terpaksa mengemukakan rayuan beberapa kali dengan menyatakan, Fatine boleh dipenjarakan jika dia kembali ke Malaysia kerana negara berkenaan melarang hubungan homoseks.
Bagi mengukuhkan alasan mereka, Fatine turut menyatakan, nyawanya terancam sekiranya dia pulang ke Malaysia kerana terdapat ugutan bunuh yang dibuat terhadapnya di sebuah laman web di negara itu.
“Kami terpaksa memohon visa sebanyak lima kali dan kosnya mencecah ribuan pound sterling. Saya pula berkerja sebagai penyelenggara sebuah sekolah kecil dengan gaji cuma £640 (RM3,160) sebulan,” kata Young sebelum ini.
Mengulas mengenai kenyataan suaminya itu, Fatine yang kini tinggal berasingan bersama seorang rakannya memberitahu, dia bukan berkahwin dengan Young semata-mata untuk mendapatkan visa.
“Saya menyintainya bukan kerana visa. Saya tiada rakan, tiada keluarga di Britain, saya terpaksa bergantung hidup sepenuhnya kepada suami saya. Namun, bagaimana kami boleh berbaik semula sedangkan dia (Young) pernah berkata perkara buruk terhadap saya,” kata Fatine.
Menurut mak nyah itu, dia sedang mencari pekerjaan untuk memulakan hidup baru di Britain.
Dia kini menyara hidup dengan menerima elaun pengangguran di negara Eropah itu. Nama lelaki Fatine ialah Mohammed Fazdil Min Bahari.
Ketika ditanya sama ada dia mengabaikan isterinya, Young mengakui perkara tersebut pernah berlaku.
“Saya mengaku saya mengabaikan Fatine apabila saya tertekan. Saya juga ingin memberitahunya bahawa kami boleh menempuh segala kesusahan bersama-sama tetapi dia tidak berminat untuk mendengarnya,” ujar Young.
“Saya kini cuba memulakan perniagaan sendiri. Ya, saya masih banyak berhutang tetapi saya cuba untuk bangun semula,” tambahnya. – Agensi

Klinik guna rokok rawat kanser


SEORANG kakitangan menghisap rokok yang digunakan untuk merawat penyakit kanser di klinik Griya Balur, Jakarta baru-baru ini.


JAKARTA - Klinik Griya Balur di sini menyediakan perkhidmatan merawat penyakit kanser dengan menggunakan asap rokok yang dihembus ke dalam telinga dan mata selain tiub ke dalam paru-paru si pesakit.
Menurut pengasas klinik tersebut, Dr. Gretha Zahar yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang teknologi nano dari Universiti Padjadjaran, Bandung, dia sudah merawat 60,000 pesakit sejak dekad lalu.
Dia percaya, dengan memanipulasi raksa dalam asap rokok, ia akan dapat mengubat semua pesakit termasuk kanser selain memperlahankan proses penuaan.
"Merkuri merupakan punca semua penyakit. Dalam rokok saya, terdapat pencari bahan (raksa) yang menarik raksa dari tubuh," katanya. - AFP

Peroleh RM211,955 kerana video di YouTube


ROB HOMAYOON menunjukkan cara-cara untuk membuat origami di laman YouTube.


GERMANTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelajar pergigian Universiti Temple di Philadelphia, AS, Rob Homayoon menyatakan dia sudah memperoleh pendapatan sebanyak AS$70,000 (RM211,955) sejak 2008 dengan menghasilkan klip video origami di laman YouTube di Internet, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Homayoon, 25, yang tinggal di sini, Pennsylvania menghasilkan klip video mengenai cara untuk membuat origami daripada kertas dari apartmennya.
Origami merupakan kaedah melipatkan kertas untuk menghasilkan pelbagai bentuk seperti burung.
Dia memperoleh pendapatan itu menerusi satu perjanjian dengan YouTube yang menjual iklan.
Menurutnya, dia memperoleh 80 peratus daripada jualan iklan dan Google yang memiliki YouTube memperoleh 20 peratus.
"Semasa (video) saya bermula, saya memperoleh AS$100 (RM302.85) dan saya berpendapat saya boleh menggunakannya untuk wang minyak saya. Kemudian ia meningkat kepada AS$400 (RM1,211) dan AS$600 (RM1,817) dan pada akhirnya saya memperoleh AS$1,000 (RM3,028) dan kemudian AS$2,000 (RM6,057).
"Salah satu cek saya mengandungi lima angka. Ia berlaku pada Disember lalu, empat bulan lalu," kata Homayoon.
Video klip Homayoon kini dimuat naik sebanyak 29.4 juta dan rangkaian klip videonya di YouTube mempunyai 64,000 pelanggan. - Agensi

No comments:

Post a Comment