Tembakan di dalam kapal selam nuklear Britain
LONDON - Seorang mangsa terbunuh manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas satu kejadian tembakan berlaku semalam di dalam sebuah kapal selam nuklear milik tentera Britain yang berlabuh di pelabuhan Southampton.
Menurut polis, insiden itu tiada kaitan dengan aktiviti pengganas.
Ia berlaku di dalam kapal selam terbaru dan paling canggih milik angkatan tentera laut Britain, HMS Astute.
Polis dan Kementerian Pertahanan Britain enggan memberi komen terhadap laporan yang menyatakan mangsa yang maut ialah pegawai tentera laut diraja.
"Dalam kedua-dua kes ini, saudara-mara mereka masih belum diberitahu mengenainya. Namun, para pegawai kini dalam proses memberitahu ahli keluarga mangsa.
"Tiada sebarang perincian mengenai mangsa yang cedera akan dikeluarkan sehingga siasatan disempurnakan," jelas polis Hampshire dalam satu kenyataan.
Pada Oktober tahun lalu, kapal selam Astute menjadi berita utama apabila ia tersadai di pantai Scotland dan terpaksa ditarik.
Kapal selam yang sama turut terlibat dalam satu pelanggaran dengan sebuah kapal tunda dan terpaksa dibaiki.
Media tempatan melaporkan, kapal selam terbabit dalam lawatan selama lima harinya ke Southampton.
Ia tiba pada Rabu lalu dan membawa seramai 98 orang anak kapal dan berada selama 46 hari di laut.
Ekoran kejadian itu, seorang lelaki dilaporkan ditangkap yang merupakan seorang anggota keselamatan. - Agensi
NATO kesal serang pemberontak anti-Gaddafi
AJDABIYA - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menyatakan ia kesal dengan kematian akibat serangan udara ke atas kereta-kereta kebal milik pemberontak yang menentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.Serangan itu berlaku sehari selepas ramai pemberontak dan orang awam keluar meninggalkan bandar ini kerana terdapat khabar angin bahawa tentera Gaddafi berada di luar bandar berkenaan.
Seorang wartawan agensi berita AFP menyatakan, kumpulan pemberontak sudah kembali berkumpul semula di bandar ini dan cuba untuk bergerak ke bandar Brega.
Pemberontak menentang kepimpinan Gaddafi sejak 15 Februari lalu bagi menuntut perubahan politik kerana beliau sudah memerintah selama empat dekad.
NATO melakukan satu siri serangan di Libya untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di negara ini yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Agensi
Lelaki didakwa menyamar sebagai Britney Spears
LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Britney Spears didakwa menggunakan seorang lelaki yang menyamar sebagai dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pendedahan itu dibuat semasa klip video Till The World Ends itu menjadi perbincangan hangat di Internet.
Salah seorang peminat Spears berkata, wanita mirip penyanyi tersebut bukan dirinya.
"Saya memikirkan perkara itu kerana dia tidak boleh menari seperti kebiasaan," katanya.
Menurutnya, dia menghentikan video tersebut dan berasa terkejut kerana wanita tersebut tidak kelihatan seperti Spears.
Laman peminat penyanyi berkenaan dihujani dengan teori sama ada Spears menggunakan orang lain untuk menyamar dirinya. - Agensi
Letupan Gamma 11 hari bingungkan saintis
LOS ANGELES - Letupan kosmik di galaksi yang jauh dari Bumi berlanjutan selama 11 hari telah membuatkan para saintis astronomi berada dalam keadaan kebingungan, lapor sebuah akhbar semalam.
Keadaan itu berlaku kerana letupan sinar Gamma biasanya berlaku hanya beberapa jam.
Letupan Gamma luar biasa itu dirakamkan satelit Swift milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada 28 Mac lalu.
Namun, para saintis bingung kenapa kesannya boleh berlanjutan begitu lama.
Lebih seminggu kemudian, mereka masih boleh melihat radiasi berkuasa tinggi terus muncul dari galaksi tersebut. Letupan itu mungkin disebabkan oleh sebutir bintang yang terpecah selepas berada terlalu hampir dengan satu lohong besar di angkasa lepas.
Sejak ia berlaku, Teleskop Angkasa Hubble dan Balai Cerap Chandra X-ray memberi fokus terhadap kesan letupan itu.
Hubble akan memantau sama ada kerak galaksi akan berubah tahap kecerahannya pada tempoh beberapa hari lagi.
Galaksi itu terletak 3.8 bilion tahun cahaya dari Bumi. Setiap tahun cahaya dianggarkan sejauh 9.65 trilion kilometer. - Agensi
Rakyat Britain tidak kisah tunang Putera William dara atau tidak
LONDON - Rakyat Britain kini dilihat tidak lagi peduli sama ada Kate Middleton iaitu tunang pewaris takhta negara itu Putera William, masih dara atau sebaliknya.
Pasangan itu yang akan berkahwin pada bulan ini dipercayai pernah tinggal bersama ketika masih belajar di sebuah universiti.
Sikap itu itu membuatkan istana Britain selari dengan peredaran zaman di negara berkenaan.
Perubahan tersebut mungkin disebabkan oleh kecurangan pasangan Puteri Diana iaitu ibu William yang pernah menjadi isteri Putera Charles.
Semasa pertunangan Puteri Diana, keluarga diraja dan penasihat mereka menganggap ibu William itu masih dara.
"Tidak pernah ada peraturan bahawa pengantin diraja mesti seorang dara," kata profesor dan sarjana diraja dari Universiti Aberystwyth di Wales, Noel Cox.
Pengkritik-pengkritik diraja percaya William berada di posisi lebih baik berbanding bapanya dalam memastikan perkahwinan ini berjaya.
"William seorang lelaki yang tegas. Beliau mencipta ruangnya sendiri, membuat keputusan apa yang hendak dibuat dan bila mahu melaksanakannya.
"Malah, hubungan William dan Kate selama lapan tahun boleh menjadi buktinya," kata seorang pakar aspek diraja, Dickie Arbiter. - AP
Trump siasat tempat lahir Obama
NEW YORK - Bilionair terkenal Amerika Syarikat (AS) yang menerbit program realiti televisyen The Apprentice, Donald Trump, menghantar sekumpulan penyiasat ke kampung halaman Presiden AS, Barack Obama di Hawaii, lapor akhbar New York Daily News semalam.Trump yang berusia 64 tahun menghantar pasukan penyiasat itu bagi mengetahui sama ada Obama benar-benar lahir di AS kerana beliau tidak pernah mempamerkan sijil kelahirannya.
"Saya ada orang yang mengkaji mengenainya (tempat lahir Obama) dan mereka tidak percaya dengan apa yang telah mereka perolehi," kata Trump yang mahu menjadi calon presiden bagi menentang Obama dalam rancangan Today terbitan NBC.
"Anda ada orang yang mencari maklumat - maksud saya di Hawaii?," soal hos, Meredith Vieira. "Memang betul. Mereka tidak percaya apa yang mereka dapat," jawab Trump.
Ahli perniagaan itu juga menyatakan Obama terlibat dalam satu penyelewengan tempat kelahirannya.
"Beliau membelanjakan sebanyak AS$2 juta (RM6.5 juta) untuk yuran guaman demi menyelesaikan isu ini. Jika semua ini tidak benar, kenapa beliau tidak selesaikannya sahaja?," soal Trump.
"Saya harap perkara ini tidak benar. Jika sebaliknya, ini akan menjadi penipuan paling besar dalam sejarah politik," kata Trump yang juga merupakan penganjur pertandingan Ratu Cantik Universe.
Beberapa orang aktivis sudah lama menegaskan bahawa Obama tidak layak menjadi presiden atas dakwaan beliau tidak dilahirkan di AS.
Ada yang menyatakan Obama lahir di Kenya manakala yang lain mendakwa Obama sebenarnya warga United Kingdom atau Indonesia.
Pada tahun 2008, pentadbiran Obama mengeluarkan satu dokumen yang menyatakan presiden itu lahir di Honolulu, Hawaii.
Obama yang dipilih menjadi Presiden AS pada tahun 2009 dan beliau sudah mengumumkan akan bertanding untuk penggal kedua pada 2012. - Agensi
Sudah bertunang tapi tak mampu kahwin
KABUL - Seorang kakitangan pentabiran di sini, Ahmad Mahfooz mempunyai pendapatan hampir sepuluh kali ganda daripada gaji tahunan pekerja rendah di Afghanistan namun dia masih tidak mampu untuk mengahwini tunangnya.Dia sudah berhutang beribu-ribu dolar selepas mengadakan satu majlis pertunangan mewah melibatkan 500 orang tetamu pada Disember lalu.
Ahmad memberitahu dia tidak tahu sama ada akan mampu untuk mengadakan majlis perkahwinan seperti yang diharapkan oleh bakal isteri dan keluarga mertuanya.
"Saya berhutang dengan hampir semua orang yang saya kenal. Saya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan wang untuk berkahwin," kata Mahfooz yang berusia 27 tahun.
Dia merupakan salah seorang golongan pertengahan di Afghanistan yang terpaksa berdepan dengan peningkatan kos perkahwinan.
Kenaikan kos itu menyebabkan golongan muda menangguhkan perkahwinan.
Ekoran itu, pemerintah Afghanistan sedang menimbang untuk mengharamkan majlis perkahwinan mewah.
Undang-undang baru yang diusulkan oleh Kementerian Keadilan itu akan menghadkan jumlah jemputan kepada 300 orang sahaja manakala had perbelanjaan bagi setiap tetamu ialah cuma AS$5 (RM15).
"Majlis perkahwinan sudah menjadi seperti pertandingan untuk menunjuk-nunjuk kekayaan dan pengaruh.
"Ramai orang muda tidak boleh berkahwin kerana mereka tidak mampu. Perkara ini mesti dihentikan," kata Ketua Jabatan Kementerian Undang-Undang Sivil, Majid Ghanizada.
Mariah Carey, suami kesal rakam gambar bogel
LOS ANGELES - Suami kepada penyanyi popular, Mariah Carey, Nick Cannon mengaku menyesal selepas dia dan isterinya yang sedang sarat hamil itu merakamkan gambar bogel mereka.Foto bogel pasangan itu difahamkan akan dipamerkan di dinding rumah keluarga mereka.
"Anak-anak kami akan melihat gambar bogel ini. Ia sedikit pelik. Gambar seperti ini agak menjijikkan. Maksud saya pernahkah kita melihat ibu bapa masing-masing berbogel?
"Apabila anak-anak kita sudah meningkat dewasa dan membawa kawan-kawan mereka datang ke rumah pasti mereka akan menyaksikan gambar ini sambil berkata tentang saya yang bertelanjang," ujar Nick, 30, kepada sebuah stesen radio di sini.
Mariah mengikut jejak langkah selebriti Hollywood lain seperti Demi Moore dan Christina Aguilera yang berbogel semasa hamil untuk muka depan majalah.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Always Be My Baby itu kini hamil lapan bulan dan dijangka bakal melahirkan bayi kembar pada 14 Mei ini.
Dia dikejarkan ke hospital pada hari jadinya yang ke-42 minggu lalu selepas mengalami kontraksi sebelum dibenarkan pulang semula oleh doktor yang meyakinkan belum sampai masa Mariah melahirkan bayinya.
Pasangan ini melangsungkan perkahwinan secara senyap-senyap di Barbados sekitar April 2008. - Agensi
Serpihan tsunami Jepun bergerak ke AS
NEW YORK - Sejumlah besar serpihan termasuk rumah, kereta, kapal, traktor, treler dan kereta kini dihanyutkan laut ke arah pantai barat Amerika Syarikat (AS) selepas tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut laporan berita stesen televisyen ABC, anggota-anggota Tentera Laut Armada Ketujuh AS mengesan serpihan itu yang terapung sekali gus menjadi ancaman kepada kapal.
Dalam tempoh tiga tahun, serpihan itu akan tiba dekat dengan pantai barat AS dan kemudian bergerak ke arah Hawaii dan berpusing semula ke arah Asia.
Putaran serpihan itu dikenali sebagai lingkaran Asia Pasifik.
Kebanyakan serpihan itu adalah plastik yang tidak akan patah menyebabkan ia akan mencetuskan kebimbangan mengenai pencemaran di laut dan mengancam kehidupan marin seperti penyu yang menggunakan laluan sama ke California dari Jepun.
Tsunami berlaku pada 11 Mac lalu akibat gegaran kuat gempa bumi yang berlaku di dalam laut dekat Sendai di timur laut Jepun mengakibatkan lebih 27,500 orang hilang dan terbunuh. - Agensi
No comments:
Post a Comment