Sunday, April 17, 2011

Trak guna kayu api ganti petrol

Tentera Gaddafi guna bom berangkai


BARISAN pejuang pemberontak mara dari bandar Adabiyah kelmarin untuk menawan bandar Brega daripada tentera Muammar Gaddafi


TRIPOLI - Beberapa letupan kuat menggegarkan bandar Misrata semalam selepas tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi membedil bandar berkenaan dengan menggunakan bom berangkai.
Misrata merupakan satu-satunya bandar di barat Libya yang masih dikuasai oleh pemberontak.
Penggunaan bom berangkai yang diharamkan undang-undang antarabangsa dalam serangan ke atas Misrata dilaporkan oleh Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Beberapa tentera pemberontak yang turut mengesahkan dakwaan HRW berkata, bom terbabit meletup di udara dan membebaskan banyak bom kecil untuk membunuh ramai orang dalam lingkungan kawasan yang agak luas.
"Malam semalam, bom-bom kecil jatuh seperti hujan," kata seorang penduduk bandar itu, Hazam Abu Zaid yang mengangkat senjata untuk mempertahankan kejiranannya.
Bom berangkai diharamkan oleh para diplomat dari lebih 100 negara dalam satu perjanjian antarabangsa di Dublin, Ireland 2008 kerana ia mengancam nyawa orang awam.
Sementara itu, di timur Libya, bunyi bedilan meriam kedengaran selepas pihak pemberontak di bandar Adabiyah mara ke Brega selepas bandar minyak itu dibom jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Objektif tentera pemberontak kini adalah untuk menawan kembali Brega yang terletak sekitar 80 kilometer dari Adabiyah. Beberapa laporan setakat ini menyatakan, pemberontak telah sampai di pinggir bandar berkenaan dan bertempur dengan tentera Gaddafi.
Dalam perkembangan berkaitan Presiden AS, Barack Obama kelmarin mengakui pertempuran yang memasuki minggu ketiga kini menemui jalan buntu, tetapi yakin NATO akhirnya akan dapat menyingkirkan Gaddafi. - Agensi


Trak guna kayu api ganti petrol


TRAK El kamina yang menggunakan kayu api sebagai bahan bakar.


HELSINKI - Tidak tahan dibebani harga petrol yang melambung tinggi, seorang lelaki di Finland mengubah suai sebuah trak pikap miliknya bagi membolehkan kenderaan itu bergerak dengan menggunakan kuasa kayu api, lapor sebuah akhbar semalam.
Setelah mengalami pengubahsuaian, enjin V6 trak jenis Chevrolet milik Juha Sipila kini dijana asap daripada dapur kayu api yang dipasang di belakang trak tersebut.
Pada kapasiti penuh, dapur tersebut boleh diisi dengan kayu api yang mencukupi untuk menggerakkan trak itu sejauh 1,280 kilometer.
Lelaki itu mendakwa, traknya boleh mencapai kelajuan maksimum 144 kilometer sejam dan dia menamakan kenderaannya El Kamina yang bermaksud dapur dalam bahasa Finland.
Teknologi dapur kayu itu yang pertama kali digunakan pada kenderaan semasa kekurangan bekalan petrol ketika Perang Dunia Kedua, didapati lebih mesra alam berbanding enjin petrol atau diesel. - Agensi


Aktres tunjuk lagak sombong

KALAU dah hidung tinggi, cantik macam mana sekalipun, wajah molek tetap dipandang hodoh. Begitulah perumpamaan Diva terhadap seorang artis cantik tetapi banyak fiil ini.
Kata salah, tak kata pun salah, serba salah dibuatnya. Terbaru Diva dengar artis itu yang baru-baru ini menggondol hadiah terbaru mula tunjuk perangai berangannya.
Disebabkan dia tak kenal siapa yang datang nak bergambar dengannya, dia dengan muka selamba menolak permintaan seseorang yang jujur ingin merakamkan kenangan bersama artis pujaan ramai itu.
Hendak dijadikan cerita, si polan yang mahu bergambar itu ialah seorang wartawan baru.
Kasihan, mentang-mentanglah dia budak baru dan belum dikenali artis, mudah sahaja si aktres tadi memperlekehkannya. Terpinga-pinga jadinya si budak itu apabila permintaannya tidak dilayan si aktres.
Sejak dahulu lagi banyak kejadian tidak enak dikaitkan dengan aktres yang banyak perangai itu.
Kalau ada orang kata wartawan pilih bulu, artis lebih daripada itu.
Apabila dengan wartawan yang bodek melangit, bukan main rancak dan mesra dia ditemu ramah.
Tapi bila ditanya oleh wartawan yang kurang dikenali, terus jawab ‘no comment’.
Pernah sekali seorang wartawan yang hendak menemuramahnya terpaksa menunggu lebih sejam disebabkan aktres itu mahu melayan kawan-kawannya dahulu.
Pesanan untuk individu yang terkena layanan kelas rendah oleh artis berkasta tinggi itu, jadikan tragedi diperlakukan seperti budak hingusan itu sempadan pada masa hadapan.
Bila kalian dah hebat nanti, pasti ada artis yang tak semena-mena nak bergambar dengan kalian atau minta ditemu ramah.
Macam seorang kawan Diva baru-baru ini, terkejut beruk dia bila seorang artis yang pernah diselarnya tiba-tiba meminta untuk merakamkan gambar bersama. Tak tahulah untuk dijadikan bukti atau apa, yang penting ajak bergambar.


Kasut bertatah 2,200 butir berlian


KASUT House of Borgezie ini dihiasi dengan 2,200 butir berlian.


LONDON, Britain - Sepasang kasut tumit tinggi berharga £140,000 (RM691,029) dipercayai termahal di dunia, dipamerkan di gedung kasut House of Borgezie di sini kelmarin.
Kasut buatan tangan itu diperbuat daripada emas padu dan dihiasi 2,200 butir berlian dengan berat keseluruhan 30 karat.
Setakat ini, masih belum ada pelanggan yang membeli kasut berkenaan yang dihasilkan oleh pereka barang kemas Britain, Christopher Michael Shellis, sejak ia dipamerkan untuk jualan lebih lima bulan lalu.
"Kasut ini ibarat harta karun yang dipakai di kaki. Setakat ini, kami menerima banyak pertanyaan tetapi tiada urusniaga yang konkrit," kata Shellis. - Agensi

No comments:

Post a Comment