Sunday, April 17, 2011

Panggilan telefon bimbit pertama 38 tahun lalu

Tentera Gaddafi masih kuat


SEORANG pemberontak Libya lari ke arah sebuah ambulans ketika peluru artileri tentera Gaddafi meletup beberapa meter di depannya dekat Brega, Libya semalam.


BREGA - Pihak pemberontak terpaksa berundur dari bandar minyak ini selepas mereka menjadi sasaran bedilan roket dan artileri tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam walaupun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebelum ini melaporkan ia telah memusnahkan hampir satu pertiga senjata berat Gaddafi.
Tentera pemberontak berjaya menawan bandar ini kelmarin dengan dibantu serangan udara NATO tetapi bedilan bertubi-tubi meriam dan roket ke atas mereka menandakan keupayaan tentera Gaddafi masih tidak terjejas.
"Situasi sekarang amat teruk. Kami tidak dapat menandingi senjata tentera Gaddafi," kata seorang pejuang pemberontak, Kamal Mughrabi, 64.
"Jika jet-jet NATO tidak kembali menyerang mereka, kami terpaksa berundur dan terus berundur," tambahnya.
Cubaan pemberontak membedil roket dan mortar ke arah tentera pemerintah menerima serangan balas sengit yang memaksa tentera pemberontak berundur ke bandar Adabiya yang terletak berpuluh-puluh kilometer dari sini.
Pada awal semalam, bagaimanapun, satu serangan udara dilancarkan ke atas konvoi lapan kenderaan tentera pemerintah yang sedang mara ke arah kedudukan pemberontak, kata pegawai tentera pemberontak, Abdel-Basset Abibi yang memetik laporan pasukan peninjaunya.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai NATO, Brigedier Jeneral Mark Van Uhm semalam menyatakan, mereka telah memusnahkan 30 peratus senjata Gaddafi.
Setakat kelmarin sahaja, katanya, NATO melancarkan 14 serangan ke atas sasaran di darat di serata Libya dengan memusnahkan sejumlah radar, depot simpanan peluru, kereta perisai dan kenderaan pelancar roket.
Kebangkitan rakyat Libya menentang pemerintahan 42 tahun Gaddafi bermula pada 15 Februari lalu berpunca daripada kegagalan pemimpin itu melaksanakan pembaharuan demokrasi dan hak asasi manusia dan membanteras rasuah. - Agensi


Kempen Obama RM3.02 bilion


BARACK OBAMA berjalan menuju ke sebuah kereta di Washington D.C pada Ahad lalu untuk bermain golf.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin secara rasminya mengumumkan beliau akan bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya 2012 dengan dana AS$1 bilion (RM3.02 bilion) akan digunakan bagi berkempen, lapor sebuah akhbar semalam.
Obama membuat pengumuman tersebut melalui emel dan rakaman video yang dihantar kepada para penyokong secara dalam talian.
Mengulas mengenai bajet kempen politik 2012 Obama, seorang pengarah firma perunding AS, Michael Malbin berkata, walaupun bajet yang diperlukan untuk kempen pilihan raya kali agak besar, jumlah itu bukan sesuatu yang mustahil.
"Dana tersebut tidak sukar kerana dalam kempen pilihan raya 2008, dana yang dikumpulkan oleh Obama mencecah AS$750 juta (RM2.2 bilion) ," katanya.
Pada pilihan raya kali ini, Obama akan mengekalkan dasar pentadbirannya yang sedia ada di samping berjanji akan menangani beberapa isu penting seperti pembangunan tenaga dan reformasi dalam sistem imigresen negara.
"Kita tidak boleh bergerak ke belakang. Kita perlu mengekalkan pencapaian sedia ada dan membawanya ke peringkat lebih baik," kata Obama dalam satu ucapan kepada parta penyokongnya kelmarin.
Presiden berusia 49 tahun itu akan menggunakan logo kempen yang hampir sama dengan logo yang digunakan dalam pilihan raya 2008 untuk kempen terbarunya.
Logo kempen pilihan raya 2008 Obama yang direka oleh firma Sender LLC, menampilkan imej matahari menyingsing di langit biru yang simbolik kepada 'era baru', jalur merah putih mewakili negeri-negeri AS dengan semua simbol itu diletakkan dalam huruf O iaitu singkatan namanya.
Logo kali ini memiliki tema serupa, tetapi huruf O tersebut berada dalam barisan nombor 2012.
Obama yang mewakili Parti Demokrat, dipilih Presiden AS ke-44 pada 2009, selepas beliau menewaskan calon Parti Republikan, Senator John McCain dalam pilihan raya presiden 2008.
- Agensi

Panggilan telefon bimbit pertama 38 tahun lalu


MARTIN COOPER membuat panggilan telefon bimbit pertama di dunia di New York pada 3 April 1975.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Panggilan telefon bimbit pertama di dunia dibuat pada 3 April, 38 tahun lalu oleh seorang pengurus besar firma Motorola, Martin Cooper di pusat bandar di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Cooper, yang pada masa itu berusia 44 tahun, keluar bersiar-siar dengan membawa telefon bimbit prototaip Motorola Dyna-TAC sambil diperhatikan orang ramai yang terkejut melihat gajet yang dibawanya.
"Semasa saya bersiar-siar jalan, penduduk New York yang begitu sofistikated kagum melihat seseorang berjalan sambil bercakap di telefon.
"Anda perlu ingat ketika itu tahun 1973, tiada lagi telefon tanpa kod apatah lagi telefon selular (bimbit)," kata Cooper yang kini berusia 82 tahun.
Menurutnya, orang pertama yang dihubungi dengan menggunakan telefon bimbit itu ialah ketua unit penyelidikan firma telefon Bell, Dr. Joel S Engel yang juga saingannya, sebelum dia menghubungi beberapa wartawan.
"Saya menelefon Engel untuk memberitahunya bahawa kami telah mengatasi Bell dalam perlumbaan untuk menghasilkan telefon bimbit pertama di dunia," katanya.
Cooper kemudian membenarkan wartawan-wartawan tersebut membuat panggilan mereka sebagai bukti bahawa mereka bukan ditipu dan dia bukan berjenaka.
Telefon bimbit Dyna-TAC yang seberat 0.6 kilogram berada dalam pasaran 10 tahun kemudian iaitu pada 1983, dan dijual pada harga mencecah AS$3,500 (RM10,592). - Agensi


Bintang sukan dedah rahsia rambut unik


TROY POLAMALU memiliki rambut yang unik.


PITTSBURG, Amerika Syarikat - Seorang pemain bola sepak Amerika, Troy Polamalu berusia 29 tahun mendedahkan rahsia rambut uniknya yang memiliki nilai insurans sebanyak AS$1 juta (RM3.02 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Menurutnya, dia mula menyimpan rambut unik itu semasa di zaman pembelajarannya di kolej dan ia kini menjadi sebahagian daripada identitinya.
Polamalu berkata, semasa musim sukan bola sepak, dia syampu rambutnya selang sehari.
"Namun, semasa musim sukan itu berakhir, saya hanya membasuh rambut saya sekali seminggu tetapi saya menggunakan perapi rambut pada setiap hari," katanya.
Menurutnya, dia mempunyai rambut yang lebih panjang daripada isterinya.
"Isteri saya tidak terlalu gembira dengan rambut ini," katanya. - Agensi


Juruterbang tidak dapat melihat semasa mendarat


MUNCUNG pesawat United Airlines hampir mengenai rumput di Lapangan Terbang Louis Armstrong di Kenner, Amerika Syarikat kelmarin.


KENNER, Amerika Syarikat (AS) - Juruterbang-juruterbang sebuah pesawat penumpang United Airlines bertindak berani dengan mendaratkan pesawat itu walaupun kokpit dipenuhi dengan asap kelmarin.
Pesawat yang membawa 109 penumpang itu mengalami masalah selepas 20 minit berlepas menyebabkan ia terpaksa berpatah balik dan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Louis Armstrong di sini.
Tindakan juruterbang itu menyebabkan muncung pesawat hampir mengenai rumput di tepi landasan selepas ia terbabas menyebabkan roda terbenam ke dalam tanah.
Dalam kejadian itu, terdapat beberapa penumpang mengalami cedera ringan.
Menurut kru pesawat, brek antigelincir kapal terbang tersebut tidak berfungsi.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan yang merupakan agensi mengawal peraturan penerbangan di AS melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian. - Agensi

Telefon bimbit rakam bayang budak dipercayai hantu


GAMBAR yang dirakamkan menerusi telefon bimbit berkamera menunjukkan Sirus Walsh (kanan) berdiri dekat bayang seorang budak (dalam bulatan) di rumahnya di Redhill, Surrey baru-baru ini.


REDHILL, Britain - Seorang budak lelaki berusia lima tahun, Sirus Walsh didapati bermain dengan hantu budak oleh keluarganya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Menurut akhbar itu, gambar hantu budak itu berjaya dirakamkan menerusi sebuah telefon bimbit berkamera di sini.
"Anak perempuan saya merakamkan gambar anak lelakinya dengan sebuah telefon bimbit baru.
"Apabila dia melihat gambar tersebut, terdapat dua budak lelaki dengan salah satunya ialah bayang budak," kata nenek Sirus, Julie Smith, 52.
Menurut Smith, anak perempuannya itu kemudian memadamkan gambar tersebut.
Namun, katanya, selepas satu gambar lagi dirakamkan, mereka mendapati terdapat bayang budak dekat dengan Sirus.
Julie menafikan bahawa gambar itu adalah palsu dengan menegaskan tiada anggota keluarganya yang mahir dengan teknik untuk memalsukan gambar.
Gambar tersebut turut disiarkan di Facebook dan dalam tempoh sejam, terdapat 20 komen sebelum ia didapati hilang daripada laman rangkaian sosial itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment