Tentera Gaddafi tukar taktik
NAPLES - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) amat berhati-hati dalam melancarkan serangan udara di Libya selepas tentera pemerintah mula menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, kata timbalan komander bagi operasi pakatan berkenaan semalam.
"Tentera Libya beralih kepada taktik peperangan tidak konvensional seperti berada dalam barisan kenderaan awam dan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia untuk meneruskan kemaraan mereka," kata pegawai itu, Laksamana Muda, Russell Harding dalam satu sidang media di sini.
"Tentera NATO amat berhati-hari untuk mengelakkan kecederaan kepada orang awam yang berada dekat dengan lokasi pertempuran dan kerap kali, situasi itu merupakan taktik tentera Libya," tambahnya.
Menurutnya, mandat bagi melindungi orang awam dalam situasi itu adalah lebih mencabar kerana resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak membenarkan tentera darat digunakan bagi tujuan tersebut.
"Oleh kerana kami dilarang menggunakan angkatan darat, peranan kami untuk melaksanakan tugas tersebut (melindungi orang awam Libya) agak terbatas.
"Namun, ia bukan bermakna kami tidak mempunyai tekad dan senjata untuk bertindak bagi menghentikan kezaliman tersebut," katanya.
Beliau memberitahu, tentera Libya yang menggunakan taktik baru itu sedang bergerak ke timur menuju ke Ajdabiya sekali gus mengancam bandar minyak tersebut dan bandar Benghazi yang menjadi kubu kuat pemberontak.
"Sebagai tindak balas NATO melancarkan serangan ke atas pasukan tersebut dan rangkaian logistik serta bekalan senjata mereka," ujarnya.
Menurut pegawai itu, lebih 100 jet pejuang dan pesawat sokongan selain 12 kapal perang di bawah arahan NATO dikerahkan dalam misi di Libya.
Rakyat Libya bangkit menentang menentang pemerintahan 42 tahun Gaddafi sejak 15 Februari lalu setelah beliau gagal melaksanakan pembaharuan politik dan membanteras rasuah. - Agensi
Pekerja kawal kebocoran radioaktif
TOKYO - Para pekerja bertungkus lumus menghentikan air yang tercemar dengan radioaktif di loji nuklear Fukushima Daiichi, timur laut Jepun daripada mengalir ke laut semalam selepas Tokyo mengakui ia sepatutnya berkongsi lebih banyak maklumat dengan negara-negara jiran mengenai pencemaran di lautan.
Walaupun para pekerja berjaya menutup kebocoran di loji Fukushima Daiichi, para jurutera terbabit perlu mengepam 11.5 juta air tercemar ke dalam laut kerana mereka kehabisan ruang simpanan di loji itu.
Air tersebut digunakan untuk menyejukkan batang-batang bahan api nuklear.
Pakar-pakar nuklear berkata, usaha bagi mengawal reaktor yang rosak masih belum berjaya selepas hampir sebulan Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu.
Dalam malapetaka tsunami itu, lebih 27,500 orang terbunuh dan hilang manakala gegaran kuat gempa bumi yang berukuran 9.0 pada skala Richter telah merosakkan loji nuklear itu.
"Kebocoran itu menjadi perlahan sejak Isnin lepas setelah kami memasukkan cecair kaca agen pengeras dan ia (kebocoran) kini berhenti," kata seorang jurucakap Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) yang mengendalikan loji berkenaan.
Sementara itu, Korea Selatan dan China kini semakin bimbang mengenai tindakan Jepun yang mengepam air beradioaktif ke dalam laut. - Agensi
Boeing cadang pesawat 737 diperiksa
WASHINGTON - Pembuat pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing kelmarin mencadangkan agar ratusan pesawat 737 buatannya diperiksa selepas sebuah pesawat syarikat penerbangan Southwest Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas pada minggu lalu.
Sebuah pesawat 737-300 berkenaan yang membawa 123 orang mendarat cemas di negeri Arizona pada Jumaat lalu selepas sebuah lubang ditemui pada bumbungnya yang menyebabkan kehilangan tekanan dalam kabin.
Susulan insiden itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan memeriksa sekitar 175 buah Boeing 737 yang telah berlepas dan mendarat lebih 30,000 kali.
Ketua jurutera Boeing untuk pesawat 737, Paul Richter berkata, pesawat 737 yang disarankan diperiksa itu adalah yang beroperasi antara tahun 1993 dan 2000.
Pesawat 737 digunakan di serata dunia dan pemeriksaan mengambil masa lima hari, kata Richter dalam satu sidang video, tanpa mendedahkan nama syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat tersebut.
Menurutnya, pihak Boeing telah menjangkakan rekahan akan berlaku pada badan pesawat 737 tetapi ia biasanya akan berlaku lama selepas pesawat itu memenuhi had kitaran 30,000 penerbangan seperti yang disarankan oleh FAA.
"Perancangan kami sebelum ini adalah untuk mencadangkan pemeriksaan apabila jumlah penerbangan pesawat 737 mencecah 60,000 penerbangan," katanya - AFP
Misteri makhluk ganjil di sungai Britain
BRIDGWATER, Britain - Ratusan penduduk kebingungan apabila mereka melihat satu makhluk ganjil terapung di Sungai Parrett di bandar ini, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Ramai di antara mereka melihat kelibat makhluk itu dari sebuah jambatan pada Isnin lepas di bandar tersebut yang dihuni hampir 34,000 orang.
Penduduk kini membuat spekulasi mengenai identiti makhluk tersebut sama ada ia penyu, ikan lumba-lumba atau bangkai babi.
Terdapat beberapa orang yang melihat makhluk itu mengesyaki ia merupakan kacukan penyu dan babi.
Ada yang menganggap makhluk ganjil itu mungkin batu dan seekor anjing.
Spekulasi mengenai identiti makhluk tersebut juga dibincangkan di laman Twitter.
Seorang penduduk, Coral Pople memberitahu sebuah akhbar tempatan: "Saya sudah berada di sini selama 45 minit. Setiap orang menyatakan makhluk itu adalah seekor penyu tetapi pada pandangan saya ia kelihatan seperti seekor babi."
Menurut seorang lagi penduduk, Andrew Coles, dia berpendapat terdapat seseorang yang melompat ke dalam sungai dan khabar angin yang didengarinya menyatakan satu mayat berada di dalam sungai tersebut.
Makhluk itu dilihat tidak bergerak dan terapung di sungai tersebut dekat dengan pusat bandar ini.
Seorang jurucakap polis menyatakan pihaknya memang mengetahui terdapat sejumlah besar orang mengerumuni jambatan tersebut untuk melihat makhluk ganjil itu.
Anggota-anggota polis meninggalkan jambatan itu selepas mereka melihat makhluk itu tanpa mengambil sebarang tindakan. - Agensi
Lukisan guna ratusan ribu perkataan
MADRID - Seorang pelukis amatur dari Sepanyol, Juan Osborne menunjukkan kepakarannya dengan melukis gambar pewaris kedua takhta Britain, Putera Charles dan tunangnya, Kate Middleton dengan menggunakan ratusan ribu perkataan pelbagai warna, lapor sebuah akhbar semalam.
Jika diperhatikan dari jarak dekat lukisan tersebut yang dihasilkan oleh lelaki berusia 40 tahun berasal dari Madrid itu mempamerkan perkataan seperti William, holiday, Kenya, Wales, Prince, Middleton, royal, family, queen dan Catherine.
Dia yang telah menghasilkan lebih 500 lukisan mendapat idea untuk melukis gambar dengan menggunakan perkataan selepas bekerja di sebuah syarikat arkitek pada tahun 2009. - Agensi
No comments:
Post a Comment