Sunday, April 17, 2011

Gambar erotik Elizabeth Taylor didedahkan

Krisis nuklear Jepun 100 tahun?


GAMBAR oleh Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menunjukkan keadaan empat reaktor nuklear Fukushima Daiichi yang rosak setakat semalam.


TOKYO, Jepun - Seorang pakar nuklear memberi amaran pencemaran radiasi daripada loji nuklear Fukushima Daiichi akan berterusan kerana batang-batang bahan api nuklearnya mengambil masa hingga 100 tahun untuk sejuk, lapor sebuah akhbar semalam.
Bekas anggota dasar keselamatan nuklear Britain, Dr. John Price berkata, tempoh itu diperlukan sebelum batang-batang nuklear itu sejuk dan selamat untuk dipindahkan.
"Cara sekarang (untuk menyejukkan batang-batang nuklear tersebut) iaitu menyemburkan air ke dalam reaktor-reaktor itu kurang berkesan, kerana air kembali mengalir keluar akibat kebocoran dan menyebabkan pencemaran radiasi terus berlaku.
"Perlu ada cara supaya air yang dipam itu kekal di dalam reaktor-reaktor nuklear tersebut," katanya.
Komen beliau disiarkan stesen televisyen Amerika Syarikat (AS), ABC semalam selepas seorang ibu kepada pekerja-pekerja kecemasan yang bergelut untuk menghalang batang-batang nuklear di loji Fukushima Daiichi daripada mencair berkata, mereka semua akan mati akibat kesan radio aktif dalam masa beberapa minggu lagi.
"Anak lelaki saya memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan sekerjanya sanggup berkorban demi negara," kata kata ibu berusia 32 tahun itu dalam satu wawancara telefon dengan stesen televisyen Fox News.
"Mereka sedar mereka akan mati dalam masa beberapa minggu lagi kerana radiasi kerana adalah mustahil untuk mengelakkan pancaran radiasi di dalam loji tersebut," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jepun dilapor bersedia menimbus reaktor-reaktor nuklear itu dengan mencurahkan bertan-tan bahan konkrit sebagai jalan terakhir bagi mengatasi krisis nuklear Fukushima Daiichi sekiranya usaha yang dilaksanakan sekarang gagal.
Langkah itu dapat menghalang sinaran dan partikel radioaktif daripada tersebar.
Dalam pada itu, beribu-ribu mayat mangsa bencana gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu masih belum dipungut kerana mayat-mayat itu didapati dicemari tahap radiasi yang tinggi.
Setakat ini, 11,500 orang disahkan terkorban dengan 16,400 lagi masih hilang dan peluang untuk menemui mayat mereka amat tipis.
Tiga minggu selepas bencana itu berlaku, sejumlah 260,000 kediaman di timur laut Jepun masih terputus bekalan air manakala 170,000 rumah lagi terpaksa bergelap. - Agensi


Ijazah PhD anak lelaki Gaddafi dipertikai

LONDON, Britain - Seorang anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi didakwa memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Sekolah Ekonomi London (LSE) melalui 'pintu belakang' selepas dia menghulurkan derma lumayan untuk institusi pengajian tinggi berprestij itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kesangsian tentang tesis Saif Al Islam Gaddafi, 38, timbul berikutan dia mendermakan £1.5 juta (RM7.3 juta) kepada LSE selepas memperoleh ijazah PhD pada 2008.
Media Britain mendakwa Saif mendapat 'bantuan aktif' Nigel Sheinwald yang ketika itu merupakan penasihat kanan dasar luar Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Saif memperoleh ijazah PhD pada 2008 setelah menyiapkan tesis setebal 429 muka surat bertajuk The Role of Civil Society in the Democratisation of Global Governance Institutions.
Sheinwald, 57, kemudian dilantik oleh Blair sebagai Duta Britain ke Amerika Syarikat (AS).
Sebelum itu, Britain melalui syarikat minyaknya, BP telah diberikan kontrak lumayan cari gali minyak di Libya oleh Gaddafi dengan persetujuan Blair.
Isu ketulenan tesis Saif kini menjadi sebahagian siasatan satu suruhanjaya diketuai oleh bekas ketua hakim Britain, Harry Woolf yang menyiasat hubungan kewangan LSE dengan Libya
"Saya yakin siasatan Woolf akan mendedahkan banyak perkara 'menarik' tetapi saya begitu tertarik untuk mengetahui pembabitan penasihat Blair dalam tesis Saif Gaddafi," kata seorang wakil rakyat, Patrick Mercer. - Agensi


Gambar erotik Elizabeth Taylor didedahkan


ELIZABETH TAYLOR berusia 24 tahun dalam gambar ini yang diberikan kepada tunangnya, Michael Todd.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Selama ini, sudah banyak gambar Elizabeth Taylor terpampang di dada media tetapi tiada satu pun yang lebih sensasi daripada sekeping gambar bogelnya yang dimiliki seorang pengumpul memorabilia, Jim Shaudis, lapor sebuah akhbar semalam.
Kini, selepas kematiannya, gambar bogel Taylor itu buat pertama kalinya didedahkan untuk tontonan umum.
Gambar itu yang dirakam ketika Taylor berusia 24 tahun oleh rakan karibnya, Roddy McDowall, merupakan hadiah pertunangan pelakon bermata ungu lembayung itu kepada penerbit Hollywood, Michael Todd.
Todd, seorang penerbit Hollywood yang popular menerusi filem klasik Around the World in Eighty Days, meninggal dunia dalam satu nahas udara di New Mexico, AS pada tahun 1958, selepas 13 bulan mereka berkahwin.
Selepas kematian suaminya, Taylor memberikan gambar itu kepada jurusoleknya, Penny Taylor sebagai hadiah kenang-kenangan.
Ia kemudian dibeli oleh Shaudis pada tahun 1980 dan sejak itu, gambar tersebut dipercayai telah hilang.
Namun, selepas kematian Taylor pada usia 79 tahun akibat kegagalan jantung minggu lalu, Shaudis memutuskan untuk mendedahkan imej erotik itu untuk tontonan para peminat aktres berkenaan.
Sepanjang hidupnya, Taylor membintangi lebih 50 buah filem dan telah dua kali memenangi anugerah Oscar iaitu menerusi filem Butterfield 8 pada 1960 dan filem Who's Afraid of Virginia Woolf?, enam tahun kemudian. - Agensi

No comments:

Post a Comment