Sunday, April 17, 2011

Selepas 6 bulan nikah, baru tahu isteri ialah lelaki

Muammar Gaddafi masih berada di Tripoli


SEBUTIR roket meletup di medan pertempuran dekat bandar Brega sambil diperhatikan oleh dua pejuang pemberontak semalam.


KAHERAH - Sumber-sumber pegawai peringkat tinggi Libya menafikan mereka mengetahui maklumat mengenai rundingan rahsia di antara para perwakilan rejim pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi dengan pihak pentadbiran negara-negara Barat, lapor akhbar Asharq Al Awsat semalam.
Bagaimanapun, sumber-sumber itu menegaskan bahawa Gaddafi masih berada di berek Bab al-Aziziyah di Tripoli, Libya selain menyatakan keluarga pemimpin berkenaan juga berada di negara tersebut.
Sumber itu menjelaskan maklumat itu dalam satu temu ramah dengan akhbar Asharq Al-Awsat bahawa Gaddafi mengadakan mesyuarat tertutup dengan para komander kanan tentera dan rejimen keselamatan negaranya tiga hari lalu.
Tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk mengkaji keadaan di medan perang, sekali gus menunjukkan Gaddafi masih bekerja secara normal di Tripoli semasa negara-negara Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai pemimpin Libya.
Sumber itu mendedahkan bahawa Gaddafi mengecam Menteri Luar Libya, Mussa Kussa yang belot ke Britain pada minggu lalu.
Mussa sebelum ini mengumumkan bahawa beliau memutuskan hubungan dengan pentadbiran yang dipimpin Gaddafi.
Menurut sumber tersebut, Gaddafi memberitahu sejumlah individu yang rapat dengannya bahawa pihak perisikan asing menjadi dalang yang menyebabkan Mussa bertindak melarikan diri ke Britain.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa berlaku satu pemberontakan yang gagal di dalam kediaman Gaddafi pada Jumaat lalu.
Pemberontakan itu dilakukan sejumlah pegawai muda tentera Gaddafi.
Namun, tentera Gaddafi campur tangan dan mematahkan pemberontakan tersebut dengan segera.
Satu sumber di Tripoli bercakap menerusi telefon: "Kami mendapat maklumat bahawa satu pemberontakan kecil berlaku tetapi ia dapat dipatahkan dengan segera."
Bagaimanapun, satu lagi sumber memberitahu bahawa insiden tembakan yang didengari oleh penduduk dekat ibu pejabat Gaddafi di Bab al-Aziziyah, Tripoli adalah berpunca daripada tindakan beberapa pegawai pentadbiran yang mahu meninggalkan ibu pejabat tersebut tanpa memperoleh permit.
Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu selepas sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di Bandar Benghazi untuk memperjuangkan hak asasi manusia.
Tunjuk perasaan itu kemudian bertukar menjadi pertempuran melibatkan tentera Gaddafi selepas semakin ramai penduduk menuntut pemimpin tersebut meletakkan jawatan.
Pertempuran itu semakin rumit dengan penglibatan tentera bersekutu diketuai AS yang mahu menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya selepas ia diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, satu serangan udara pakatan Barat membunuh 13 orang berhampiran pintu masuk timur bandar Brega pada Jumaat lalu.
Kepimpinan pemberontak menyifatkan pengeboman tersebut sebagai satu kesilapan yang tidak disengajakan dan menegaskan bahawa serangan udara Barat masih diperlukan bagi menewaskan tentera Gaddafi.
Beratus-ratus pemberontak bertempur dengan tentera Gaddafi di Brega yang masuk hari ketiga semalam.
Mereka turut dibantu serangan udara Barat yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- Agensi


Kebocoran dijangka dapat dikawal beberapa bulan lagi


SEORANG pekerja memakai pakaian khas berjalan berhampiran pit yang musnah di reaktor No. 2 loji di nuklear Fukushima Dai-ichi.


TOKYO - Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama menyatakan loji nuklear Fukushima Dai-ichi mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk dapat dikawal sepenuhnya.
Berita itu hadir ketika sekumpulan jurutera cuba mencari jalan bagi menghentikan kebocoran air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada terus memasuki Lautan Pasifik.
"Kita akan berdepan dengan situasi genting dalam tempoh beberapa bulan akan datang," kata Nishiyama. Bagi mengawal semua reaktor, loji itu memerlukan sistem penyejukan yang dipasang secara tetap demi mengelakkannya daripada mengalami masalah kepanasan melampau.
Pembantu kepada Perdana Menteri Jepun, Goshi Hosono menegaskan keutamaan kerajaan kini adalah untuk menghentikan kebocoran radiasi yang menimbulkan kebimbangan kepada rakyat.
"Kami tidak lari daripada krisis, namun keadaan semakin stabil. Berapa lama ia akan mengambil masa? Saya fikir mungkin beberapa bulan," kata Hosono.
Sabtu lalu, retakan sepanjang 20 sentimeter ditemui pada pit penyelenggaraan. Justeru, ia dikatakan sebagai punca kepada penemuan air laut yang mengandungi tahap radioaktif iodin yang tinggi sejak lebih seminggu lalu.
Sekeping gambar yang disiarkan oleh pengendali loji, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) menunjukkan pancutan air keluar dari dinding dan memasuki laut. Jumlah air itu masih belum diketahui.
Sabtu lalu, para jurutera cuba untuk menampal keretakan itu menggunakan konkrit tetapi usaha tersebut gagal. Semalam, mereka memasukkan campuran serbuk kayu, cebisan surat khabar dan polimer yang boleh mengembang kepada 50 kali saiz asalnya apabila terkena air.
Campuran polimer itu bagaimanapun masih gagal untuk mengekang kebocoran. Namun mereka tidak berputus asa dan akan mengetahui keadaannya pada hari ini. - Agensi


Facebook disaman lebih RM3 bilion

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan laman web berkenaan disaman lebih AS$1 billion (RM 3.3 bilion) kerana menyiarkan artikel anti-Yahudi, lapor sebuah akhbar semalam.
Saman terbabit difailkan oleh peguam yang juga seorang aktivis, Larry Klayman di sebuah mahkamah tinggi di sini pada Khamis lalu.
Dalam samannya, Klayman menuduh Facebook lewat menarik semula satu muka suratnya yang bertajuk 'Intifada Palestin Ketiga' bagi menentang Israel.
Menurutnya, Facebook sengaja membiarkan halaman tersebut kerana faktor komersial.
Halaman Facebook itu yang mengajak orang ramai bangkit menentang Israel, menyaksikan lebih 300,000 pengguna mengklik tanda 'suka' terhadap cadangan tersebut.
Intifada atau kebangkitan menentang Yahudi tersebut dirancang diadakan pada 15 Mei depan.
Muka surat itu cuma dipadam oleh Facebook pada 29 Mac lalu, beberapa hari selepas beberapa orang membuat aduan termasuk Menteri Diplomatik Awam Israel, Yuli Edelstein dan sebuah pertubuhan pro-Israel, Liga Anti-Defamasi.
Mengulas mengenai kes tersebut, seorang jurucakap Facebook berkata, dakwaan Klayman sama sekali tidak berasas.
"Kami akan menentang habis-habisan untuk membuktikan kami tidak bersalah," katanya.
Menurutnya, muka surat itu dikekalkan kerana ia bermula sebagai gesaan ke arah bantahan aman sebelum komen-komen di muka surat itu bertukar menjadi lebih ganas.
- Agensi


Sanggup beratur panjang kerana donut


KANAN: LEBIH 1,000 orang beratur di luar kedai donut Krispy Kreme di Cardiff, Wales baru-baru ini.KECIL: Bentuk donut Krispy Kreme.


CARDIFF, Wales - Lebih 1,000 orang beratur selama berjam-jam di luar kedai donut Krispy Kreme di sini hanya untuk menikmati donut percuma sempena pembukaan pertama cawangan kedai dari Amerika Syarikat itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Pihak pengurusan kedai itu menyediakan 12,000 donut dalam tempoh 12 minit untuk memenuhi permintaan pelanggan baru-baru ini.
Bilangan yang beratur itu dua kali ganda lebih ramai daripada orang ramai yang beratur untuk membeli komputer iPad di bandar raya ini pada minggu lalu. - Agensi


Selepas 6 bulan nikah, baru tahu isteri ialah lelaki




JAKARTA - Setelah bernikah selama enam bulan, seorang lelaki, Umar baru mengetahui bahawa isterinya itu ialah seorang lelaki tulen, lapor akhbar Sumut Pos semalam.
Umar berkenalan dengan isterinya itu, Fransiska Anatasya Octaviany menerusi Facebook setelah tertarik dengan kecantikan wajahnya.
"Semasa mereka bertemu, lelaki yang mengaku wanita itu memakai tudung," kata seorang pegawai polis di Jatiasih, Bekasi, Darmawan Karosekali kelmarin.
Namun, setelah enam bulan bernikah, Umar melihat terdapat sesuatu yang mencurigakan pada tubuh isterinya itu kerana dia kelihatan tegap.
"Selepas diperiksa (oleh Umar), ternyata dia (Fransiska) memang laki-laki," kata Darmawan.
Umar yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis. "Buat masa ini, kita sudah tahan (lelaki yang menyamar wanita itu) dan kesnya sedang disiasat," kata Darmawan.
Pasangan itu berkahwin seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri setelah jiran-jiran Umar mengadu dia tinggal bersama Fransiska selama seminggu. Perbuatan tersebut tidak elok dipandang masyarakat dan agama.
Jiran-jirannya itu meminta mereka berkahwin dan pasangan itu bersetuju.
Jelas Darmawan, Fransiska memalsukan kad pengenalan dirinya, manakala dua orang rakannya menyamar menjadi ibu bapanya semasa akad nikah.
Jika didapati bersalah, Fransiska akan dihukum penjara tujuh tahun kerana menyamar menjadi lelaki. - Agensi

No comments:

Post a Comment