Lelaki mati selesema burung di Jakarta
|
JAKARTA - Seorang lelaki Indonesia berusia 24 tahun yang dijangkiti virus selesema burung meninggal dunia di ibu kota Indonesia di sini, kata Kementerian Kesihatan semalam dalam kes jangkitan maut ketiga di negara berkenaan sejak tiga bulan lalu.
"Hasil beberapa ujian ke atas lelaki berkenaan mengesahkan dia dijangkiti penyakit selesema burung," kata ketua bahagian penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan, Tjandra Yoga Aditama.
Menurut Aditama, lelaki berkenaan dipercayai dijangkiti virus penyakit selesema burung, H5N1 daripada sejumlah burung yang tinggal di sekitar rumahnya.
"Kami telah mengambil sampel daripada beberapa ekor burung di sekitar rumahnya dan masih menunggu hasilnya untuk mengesahkan sama ada burung-burung itu dijangkiti virus H5N1," ujarnya.
Sebuah akhbar tempatan, Jakarta Post melaporkan bahawa mangsa mati pada Sabtu lepas selepas dia ditolak oleh sebuah hospital khas untuk merawat selesema burung.
Laporan akhbar sama memetik beberapa jirannya sebagai memberitahu bahawa keluarga mangsa memelihara beberapa ekor anak burung merpati di kediaman mereka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Indonesia adalah negara paling teruk dijangkiti selesema burung dengan terdapat 150 kes kematian akibat penyakit tersebut dilaporkan antara tahun 2003 dan 2011.
Virus H5N1 merebak daripada burung kepada manusia melalui sentuhan langsung tetapi pakar- pakar bimbang virus berkenaan akan bermutasi dalam bentuk jangkitan semasa manusia sekali gus mencetuskan wabak yang berisiko membunuh jutaan manusia. - AFP
Ramai beli Rolls-Royce di China
LONDON - Pengeluar kereta mewah Britain, Rolls-Royce yang kini dimiliki syarikat dari Jerman, BMW mengumumkan kelmarin bahawa jualan untuk 2011 mencatat rekod tertinggi yang didorong permintaan kukuh dari China dan Amerika Syarikat (AS).
Jualan kereta Rolls Royce melonjak 31 peratus kepada 3,538 buah kereta pada tahun lalu berbanding 2,711 buah kereta pada tahun sebelumnya, menurut satu kenyataan daripada syarikat induk Rolls Royce, BMW.
Angka tersebut adalah yang tertinggi sepanjang 107 tahun penubuhan Rolls-Royce sekali gus mengatasi rekod 3,347 buah kereta yang pernah dicatat pada 1978.
Rolls-Royce yang beribu pejabat di kilang Goodwood, selatan England menambah bahawa China dan AS kini merupakan "pasaran individu paling penting" buat pengeluar kenderaan mewah berkenaan.
"Kami melalui tahun yang cemerlang pada 2011. Perniagaan kami berada pada tahap yang amat baik. Kami sedang membangunkan rangkaian pengedar kami, membuka pasaran baharu di Amerika Selatan, membesarkan operasi kilang kami di Sussex Barat bagi memenuhi permintaan global dan kami turut memiliki perancangan untuk membangunkan rangkaian produk kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös.
Syarikat pembuat kereta berkenaan yang dibeli oleh BMW pada tahun 1998 mencatat lonjakan jualan sebanyak 47 peratus pada tahun lalu di rantau Asia Pasifik, 17 peratus di Amerika Utara dan 23 peratus di Asia Barat.
Bagaimanapun Rolls-Royce gagal menandingi saingannya, Bentley yang pada minggu lalu menyatakan jualan kereta mewah berkenaan meningkat 37 peratus kepada 7,003 buah kenderaan pada tahun lalu ekoran permintaan kukuh dari China dan AS.- AFP
Suami Carey dibenar keluar hospital
NEW YORK - Nick Cannon yang merupakan suami penyanyi terkenal, Mariah Carey, 41, dilaporkan telah keluar dari sebuah hospital selepas dikatakan mengalami masalah buah pinggang.
Cannon, 31, pada minggu lepas dimasukkan ke sebuah hospital di Aspen, Colorado, setelah dia berasa sakit ketika pasangan itu bercuti sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Los Angeles.
Dalam satu kenyataan pada Isnin lalu oleh seorang jurucakapnya, Tracy Nguyen berkata, Cannon yang juga seorang penghibur itu kini berehat dan dirawat di rumahnya.
Menurutnya, Cannon akan kembali tampil dalam rancangan siaran langsung radio pagi, Rollin with Nick Cannon pada 17 Januari ini. - Agensi
Harimau Sumatera terperangkap diselamatkan
JAKARTA - Seekor harimau Sumatera yang hampir pupus ditemui dengan kecederaan serius di seluruh badannya akibat terkena bahan tajam selepas termasuk dalam satu perangkap di dalam hutan Muara Aman di wilayah Bengkulu, kata beberapa pegawai semalam.
Harimau jantan berusia lima tahun itu ditemui kelmarin dengan kesan sembilan kecederaan dipanah, kata seorang ketua agensi pemuliharaan hidupan liar, Supartono.
"Semasa kami menemui haiwan itu, harimau tersebut terbaring lemah di tanah dengan kaki kiri terangkat, terperangkap dalam perangkap wayar yang dipasang pada dahan sebatang pokok," katanya.
Menurutnya, perangkap itu dipercayai dipasang oleh pemburu haram untuk menjual organ haiwan tersebut di pasaran gelap.
Harimau itu kemudian diselamatkan oleh para pegawai agensi pemuliharaan itu. - AFP
Burung jenjang ditemui merayau-rayau di California
CARLSBAD, Amerika Syarikat - Seekor burung jenjang yang pada kebiasaannya terdapat di Afrika ditemui merayau-rayau di sebatang jalan raya di Encinitas, California pada Sabtu lalu.
Burung itu dipujuk memasuki sebuah garaj milik seorang wanita yang menemui haiwan tersebut semasa dia berjalan bersama seekor anjing di laluan ke rumahnya.
Wanita itu kemudian menghubungi Jabatan Perkhidmatan Haiwan kelmarin yang membawa burung tersebut ke sebuah pusat perlindungan di Carlsbad.
Seorang lelaki yang mendengar berita mengenai burung tersebut kemudian menghubungi jabatan perkhidmatan haiwan itu dengan menyatakan ia adalah miliknya. - Agensi
No comments:
Post a Comment