Thursday, January 12, 2012

MASUK SARANG BENAR2 BUAYA MATI ATAU CEDERA...MASUK SARANG BUAYA MANUSIA BERZINALAH JAWABNYA...WANITA NI PALING SESUAI PEGAWAI KESELAMATANNYA SUAMILAH..KALAU PEREMPUAN JUGA..TAKUT DUA2 KENA GODAM...LELAKI BUAS LAGI BIJAK MEMPERDAYA...

Penduduk bantah harga petrol naik


AFP BEBERAPA orang menjerit dekat tayar yang dibakar pada satu tunjuk perasaan menentang kenaikan harga petrol di Lagos semalam.


LAGOS - Satu tunjuk perasaan tercetus di seluruh Nigeria bagi membantah kenaikan harga petrol di negara Afrika berkenaan.
Ketika matahari terbit di Nigeria semalam, ibu kota negara ini yang biasanya sesak dengan kenderaan bertukar sepi. Kesatuan-kesatuan sekerja pula mula mengadakan sekatan jalan raya.
Anggota kumpulan samseng tempatan menumbuk tingkap kenderaan yang berada di jalan raya manakala ratusan penunjuk perasaan berkumpul di sini menjelang satu perhimpunan besar-besaran yang dijadual diadakan di ibu kota Nigeria itu.
Mereka membantah kenaikan harga minyak daripada AS$0.45 (RM1.40) seliter kepada AS$0.94 (RM2.95) seliter yang mula berkuat kuasa sejak subsidi petrol di negara berkenaan berakhir pada 1 Januari lalu atas arahan pentadbiran Presiden Goodluck Jonathan.
"Saya belum pernah mendapat manfaat daripada pentadbiran Jonathan. Kami akan menentang kenaikan harga minyak ini sehingga ke titisan darah terakhir," kata seorang kakitangan awam berusia 35 tahun, Fatai Adepoju.
Namun, pemerintah menyatakan penarikan subsidi tersebut terpaksa dilakukan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan negara dan menggalakkan pelaburan luar dalam sektor penapisan minyak. - Agensi

Hawking minta manusia takluk planet lain


AFP GAMBAR fail menunjukkan Stephen Hawking di pejabatnya di Universiti Cambridge pada 14 Disember tahun lalu.


CAMBRIDGE, England - Ahli fizik tersohor, Stephen Hawking jatuh sakit dan terlalu lemah untuk menghadiri persidangan bagi meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-70 kelmarin tetapi dalam satu rakaman mesej, beliau mengulangi gesaan agar manusia menjelajah dan menakluki planet lain.
Naib Canselor Universiti Cambridge, Leszek Borysiewicz memberitahu hadirin bahawa Hawking yang hampir lumpuh sepenuhnya kerana menghidap penyakit saraf Lou Gehrig, telah dibenarkan keluar dari sebuah hospital kerana menghidap penyakit yang tidak didedahkan.
Namun, dalam ucapan beliau yang dirakam, Hawking merayu agar manusia menjelajah planet lain kerana percaya mereka berdepan masa depan yang suram di Bumi.
"Saya tidak fikir kita (manusia sejagat) akan dapat terus hidup untuk 1,000 tahun akan datang tanpa menjelajah keluar dari planet Bumi yang rapuh ini," katanya.
Ucapan beliau mempesonakan para pelajar dan saintis yang berhimpun di Dewan Lady Mitchell, Universiti Cambridge di sini.
Rakan-rakan saintis yang berada di dewan berkenaan termasuk pemenang Hadiah Nobel, Saul Perlmutter dan ahli astronomi terkenal Martin Rees menyifatkan Hawking sebagai antara ahli fizik paling utama selepas mendiang Albert Einstein.
"Hawking mengubah pemahaman kita tentang ruang dana masa, lubang hitam dan asal-usul cakerawala," kata Borysiewicz.
Buku A Brief History of Time tentang teori astrofizik yang ditulis oleh Hawking dan diterbitkan pada 1988 telah dijual berjuta-juta naskhah setakat ini. - Agensi

Wanita terjatuhke sarang buaya


LUKA yang dialami oleh Erin Langworthy.


SYDNEY - Seorang wanita Australia, Erin Langworthy terselamat selepas terjatuh ke dalam Sungai Zambezi yang dipenuhi buaya setelah tali yang mengikat kakinya putus semasa dia melakukan terjun bungee pada ketinggian 111 meter dari atas Jambatan Jeram Victoria di Zambia, Afrika.
Menurut akhbar Australia, Sydney Morning Herald, wanita berkenaan Erin Langworthy cuma mengalami luka kecil dan sedikit calar dalam kemalangan pada petang menjelang Tahun Baru.
Jambatan tersebut terletak di sempadan Zambia dengan Zimbabwe.
"Saya merasakan seperti seluruh badan saya telah ditampar," kata wanita berusia 22 tahun itu yang berasal dari Perth dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Channel Nine.
Rakaman video menunjukkan tali yang mengikat kakinya putus pada akhir terjunan tersebut dengan menyebabkan dia terjatuh ke dalam sungai.
"Saya terpaksa menyelam dan membuka tali yang mengikat kaki saya sebelum dapat berenang ke permukaan sungai," kata Langworthy.
"Ya, saya yakin satu keajaiban berlaku kerana saya terselamat dalam kemalangan ini," tambahnya.
Langworthy dirawat di sebuah klinik berdekatan sebelum dibawa keluar ke Afrika Selatan. - Reuters

Penyanyi ditenangkan konduktor


MATA Katherine Jenkins menunjukkan dia sebak semasa menyanyikan lagu pertama di panggung New Oxford, Oxford pada Sabtu lalu.


LONDON - Penyanyi terkenal Britain, Katherine Jenkins tidak dapat menahan tangisannya semasa dia menyanyi sebuah lagu pertamanya di panggung New Oxford, Oxford pada Sabtu lalu.
Selepas nyanyiannya berakhir, penyanyi kelahiran Wales itu berundur ke belakang untuk menenangkan dirinya.
Seorang konduktor orkestra yang berada dekat dengannya juga bertindak menenangkan penyanyi yang berusia 31 tahun itu.
Jenkins, yang terkenal dengan lagu Secret Love meneruskan persembahan dengan lagu daripada album baharu dan lamanya di dalam panggung tersebut.
Ketika persembahan, Jenkins mengenakan gaun putih dengan jarinya tidak menyarung cincin pertunangan.
Dia menangis kerana rumah tangganya runtuh selepas dia berpisah dengan tunangnya yang merupakan seorang pengacara televisyen, Gethin Jones, 33, pada 30 Disember tahun lalu.
Pasangan itu mula berkenalan pada lewat 2007 selepas bertemu di set program pertandingan tarian di televisyen, Strictly Come Dancing.
Ketika itu, Jones menyertai pertandingan menari dalam program tersebut manakala Jenkins merupakan seorang penghibur undangan. - Agensi

Latihan untuk pengawal peribadi wanita


Reuters SEBATANG kayu diangkat oleh para pelatih pengawal peribadi wanita di Sanya kelmarin.


SANYA, China - Seramai 20 wanita yang kebanyakannya lulusan kolej menyertai sesi latihan untuk pengawal peribadi wanita.
Latihan itu dianjurkan oleh firma Tianjiao Special Guard/Security Consultant Ltd. Co. di Sanya.
Firma itu menganjurkan latihan untuk para pengawal peribadi wanita buat kali pertama.
Semua pelatih perlu menjalani latihan selama lapan hingga sepuluh bulan untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk keperluan pelanggan mereka.
Firma itu menawarkan seorang pelatih yang terbaik peluang untuk menghadiri pengajian lanjutan di Akademi Keselamatan di Israel. - Reuters

No comments:

Post a Comment