Taliban serbu hotel, 18 terbunuh
|
KABUL - Sekumpulan empat orang militan Taliban bersenjata api dan pelancar roket menyerang sebuah hotel tepi tasik di sini dan menjadikan berpuluh-puluh orang termasuk wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.
Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan nekad tersebut.
Pemerintah mengambil masa 12 jam untuk mengisytiharkan serangan ke atas Hotel Spozhmai yang berakhir dengan kesemua empat militan itu dibunuh.
Terdahulu, pasukan keselamatan berjaya membebaskan sejumlah tebusan di hotel sama.
Komander Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai pasukan tentera Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan berkata, rangkaian Haqqani yang merupakan cabang kumpulan Taliban, bertanggungjawab melancarkan serangan ganas ala komando itu.
Rangkaian Haqqani dipercayai mempunyai hubungan dengan pergerakan Al-Qaaeda.
Kejadian yang bermula malam kelmarin itu merupakan serangan terbaharu ke atas hotel dan beberapa kepentingan pemerintah serta Barat di sini.
Spozhmai menjadi lokasi tumpuan golongan elit di sini dengan hotel berkenaan dipenuhi pengunjung termasuk sejumlah keluarga kelmarin, menjelang cuti hujung minggu pada keesokan harinya di Afghanistan.
Kumpulan militan tersebut menyerbu masuk ketika para pengunjung berkumpul untuk makan malam di hotel berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kabul, Mohammad Zahir berkata, sekurang-kurangnya seorang militan meletupkan jaket berisi bom yang dipakainya.
Seorang saksi, Sharifullah, 30, memberitahu, dia pergi ke hotel berkenaan untuk makan malam dengan seorang rakan.
"Saya melihat tiga lelaki bersenjata memasuki kawasan di mana orang ramai dan keluarga berkumpul. Sejurus selepas itu, tembakan dilepaskan dengan para pengunjung panik dan mula menjerit," katanya.
"Saya terjun ke dalam sebatang parit dan melihat peluru mengenai seorang bapa, anak lelaki dan isterinya yang duduk di sekeliling meja berhampiran. Saya tidak pasti sama ada mereka selamat," tambahnya.
Kementerian Dalam Negeri Afghanistan menyatakan serangan tersebut berakhir pada pukul 11 pagi semalam apabila penyerang keempat dibunuh. - AFP
Bunga mayat mekar selepas sembilan tahun
|
|
COPENHAGEN, Denmark - Sejumlah pelawat yang mengunjungi Taman Botani di sini semalam dikejutkan dengan bau mayat mereput.
Bau busuk itu sebenarnya berpunca daripada tumbuhan Titan arum atau nama saintifiknya, Amorphophallus Titanum.
Spesies tersebut turut dikenali sebagai bunga mayat kerana mengeluarkan bau busuk apabila mekar.
Bunga tersebut berkembang sekali sejak sembilan tahun lalu. - Agensi
Pesawat solar rentas padang pasir
RABAT, Maghribi - Sebuah pesawat yang menggunakan tenaga solar berjaya menamatkan penerbangan merentasi padang pasir di Maghribi semalam selepas berlepas dari Rabat kelmarin.
Pesawat buatan Switzerland, Solar Impulse yang dikendalikan seorang juruterbang, Andre Borschberg selamat mendarat di Ouarzazate, Maghribi 26 minit selepas tengah malam.
Ia merupakan pengembaraan peringkat akhir Borschberg, 59, yang bermula dari negara asalnya, Switzerland sebelum terbang ke Sepanyol dan berakhir di Maghribi.
"Pengembaraan kami menunjukkan terdapat cara lain untuk menjimatkan tenaga, menyelamatkan alam sekitar serta planet," katanya.
Saiz sayap pesawat berteknologi tinggi itu menyamai panjang pesawat komersial Airbus A340. Namun, ia ringan seperti sebuah kereta.
Pesawat yang berada lebih 17 jam di udara itu dipacu empat motor elektrik yang dijana oleh 12,000 sel solar pada kedua-dua sayapnya. - AFP
Beribu-ribu orang bersenam yoga
|
NEW YORK - Beribu-ribu orang membanjiri dataran Times Square di sini untuk sama-sama melakukan senaman yoga kelmarin.
Pada acara berkenaan, sekitar 1,500 helai alas yoga diedarkan secara percuma kepada orang ramai yang memenuhi dataran tersebut.
Berlangsung sepanjang hari, aktiviti itu dibahagikan kepada beberapa kursus percuma yang turut disertai pengamal yoga veteran.
Mereka bergerak seirama berpandukan arahan yang disiarkan melalui pembesar suara,
Acara tahunan tersebut diadakan sempena ketibaan musim panas di Amerika Syarikat. - AFP
Pesawat tentera terhempas di atas rumah
JAKARTA - Sebuah pesawat milik tentera udara Indonesia semalam terhempas di atas lapan buah rumah di sebuah pangkalan tentera di sini, membunuh sepuluh anak kapal dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima yang lain cedera parah.
"Seorang lagi berada dalam keadaan kritikal," kata jurucakap tentera udara Indonesia, Asman Yunus.
Pesawat Fokker-27 itu terhempas di kawasan perumahan di lapangan terbang tentera Halim Perdanakusuma pada pukul 2.45 petang (waktu tempatan) setelah berlepas dari lapangan terbang sama pada pukul 1.10 petang.
Pesawat malang itu dikatakan sedang menjalani latihan penerbangan dan tidak mempunyai penumpang.
Pasukan bomba dilihat bertungkus-lumus memadamkan api yang memusnahkan beberapa buah rumah. Sayap pesawat itu juga dapat dilihat berada di atas sebuah rumah terbabit.
Pihak tentera akan menyiasat punca nahas pesawat yang sudah berusia lebih 20 tahun itu. Indonesia kini sedang dalam proses memodenkan pesawat dan peralatan ketenteraannya. Ia melibatkan pembelian pesawat dan bot dari Rusia serta Amerika Syarikat. - AFP
Dua lelaki bakar diri di China
BEIJING - Dua lelaki nekad membakar diri di daerah Yushu, dalam wilayah Qinghai bagi membantah pemerintahan China di Tibet dengan seorang mangsa maut, manakala rakannya parah.
Agensi berita rasmi Xinhua semalam melaporkan, mangsa yang maut merupakan seorang pengembala tempatan. Sementara lelaki yang terselamat berasal dari Aba, dalam wilayah Sichuan.
Sebuah kumpulan pertubuhan nasionalis Tibet dalam buangan, Kongres Pemuda Tibet mengenal pasti mangsa yang mati sebagai Tenzin Khedup, 24, dan rakannya ialah Ngawang Norphel berusia 22 tahun.
Pertubuhan itu turut menyiarkan rakaman video menunjukkan dua lelaki itu memegang bendera kemerdekaan Tibet ketika badan mereka dijilat api.
Sepanjang tahun lalu, dianggarkan berpuluh-puluh orang membakar diri di Tibet, China.
Mereka bertindak demikian kerana mendakwa Beijing menindas penduduk etnik Tibet. - AP
Antibodi jadi penawar demam denggi
HONG KONG - Para saintis berkata mereka telah mengambil antibodi daripada seorang bekas pesakit demam denggi di Singapura yang boleh mengatasi virus denggi.Penemuan terbaharu itu dijangka boleh mengawal kes kematian akibat demam denggi.
Sehingga kini, masih belum ada penawar bagi demam denggi yang telah menbunuh lebih 20,000 orang setahun terutama kanak-kanak. Pakar perubatan setakat ini hanya mampu mengawal simptom penyakit tersebut.
Antibodi itu merupakan di antara 200,000 sampel yang diambil daripada 100 orang pesakit demam denggi yang telah pulih. Antibodi itu dilihat mampu membunuh kuman virus denggi subjenis 1, jelas satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal Perubatan Sains Translasi.
Terdapat empat subjenis yang berbeza dalam virus denggi yang menyebabkan demam maut itu.
"Penemuan antibodi itu boleh membunuh virus denggi sebelum ia merebak ke semua sel darah," kata salah seorang saintis penyelidikan, Lok Shee-Mei.
Dalam satu penyelidikan menggunakan tikus sebagai subjek, para pengkaji mendapati antibodi itu meliputi seluruh permukaan virus, sekali gus menghalangnya dari terus merebak.
Berbanding beberapa penemuan lain, antibodi itu boleh membunuh lebih banyak virus dan bertindak dengan pantas, kata seorang pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Singapura, Paul MacAry.
Pasukan penyelidik itu juga akan berusaha untuk meningkatkan lagi antibodi tersebut bagi mengatasi virus denggi subjenis 2, 3 dan 4.
Menurut MacAry, pasukan mereka telah menemui antibodi bagi subjenis 2 tetapi masih dalam proses ujian awal.
"Hampir 99 peratus kes denggi di Singapura melibatkan jenis 1 atau 2. Maka dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun, dua jenis antibodi akan diperkenalkan untuk membantu pesakit demam denggi di Singapura," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment