Pewaris takhta Arab Saudi meninggal dunia
|
RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud meninggal dunia di Geneva, lapor stesen televisyen negara berkenaan semalam.
Putera Nayef yang merupakan Menteri Dalam Negeri sejak 1975 dan dipercayai berusia 78 tahun, merupakan pewaris pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II.
Beliau dilantik Putera Mahkota pada Oktober lalu berikutan kematian abangnya, Putera Mahkota Sultan.
Stesen televisyen Arab Saudi melaporkan jenazah anggota keluarga diraja itu akan dikebumikan di Kota Mekah selepas solat Maghrib hari ini.
Beliau dilaporkan meninggal dunia di Geneva tetapi punca kematian pewaris takhta berkenaan tidak didedahkan.
Kematian Putera Nayef bermakna Raja Abdullah, 89, perlu melantik bakal penggantinya untuk kali kedua dalam tempoh tidak sampai setahun.
Setakat ini, Menteri Pertahanan, Putera Salman, 76, dilihat calon utama dan putera paling kanan bagi menggantikan Putera Nayef.
Putera Salman dipercayai akan meneruskan dasar pembaharuan yang dilaksanakan oleh Raja Abdullah, berbeza dengan pendirian abangnya.
Nayef sebelum ini memiliki reputasi sebagai pentadbir berfahaman konservatif yang menentang dasar reformasi Raja Abdullah.
Beliau turut bertanggung jawab menghapuskan penentangan rangkaian Al-Qaeda di Arab Saudi.
Putera Nayef, Raja Abdullah dan Putera Salman adalah antara hampir 40 anak lelaki pengasas Arab Saudi, Abdul Aziz Ibn Saud yang mengasaskan negara berkenaan pada 1935.
Salman yang berkhidmat sebagai Gabenor Riyadh, dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada November tahun lalu.
Pada Mei lalu, Putera Nayef berkunjung ke Switzerland bagi menjalani ujian perubatan.
Beliau pernah berada di luar negara beberapa kali pada tahun ini bagi tujuan perubatan termasuk ke Algeria, Amerika Syarikat dan Switzerland.
Namun, penyakit yang dihidapi oleh putera tengah daripada tujuh adik beradik itu tidak dihebahkan.
Putera Nayef merupakan anak lelaki Raja Abdul Aziz bersama isteri yang paling disayanginya, Puteri Hassa Al- Sudairi. - Agensi
Kecoh lagi pasal Lohan
|
|
LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Lindsay Lohan sekali lagi diselubungi drama apabila pasukan kecemasan dipanggil ke sebuah hotel di sini kelmarin untuk merawat aktres berkenaan yang dilaporkan keletihan dan mengalami dehidrasi.
Namun, seorang jurucakapnya kemudian memberitahu, Lohan sebenarnya 'sihat'
Insiden tersebut menggemparkan media AS, laman web selebriti dan Twitter yang melaporkan Lohan, 25, kini dirawat di sebuah hospital selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Namun, jurucakap berkenaan, Steve Honig dalam satu kenyataan memberitahu bahawa laporan tersebut tidak benar.
Kata Honig, Lohan sebenarnya tertidur di bilik hotelnya selepas semalaman bekerja di set penggambaran sebuah filem televisyen.
Menurutnya, penerbit produksi berkenaan mula bimbang apabila dia tidak keluar dari biliknya pagi kelmarin lalu menghubungi pasukan paramedik sebagai langkah berjaga-jaga.
"Lohan kemudian diperiksa dan didapati sihat tetapi dia agak lesu dan kurang air dalam badan," ujar Honig.
"Dia tidak pernah dibawa ke hospital seperti yang dilaporkan. Lohan sedang berehat dan berharap dapat kembali ke set penggambaran tengah hari ini," katanya.
Pada 2007, Lohan ditangkap kerana memiliki dadah dan memandu semasa mabuk, di samping terlibat dengan beberapa kesalahan lain.
Namun, pelakon filem Freaky Friday bangkit semula sejak Mac lalu apabila dia dibebaskan daripada tempoh pengawasan polis kerana kesalahan mencuri barang kemas pada 2011. - Reuters.
Nik Wallenda berjalan di atas tali menyeberangi Jeram Niagara
JERAM NIAGARA, Kanada - Pelagak ngeri, Nik Wallenda menjadi orang pertama berjalan di atas tali menyeberangi Jeram Niagara yang memisahkan Amerika Syarikat dan Kanada sejauh 548.64 meter.
"Saya sungguh gembira," katanya kepada wartawan selepas menamatkan aksi merbahaya itu di hadapan 112,000 penonton yang berkumpul di kedua-dua belah sempadan berkenaan.
Wallenda, 33, berjalan dalam cuaca cerah di atas kabel tergantung setinggi 60 meter di tebing Jeram Niagara yang belum pernah dilalui sebelum ini.
Dia mengambil masa 25 minit untuk melintasi air terjun terbesar di rantau Amerika Utara itu.
Disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen AS, ABC, percubaan Wallenda ditonton oleh berjuta-juta orang di kaca televisyen.
Wallenda merupakan ahli generasi ketujuh keluarga pelagak ngeri terkenal, Flying Wallendas. - Agensi
China hantar wanita pertama ke angkasa lepas
|
|
JIUQUAN - China melancarkan misi angkasa lepas paling gemilang yang membawa angkasawan wanita pertama bersama dua kru lelaki dalam percubaan untuk berlabuh di sebuah modul makmal angkasa lepas di orbit Bumi.
Kapal angkasa Shenzhou 9 berlepas mengikut jadual pada pukul 6.37 petang dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di tepi Gurun Gobi, di sini semalam.
Kapal angkasa berkenaan membawa angkasawan wanita Liu Yang, 33 bersama angkasawan veteran, Jing Haipeng, 45 dan kru baharu berusia 43 tahun, Liu Wang.
Mereka dijangka berlabuh di makmal angkasa lepas Tiangong 1 esok.
Makmal angkasa lepas prototaip itu yang dilancarkan pada tahun lalu, kini berada di orbit pada jarak 343 kilometer dari Bumi.
Ketiga-tiga angkasawan berkenaan akan menguji sistem sokongan hayat Tiangong 1 selama seminggu sebelum kembali ke Bumi.
Tiangong 1 akan diganti dengan sebuah stesen angkasa lepas tetap lebih besar seberat 60 tan yang dijangka siap sekitar tahun 2020.
China berharap dapat menyertai Amerika Syarikat dan Rusia sebagai dua negara dunia yang menyelenggara stesen angkasa lepas sendiri di orbit. - Agensi
Bekas atlet wanita didakwa rogol wanita
|
KOLKATA - Seorang atlet wanita India yang memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2006, Pinki Pramanik muncul di mahkamah di sini semalam bagi menghadapi dakwaan dia merogol bekas kekasihnya yang juga seorang wanita.
Bekas kekasihnya itu turut mendakwa bahawa Pramanik 26, yang kelihatan seperti wanita sebenarnya ialah seorang lelaki.
Pramanik turut ditahan reman selama 14 hari sehingga perbicaraan berhubung dakwaan merogol itu berlangsung.
"Mahkamah majistret meminta pihak berkuasa untuk membentuk satu lembaga perubatan bagi menentukan jantina Pramanik," kata Ketua Balai Polis di Kolkata, Prabir Roy.
Pramanik yang bersara pada tahun 2007 enggan untuk menjalani pemeriksaan di sebuah hospital semasa dia di soal-siasat selepas ditangkap kelmarin.
"Saya telah menjalani banyak ujian perubatan sepanjang kerjaya sebagai seorang atlet.
"Kenapa saya perlu bersetuju untuk menjalani lebih banyak ujian perubatan yang mengarut ini?," soal Pramanik yang disiarkan akhbar Times of India semalam.
Dia pernah memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter berganti-ganti pada Sukan Asia di Doha, Qatar pada tahun 2006.
Bekas kekasih Pramanik mendakwa dia dirogol beberapa kali.
Namun, Pramanik memberitahu kisah yang berbeza.
"Wanita itu (mangsa) meminta wang sebanyak 300,000 rupees (RM17,271) tetapi saya enggan memberikan wang tersebut kepadanya." kata Pramanik kepada pemberita dari sebuah van polis sebelum dia dihadapkan ke mahkamah.
Polis menyatakan bahawa Pramanik tinggal bersama kekasihnya di sini selama beberapa bulan.
Akhbar Calcutta Telegraph melaporkan bekas kekasihnya menyatakan Pramanik pernah berjanji untuk berkahwin dengannya.
Pramanik berasal daripada keluarga petani yang miskin di negeri Bengal Barat, sekitar 220 kilometer dari sini dan bekerja sebagai seorang inspektor tiket sebelum berkecimpung dalam bidang sukan.
Sementara itu, ibu Pramanik, Puspa memberitahu stesen televisyen Bengali TV bahawa anaknya itu tidak bersalah.
"Saya tidak percaya dia melakukan jenayah seperti itu. Saya berharap dia akan mendapat keputusan yang adil," katanya.
Setiausaha Persekutuan Atlet India, C.K. Valson memberitahu agensi berita AP bahawa pihaknya tidak mengetahui sama ada Pramanik akan diminta untuk memulangkan semula pingatnya ekoran kes tersebut.
"Dia bersara tiga tahun lalu dan tiba-tiba kita mendengar semua ini (kes itu)," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menunggu laporan perubatan sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung kes tersebut.
Pramanik pernah memenangi pingat emas dalam acara larian 400 meter pada Sukan Grand Prix Asia di Bangalore, India pada 22 Mei 2006.
Pingat perak yang dimenangi atlet dari India, Santhi Soundarajan pada Sukan Asia 2006 terpaksa ditarik balik selepas dia gagal dalam ujian jantina yang dilakukan sejurus selepas acara larian tersebut berlangsung. - Agensi
Aduan polis dibuat tentang sikap Lady Gaga
BANGKOK – Kementerian Kebudayaan Thailand memfailkan aduan kepada polis semalam terhadap penyanyi terkenal, Lady Gaga.
Aduan itu berhubung perbuatan penyanyi tersebut yang menggunakan bendera Thailand semasa dia membuat persembahan di sini pada bulan lalu.
Sebelum ini, penyanyi tersebut telah mengaibkan ramai penduduk Thailand dengan menyatakan di laman Twitter bahawa dia merancang untuk membeli seutas jam tangan Rolex di pasar malam Bangkok selepas tiba di negara ini.
Namun, Lady Gaga kini berdepan dengan aduan berhubung penggunaan bendera Thailand semasa dia menunggang motosikal dengan memakai bikini di atas pentas.
Seorang pegawai kementerian itu memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa menggunakan bendera kebangsaan adalah tidak sesuai dan melukakan perasaan penduduk Thailand.
Menurut akhbar tersebut, pihak kementerian bagaimanapun tidak meminta polis untuk mendakwa Lady Gaga.
Seorang pegawai kementerian itu menyatakan tujuan aduan tersebut dikemukakan adalah untuk menunjukkan perasaan tidak berpuas hati terhadap perbuatan berkenaan.
Bendera Thailand mempunyai tiga warna iaitu merah untuk negara, biru mewakili institusi beraja dan putih untuk agama.
Thailand mempunyai undang-undang kesalahan terhadap raja dan kerajaan yang dikenali sebagai lese-majesty.
Berdasarkan undang-undang itu, hukuman sehingga 15 tahun penjara akan dikenakan terhadap kesalahan menghina raja, permaisuri atau waris takhta.
– Agensi
Identiti pemuda misteri akhirnya terbongkar
BERLIN - Identiti seorang pemuda misteri yang muncul di Berlin pada tahun lalu dengan mendakwa namanya sebagai Ray dan tinggal di hutan Jerman selama beberapa tahun akhirnya terbongkar.
Pemuda itu mencetuskan misteri pada tahun lalu apabila dia mendakwa keluar dari hutan di Jerman yang menjadi tempat tinggalnya selama beberapa tahun.
Ketika itu, pemuda tersebut menyatakan bapanya telah meninggal dunia dalam hutan.
Namun, polis semalam menyatakan seorang bekas kekasih pemuda tersebut mengenal pasti identitinya sebagai lelaki berusia 20 tahun dari Belanda.
Identiti itu disahkan selepas polis mengedarkan gambar pemuda tersebut untuk mendapatkan maklumat tentang dirinya pada awal minggu ini.
Polis menyatakan pemuda tersebut akhirnya mengaku maklumat yang diberikan oleh bekas kekasihnya itu adalah benar.
Sebelum ini, beberapa orang yang tinggal di bandar Hengelo, Belanda mengenal pasti pemuda tersebut selepas mereka melihat gambarnya yang disiarkan polis Berlin.
Ibu tiri pemuda tersebut dapat mengenalinya selepas melihat gambarnya.
Seorang jurucakap polis di Hengelo, Chantal Westerhoff turut mengenal pasti identiti pemuda tersebut yang kini berusia 20 tahun.
Menurut Westerhoff, pemuda tersebut meninggalkan rumahnya pada September 2011 tanpa memaklumkan kepada bapa atau ibu tirinya yang menyebabkan pasangan tersebut membuat aduan polis berhubung kehilangan anak mereka itu.
Stesen penyiaran NOS Belanda yang mewawancara beberapa rakan pemuda tersebut mendedahkan nama sebenarnya ialah Robin van Helsum.
Dalam kisah yang menarik perhatian dunia itu, pemuda tersebut muncul di bangunan Dewan Bandar Raya Berlin di sini pada 5 September 2011 dan menyatakan bahawa nama pertamanya ialah Ray kepada beberapa orang.
Menurutnya, dia tinggal di hutan bersama bapanya selama lima tahun.
Bertutur dalam Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan beberapa perkataan Jerman, pemuda itu memberitahu bahawa bapanya telah mati pada Ogos tahun lalu.
Menurutnya, selepas menanam mayat bapanya di hutan, dia berjalan ke arah utara selama lima hari sebelum tiba di Berlin.
Namun, polis yang tidak menemui mayat bapa budak lelaki tersebut.
Pemuda tersebut tinggal di sebuah institusi kebajikan selepas dia muncul di bangunan dewan itu. - Agensi
Ikan miliki warna sama dengan bendera Jerman
KIEL, Jerman - Beberapa ekor ikan kecil di dalam akuarium menjadi tumpuan para pengunjung di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di sini semalam.
Ikan tersebut menjadi tumpuan kerana ia mempunyai belang hitam, merah dan kuning. Warna itu sama dengan bendera Jerman.
Ia turut mendapat tumpuan ramai kerana pasukan Jerman kini bertanding dalam Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 di Ukraine. - Agensi
Pemandu trak buat motosikal kayu
BUDAPEST, Hungary - Seorang pemandu trak berusia 52 tahun, Istvan Puskas membuat rangka sebuah motosikal daripada kayu.
Dia mengambil masa selama dua tahun untuk membuat motosikal itu.
Hendal motosikal itu diperbuat daripada tanduk lembu.
Puskas membuat motosikal tersebut di rumahnya di Tiszaors, 161 kilometer ke timur Budapest. - Agensi
No comments:
Post a Comment