Lukisan tertua Eropah di gua Sepanyol
WASHINGTON - Sebanyak 50 lukisan yang terdapat di dalam 11 buah gua di Sepanyol dipercayai sebagai lukisan yang paling tua pernah ditemui di Eropah.
Hasil ujian terhadap lukisan itu menunjukkan ia dihasilkan manusia primitif Neanderthal lebih 40,000 tahun dahulu.
Sebelum ini, tiada bukti menunjukkan bahawa manusia Neanderthal telah menghasilkan lukisan di dinding gua.
"Justeru, adalah satu kejutan jika Neanderthal merupakan pelukis gua pertama di Eropah," kata penulis bersama penemuan tersebut dalam jurnal Science, Joao Zilhao yang merupakan seorang profesor penyelidikan daripada Universiti Barcelona, Sepanyol.
Antara lukisan yang ditemui itu ialah bentuk tapak tangan di dalam gua El Castillo.
Lukisan kuda dan ikan turut ditemui di dalam gua tersebut.
Manusia primitif Neanderthal hidup sebelum kewujudan manusia moden di Eropah dan Asia Tengah. - Agensi
Penunjuk perasaan ganggu Blair
|
|
HONG KONG - Seorang penunjuk perasaan lelaki bertindak menjerit dan mengganggu bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (gambar) di Universiti Hong Kong semalam.
Lelaki itu melakukan perbuatan itu semasa Blair mahu berucap tentang isu agama dan globalisasi.
Penunjuk perasaan tersebut yang bertindak bersendirian, menjerit bahawa Blair telah melanggar Konvensyen Geneva mengenai tatacara peperangan semasa menjadi perdana menteri.
"Saya tidak akan datang lebih dekat lagi... anda boleh pergi," kata Blair ketika lelaki berkenaan mendekati podium tempatnya untuk berucap.
Lelaki yang tidak dikenali itu bertutur dalam loghat British dan berada cuma beberapa meter dari Blair sebelum beliau dihalang dan diiring keluar oleh beberapa staf Universiti Hong Kong.
"Inilah demokrasi untuk anda," kata Blair ketika lelaki itu diiring keluar.
Bekas Perdana Menteri itu kemudian meneruskan ucapannya.
Beliau berucap di universiti itu sebagai pengasas Yayasan Tony Blair yang berusaha mempromosi persefahaman antara agama utama di dunia.
Semasa berucap, Blair berkata, dunia memerlukan lebih banyak dialog antara agama.
Menurutnya, ia bertujuan bagi memperbaiki kefahaman dalam kalangan penduduk yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.
Blair menjadi Perdana Menteri Britain antara tahun 1997 hingga 2007.
Ketika memegang jawatan itu, beliau membuat keputusan supaya Britain menyertai Perang Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.
Peperangan itu dilancarkan kerana Blair dan Presiden AS ketika itu, George W. Bush percaya Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.
Namun, senjata tersebut tidak pernah ditemui sehingga sekarang.
Tentera Britain turut dihantar ke Afghanistan dalam operasi memerangi pengganas yang diketuai AS pada tahun 2001 semasa Blair menjadi perdana menteri. - Agensi
Kilang kostum perang di India
SAHIBABAD - Seorang ahli perniagaan tempatan, Ashok Rai di Sahibabad di India memperoleh pendapatan sebanyak AS$3 juta (RM9.5 juta) pada tahun lalu selepas kilangnya menghasilkan kostum dan pelbagai jenis peralatan perang pada zaman pertengahan Eropah dan Perang Dunia Kedua.
Dia menceburi bidang tersebut semasa berusia 17 tahun apabila mendengar sebuah syarikat pembuat champangne dari Perancis memerlukan 1,000 pedang untuk dijadikan cenderamata.
Rai kemudian pergi ke bandar Amritsar untuk mencari pembuat pedang yang boleh membuat replika senjata tersebut.
Dia yang kini berusia 37 tahun itu kemudian menukarkan bengkel bapanya yang membuat barang kraf tangan menjadi pengeluar pelbagai jenis peralatan perang.
"Saya meminati sejarah sejak dari kecil lagi. Saya akan menonton setiap filem perang yang ditayangkan di bandar kelahiran saya. Saya juga membaca semua kisah peperangan utama yang dalam sejarah.
"Justeru, mudah bagi saya untuk menerangkan kepada tukang besi tentang kerja-kerja yang perlu mereka lakukan," katanya yang tidak menamatkan pengajiannya di sebuah kolej untuk menceburi perniagaan tersebut.
Selain pedang, bengkelnya menghasilkan baju besi, pelbagai jenis topi perang, lembing, replika bom tangan Perang Dunia Kedua dan perisai.
Menurutnya, kebanyakan senjata tersebut dibuat di kilang miliknya di sini yang memiliki sekitar 500 pekerja.
Rai pernah membekalkan kostum dan senjata untuk beberapa filem epik Hollywood termasuk The Last Samurai, Robin Hood dan Kingdom of Heaven yang menampilkan bintang Hollywood seperti Tom Cruise, Russel Crowe serta Orlando Bloom. - Agensi
Ikan arowana ramal Sweden menang
SINGAPURA - Seekor ikan arowana yang bernama Big Huat memilih pasukan Sweden akan menang dalam perlawanan menentang skuad England pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012.
Ia membuat ramalan tersebut di Ladang Ikan Qian Hu di sini semalam.
Sebelum ini, ikan tersebut telah meramal dengan tepat tiga perlawanan bola sepak Euro.
Ikan tersebut membuat ramalan dengan memilih bekas yang mengandungi bendera pasukan yang bertanding dalam akuarium haiwan itu.
England akan menentang Sweden di Kiev, Ukraine pada 2.45 pagi esok waktu Malaysia. - Agensi
Bayi enam minggu ditemui dalam bot pelarian Rohingya
|
PULAU SHAHPURI, Bangladesh - Seorang bayi perempuan yang dibawa melintasi sebatang sungai di sempadan pada waktu malam bagi melarikan diri daripada keganasan di Myanmar ditemui bersendirian di dalam sebuah bot semalam.
Bayi berkenaan ditemui oleh beberapa pengawal keselamatan Bangladesh yang mengusir beratus-ratus pelarian Islam etnik Rohingya dari Myanmar.
Anak kecil berusia enam bulan itu kemudian diserahkan kepada sebuah keluarga Bangladesh.
Keluarga berkenaan memberitahu, bayi itu kurang sihat tetapi mereka akan berusaha menjaganya.
"Pasukan peronda sungai kami memintas sebuah bot pada pukul 2 pagi (waktu Bangladesh)," kata Mejar Shafiqur Rahman.
Beliau mengetuai operasi untuk menghantar pulang pelarian Rohingya yang cuba memasuki Bangladesh melalui bot di Sungai Naf bagi melarikan diri daripada keganasan agama di Myanmar.
"Mereka menggeledah bot berkenaan dan menemui seorang bayi perempuan Rohingya berusia dalam lingkungan satu setengah bulan," kata Rahman kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara telefon.
"Bot berkenaan kosong. Ini satu keajaiban tetapi bayi tersebut kelihatan pucat," tambahnya.
Sejak kelmarin, pasukan peronda sungai Bangladesh telah mengusir 16 buah bot yang membawa lebih 660 pelarian Rohingya dengan kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, beberapa pegawai Myanmar memberitahu, keganasan yang melanda negeri Rakhine di barat Myanmar telah meragut nyawa sekitar 25 orang setakat ini.
Kekacauan di Myanmar tercetus selepas sekumpulan penduduk beragama Buddha memukul sehingga mati 10 orang etnik Rohingya yang beragama Islam pada 3 Jun lepas kerana tersilap menyangka mereka membunuh dan merogol seorang gadis tempatan pada bulan lalu.
Tindakan tersebut mencetuskan serangan balas etnik Myanmar dengan banyak kediaman penduduk beragama Buddha dibakar sehingga memaksa campur tangan tentera. - AFP
70 orang maut di Baghdad
BAGHDAD - Satu siri serangan bom dan tembakan di sini dan beberapa tempat lain di Iraq semasa satu upacara agama puak Syiah diadakan telah mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan puluhan yang lain semalam, kata beberapa pegawai keselamatan dan perubatan.
Serangan itu yang turut menyebabkan lebih 200 orang cedera berlaku semasa penduduk Syiah memperingati kematian Imam Moussa al-Kadhim.
Seorang ketua polis dan doktor berkata, daripada jumlah itu, seramai 19 orang terbunuh dalam dua bom kereta di bandar Hilla, tengah Iraq.
Beberapa pegawai keselamatan dan perubatan memberitahu, sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam sembilan letupan bom dan dua kejadian tembakan di sini yang turut mencederakan puluhan mangsa.
Di ibu negeri wilayah Diyala, Baquba, sembilan bom tepi jalan, sebuah bom kereta dan satu kejadian tembakan meragut nyawa lima orang dan mencederakan 15 yang lain.
Seorang ketua polis berpangkat leftenan kolonel memberitahu, serangan turut berlaku di Balad, utara bandar raya ini dengan empat orang terbunuh dan 24 lagi cedera dalam dua kejadian bom kereta.
Angka kematian tersebut disahkan oleh seorang pegawai pemerintah tempatan.
Keganasan seterusnya berlaku di bandar Al-Azizyah, selatan bandar raya ini yang melibatkan satu serangan bom kereta yang meragut dua nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya dua lagi mangsa.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu. - Agensi
184 samseng bola sepak ditangkap
WARSAW - Polis menangkap 184 orang kebanyakannya peminat pasukan bola sepak Poland selepas mereka bergaduh dengan penyokong skuad Rusia dalam Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012, menurut Kementerian Dalam Negeri semalam.
Kebanyakan mereka ditangkap semasa 5,000 penyokong Rusia berarak ke Stadium Nasional di sini.
Penyokong-penyokong Rusia itu berarak bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan negara mereka.
Perbuatan para penyokong Rusia itu dianggap sebagai hasutan kepada kebanyakan penduduk Poland.
Penduduk Poland menyimpan perasaan marah dengan Rusia kerana sejarah silam semasa era pemerintahan komunis.
Ketika era itu, Poland berada di bawah telunjuk Moscow.
Para penyokong Rusia itu kemudian berdepan dengan 100 samseng bola sepak yang mencetuskan kekacauan sebelum dan semasa perlawanan berlangsung kelmarin.
Seramai 24 orang cedera dalam insiden itu termasuk 10 anggota polis.
Ketika perarakan itu, samseng-samseng Poland menyerang penyokong Rusia yang kemudiannya bertindak balas.
Kedua-dua penyokong itu kemudian saling menendang dan memukul antara satu sama lain.
Akhbar dalam talian MailOnline kelmarin melaporkan para peminat Rusia di dalam stadium mempamerkan kain rentang gergasi yang mengandungi ayat This is Russia sekali gus merujuk kepada bekas empayar Soviet.
Menteri Dalam Negeri Poland, Jacek Cichocki menyatakan, samseng-samseng bola sepak Rusia yang ditangkap itu akan dibicarakan dan mereka akan diusir keluar.
Menurutnya, samseng-samseng Poland akan turut dibicarakan dan bakal menerima hukuman berat.
Anggota-anggota polis melepaskan tembakan peluru getah, menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan pergaduhan.
Dalam perlawanan bola sepak itu, Rusia dan Poland seri 1-1. - Agensi
Rangka askar mati pada tahun 1815 ditemui
BRUSSELS - Hampir 200 tahun selepas tentera Prussia dan England menewaskan askar-askar Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte di Waterloo, sepasukan ahli arkeologi Belgium akhirnya menemui satu rangka seorang askar muda pada 8 Jun lalu.
"Anda hampir dapat membayangkan keadaan askar itu yang sedang nazak," kata seorang pakar arkeologi Belgium, Dominique Bosquet mengenai rangka manusia tersebut.
Peluru berbentuk bola berada di celah tulang rusuk askar itu.
"Rangka manusia ini masih sempurna," kata Bosquet kepada stesen televisyen RTL kelmarin.
Dipercayai mati pada 18 Jun 1815, rangka manusia tersebut ditemui tertanam 40 sentimeter di bawah tanah.
Pakaian seragam askar itu telah reput tetapi ahli arkeologi akan melakukan kajian ke atas sebatang sudu, kepingan duit syiling, serpihan kayu bertulisan C.B dan tali pengikat kulit yang ditemui bersama rangka tersebut. Ia dikaji bagi mengenal pasti identiti askar itu.
Rangka itu ditemui oleh pasukan arkeologi di sebuah kawasan yang dikuasai askar England ketika perang Waterloo berlaku.
Kawasan berkenaan diratakan pada bulan lalu bagi memberi laluan kepada satu projek pembangunan.
Peperangan itu yang melibatkan 125,000 askar Napoleon dan 210,000 anggota tentera Prussia dan England telah meragut lebih 12,000 nyawa. - AFP
Lokasi penemuan tulang gajah purba jadi tumpuan
BANDAR RAYA MEXICO - Lokasi penemuan beberapa tulang gergasi dan gading menjadi tumpuan penduduk di kawasan perbandaran Manuel Doblado, Guanajuato, Mexico kelmarin.
Tulang dan gading itu dipercayai tinggalan gajah purba yang dikenali sebagai mammoth.
Ia ditemui lima hari lalu di tebing sebatang sungai.
Pihak berkuasa majlis perbandaran itu menyita lokasi tersebut.
Pakar-pakar Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan akan membuat kajian bagi mengesahkan sama ada ia ialah tinggalan gajah tersebut.
Berat gajah jantan itu boleh mencecah lebih 12 tan.
Gajah itu dipercayai pupus di benua Amerika kira-kira 12,000 tahun lalu. - Agensi
No comments:
Post a Comment