Saturday, June 23, 2012

APA ADA HERAN TAK DE JURUTERBANG...SOK DALAM KUBUR SORANG LAGI...GELAP LAGI...SILAP2 HARIBULAN KENA SEKSA LAGI...TAQWALAH....

Kapal angkasa China berlabuh di Tiangong-1

KAPAL angkasa Shenzhou-9 (kanan) mendekati Tiangong-1 di angkasa lepas semalam.


BEIJING - China menamatkan misi berlabuh automatik di angkasa lepas semalam sebelum tiga angkasawan di dalam sebuah kapal angkasa memasuki sebuah modul yang mengorbit Bumi.
Kapal angkasa Shenzhou-9 yang berlepas pada Sabtu lepas dan membawa angkasawan wanita pertama China bercantum dengan modul angkasa lepas Tiangong-1.
Misi berkenaan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen China.
Ini kali ketiga China melakukan misi berlabuh secara automatik selepas dua misi serupa dilaksanakan pada November tahun lalu.
Namun, misi kali ini berbeza kerana membawa bersama tiga angkasawan ke Tiangong-1.
Mereka terdiri daripada Komander Jing Haipeng, Liu Wang dan angkasawan wanita pertama China, Liu Yang.
Matlamat utama misi selama 13 hari itu adalah untuk melakukan prosedur berlabuh secara manual.
China turut merancang menyiapkan pembinaan sebuah stesen angkasa lepas di orbit Bumi menjelang 2020.
Matlamat tersebut memerlukan tekonologi berlabuh yang sempurna seperti yang pernah dilakukan kapal angkasa lepas Amerika Syarikat dan Rusia dalam tahun 1960-an.
Teknik berkenaan sukar dikuasai kerana melibatkan dua kapal angkasa yang berada di orbit sama dan berputar mengelilingi Bumi pada kelajuan beberapa ribu kilometer sejam.
Kapal angkasa dan stesen berkenaan perlu bercantum perlahan-lahan bagi mengelakkan kedua-duanya berlanggar dan berkecai. - Agensi

Anggota polis Pakistan diarah atasi perut buncit

DUA anggota polis yang berperut buncit mengawal sebatang jalan raya di Karachi semalam.


ISLAMABAD - Seorang ketua polis Pakistan telah mengarahkan 175,000 anggotanya mengamalkan diet, kata beberapa pegawai semalam.
Akhbar-akhbar tempatan menganggap arahan itu adalah sebagai 'pertempuran memerangi perut buncit'.
Seorang jurucakap polis, Nabila Ghazanfar berkata, Ketua Polis Punjab, Habibur Rahman telah mengarahkan supaya anggota-anggotanya memakai seluar yang mempunyai ukuran pinggang tidak lebih 96 sentimeter.
"Saya sedang berdiet dan jika saya boleh melakukannya mengapa tidak anda?" kata jurucakap tersebut yang memetik kenyataan Habibur kepada para pegawainya pada bulan lepas.
Menurutnya, kira-kira 50 peratus anggota polis di Punjab mempunyai berat badan berlebihan.
Akhbar The News melaporkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di bandar Rawalpindi berjumlah lebih 77 peratus.
Polis menyatakan, anggota-anggota tersebut diberikan tempoh sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan berat badan.
Ia menjelaskan anggota-anggota yang dilihat terlalu gemuk tidak akan diberikan tugas di barisan depan bermula pada 1 Julai depan.
"Sejumlah pegawai polis mengunjungi gimnasium, berjoging dan melakukan pelbagai senaman termasuk banyak berlari untuk menjadi kurus," kata jurucakap tersebut. - AFP

Pakaian Katy Perry cetus kontroversi


PAKAIAN yang dipakai Perry semasa membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di Toronto kelmarin.


TORONTO, Kanada - Bintang pop Katy Perry mencetuskan kontroversi semasa dia membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di sini, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Penyanyi itu muncul dengan memakai pakaian ketat dan jarang.
Perry, 27, memakai pakaian seksi tersebut ketika dia menyanyikan single terbarunya, Wide Awake.
Dia memenangi dua anugerah termasuk Artis dan Kumpulan Antarabangsa Pilihan pada majlis berkenaan yang berlangsung kelmarin.
Selain Perry, anugerah berkenaan turut membariskan beberapa artis popular seperti Carly Rae Jepsen, Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus dan kumpulan LMFAO.
Jepsen merangkul tiga anugerah iaitu Video Terbaik, Video Paling Kerap Ditonton dan Video Pilihan untuk lagu popularnya, Call Me Maybe.
Bieber yang banyak memberi sokongan kepada penyanyi senegara dengannya itu turut memuji kejayaan Jepsen.
Jepsen juga menyanyi bersama Flo Rida dalam majlis tersebut.
Bieber turut menyanyikan lagu All Around the World dalam anugerah itu.
Dia turut memenangi anugerah muzik video terbaik menerusi lagu Boyfriend.
LMFAO merancakkan lagi acara berkenaan apabila beraksi lincah di pentas selepas mereka menerima Video Antarabangsa Terbaik untuk Artis Berkumpulan bagi lagu popular mereka, Sexy And I Know It. - Agensi

Lukisan penduduk Aboriginal berusia 28,000 tahun


LUKISAN yang terdapat di gua batu di Arnhem, Australia.


SYDNEY - Seni lukisan yang terdapat di sebuah gua di Arnhem di Wilayah Utara Australia dipercayai berusia 28,000 tahun, kata beberapa pakar semalam.
Lukisan itu dihasilkan oleh penduduk asli Australia, Aboriginal.
Gua batu itu pernah menjadi tempat perlindungan penduduk tersebut.
Gua itu bernama Narwala Gabarnmang.
Lukisan itu terdapat di bahagian bumbung dan tiang-tiang batu.
Para arkeologi memasuki kawasan tersebut lima tahun lalu. - Agensi

Ribuan itik menuju ke kolam


RIBUAN itik berjalan di sebatang jalan raya di Taizhou semalam.


TAIZHOU, China - Seorang petani kelmarin menyebabkan pergerakan lalu lintas di sebatang jalan raya di sini terhenti, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Beberapa buah kereta dan motosikal berhenti bagi membolehkan haiwan tersebut bergerak secara berkumpulan untuk menuju ke kolam.
Petani tersebut dan beberapa rakannya mengawal pergerakan kira-kira 5,000 itik itu dengan menggunakan sebatang kayu.
- Agensi

15 maut dalam keganasan di Syria

RATUSAN orang berhimpun bagi menghadiri pengebumian seorang penduduk yang terbunuh di Al-Tal, pinggir Damsyik kelmarin.


BEIRUT - Seramai 15 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di Syria semalam apabila pihak tentera membedil beberapa daerah di bandar Homs, kata sebuah kumpulan pemantau.
Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria, seorang penduduk terbunuh di kubu pemberontak di Khalidiyeh akibat serangan tentera rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Serangan itu dilakukan bagi menawan semula beberapa buah daerah yang dikuasai pemberontak.
Seorang pemberontak maut dalam pertempuran dengan tentera rejim di Karm Shamsham, sempadan Homs.
Sementara itu, seorang aktivis di bandar lama, Abu Bilal menceritakan tentang kepungan tentera Syria di beberapa bahagian di bandar ini.
"Tentera rejim membedil kami pada setiap masa. Kami memiliki sedikit bekalan makanan dan air malah kami kehabisan ubat," jelas Abu.
Rakaman video yang dimuat naik oleh kumpulan aktivis di laman web perkongsian video YouTube menunjukkan asap hitam dan kelabu menjulang di beberapa bangunan dengan bunyi bedilan serta tembakan senjata kedengaran.
Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera rejim Bashar bermula sejak Mac tahun lalu.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan atas dakwaan melakukan salah guna kuasa semasa memerintah.
Lebih 14,000 orang dilaporkan terkorban sejak pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku pada Mac tahun lalu. - AFP

13 maut, penjara di Turki terbakar


BANGUNAN yang terdapat dalam penjara Sanliurfa semalam.


ISTANBUL - Seramai 13 orang terbunuh akibat terhidu asap selepas beberapa banduan membakar selimut dan tilam di penjara Sanliurfa lewat kelmarin, kata beberapa pegawai semalam.
Menurut agensi berita Anatolia, kebakaran akibat perbuatan banduan tersebut dapat dikawal sebelum ia merebak ke seluruh penjara.
Seramai lima lagi banduan dimasukkan ke hospital termasuk 12 kakitangan penjara.
Penjara itu menempatkan kira-kira 1,000 banduan.
Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, kebakaran itu berlaku ekoran satu pergaduhan dalam bilik penjara yang dihuni seramai 18 orang.
Selepas satu siasatan dilakukan, Menteri Kehakiman, Sadullah Ergin memberitahu, terdapat tentangan daripada beberapa banduan semasa anggota-anggota pasukan keselamatan cuba memindahkan mereka.
Penjara itu dilaporkan hanya boleh memuatkan 250 banduan tetapi bilangan penghuninya bertambah sejak beberapa tahun lalu.
Menurut laporan stesen NTV, perbuatan banduan tersebut membakar selimut adalah bagi membantah kekurangan alat penyaman udara di penjara tersebut.
Polis bertindak melakukan sekatan jalan raya ke penjara tersebut.
Anggota-anggota polis juga menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan beberapa keluarga banduan yang mahu mengetahui identiti penghuni yang mati.
Satu siasatan akan dilakukan bagi menentukan punca kejadian tersebut. - AFP

Pentas konsert rock runtuh


GAMBAR menunjukkan pentas konsert rock sebelum dan selepas ia runtuh di Downsview Park, Toronto kelmarin.


TORONTO, Kanada - Seorang maut dan tiga yang lain cedera apabila sebuah pentas gergasi runtuh tiga jam sebelum persembahan konsert band rock dari Britain, Radiohead di sini, kata beberapa pegawai kelmarin.
Timbalan Komander Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, David Viljakainen berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang terperangkap di bawah runtuhan pentas tersebut disahkan mati.
Menurut Viljakainen, seorang lelaki berusia 45 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dimasukkan ke sebuah hospital dan dua mangsa lain dirawat di tempat kejadian di Downsview Park.
Sementara itu, jurucakap polis, Tony Vella berkata, ketika kejadian, beberapa kru sedang bekerja di atas pentas tersebut.
Punca kejadian masih disiasat dan polis menolak spekulasi bahawa ia disebabkan angin kencang.
Kumpulan Radiohead mengumumkan di laman Twitter bahawa konsert tersebut dibatalkan ekoran kejadian tersebut.
Laman web rasmi kumpulan tersebut turut menyatakan sebanyak 40,000 tiket konsert itu habis dijual.
Band itu dianggotai lima orang iaitu Thom Yorke, Jonny Greenwood, Colin Greenwood, Phil Selway dan Ed O'Brien. - Agensi

Majlis perkahwinan unik


MEABON (kiri) dan Robinson melangsungkan perkahwinan di atas trak pikap di Wattsburg kelmarin.


WATTSBURG, Amerika Syarikat - Satu pasangan pengantin, Beth Meabon dan Drew Robinson menaiki sebuah traktor gergasi di sini kelmarin.
Meabon, 20, dan Robinson, 22, memandu traktor itu selepas mereka melafazkan ikrar perkahwinan semasa berdiri di atas bahagian tempat membawa muatan trak pikap di belakang rumah Meabon.
Lebih 150 orang menghadiri majlis perkahwinan pasangan penternak itu. - Agensi

Pesawat angkasa lepas AS mendarat tanpa juruterbang


Pesawat angkasa lepas AS mendarat tanpa juruterbang di Pangkalan Tentera Udara Vanderberg, California kelmarin.


LOS ANGELES - Sebuah pesawat angkasa lepas tanpa juruterbang milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), X-37B mendarat di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg di California kelmarin selepas 15 bulan berada di angkasa lepas.
Kapal angkasa itu berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida pada Mac tahun lalu.
Kapal angkasa seberat 4,989 kilogram dan panjang 8.8 meter itu dibina oleh syarikat Boeing.
Projek membina kapal angkasa itu telah bermula pada tahun 1999.
Ia dihantar ke angkasa lepas untuk menguji teknologi baharu tentera AS.
Projek rahsia itu telah mencetuskan spekulasi tentang peranan X-37B dalam tentera AS dengan sebahagian pendapat menyatakan ia akan digunakan untuk tujuan mengintip dan menghantar satelit kecil.
Kapal angkasa itu direka bagi membolehkan ia berada di angkasa lepas selama 270 hari. - Agensi

No comments:

Post a Comment