Friday, January 7, 2011

BUANG BAYI DAH BERTARAF DUNIA

DUNIA


8,000 burung merpati jatuh dari langit


SEBAHAGIAN burung merpati yang jatuh dari langit di bandar Faenza, Itali pada Rabu lalu.


FAENZA - Kematian haiwan secara besar-besaran berlaku lagi tetapi kali ini melibatkan 8,000 ekor burung merpati di bandar ini yang terletak di Itali, lapor sebuah akhbar semalam.
Burung itu dipercayai mati disebabkan keracunan atau kekurangan oksigen selain cuaca sejuk.
Haiwan itu jatuh ke tanah dan di atas bumbung rumah serta kereta pada Rabu lalu.
Penduduk di sini menyatakan, bangkai burung merpati itu mempunyai tompok biru pada paruhnya yang dipercayai pakar-pakar sebagai tanda hipoksia atau kekurangan oksigen.
"Burung-burung merpati itu jatuh dari langit satu demi satu dan kemudian dalam kumpulan 10 atau 20 ekor serentak," kata seorang penduduk tempatan.
Keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti punca kematian burung-burung merpati itu hanya akan diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.
Insiden terbaru itu berlaku selepas dua juta ikan ditemui mati di Teluk Chesapeake, Maryland, Amerika Syarikat (AS) beberapa hari lalu.
Pakar-pakar percaya ikan-ikan itu mati akibat tertekan cuaca sejuk dan pembiakan berlebihan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan insiden kematian besar-besaran haiwan berlaku di seluruh dunia yang antara lain melibatkan 40,000 ekor ketam setan merah mati di Kent, Britain pada Rabu lalu.
Di AS, beribu-ribu ekor bangkai ikan ditemui terapung di sungai Spruce, bandar Port Orange, Florida pada Selasa lepas.
Pada Selasa lalu juga beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di perairan New Zealand dengan 50 ekor burung ditemui mati di sebatang jalan raya di bandar Falkoping, Sweden manakala 200 ekor burung ditemui mati di sebuah lebuh raya di Texas, AS .
Di Brazil pula, sebanyak 100 tan metrik ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama telah ditemui di pesisir pantai Parana. - Agensi



DUNIA


Agensi perisikan siasat Renault


GAMBAR fail menunjukkan bentuk kereta elektrik model Fluence ZE buatan Renault yang dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Paris, Perancis pada 1 Oktober lalu.


PARIS - Pejabat Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengarahkan Perkhidmatan Perisikan Perancis (DCRI) untuk menyiasat isu pengintipan industri yang berlaku dalam industri pembuat kereta Renault.
Perkhidmatan perisikan itu akan menyiasat kemungkinan wujud hubungan dengan China dalam skandal tersebut. Pada Rabu lalu, syarikat pembuat kereta Renault itu menggantung tiga pegawai pengurusan tertingginya ekoran isu skandal kebocoran maklumat pembuatan kereta elektrik yang diketahui China.
Menurut akhbar Le Figaro, sumber syarikat tersebut menyatakan ketiga-tiga pegawai tersebut disyaki membocorkan maklumat rahsia mengenai kereta elektrik yang menjadi hala tuju masa depan Renault kepada pihak China.
Syarikat Renault kelmarin menyatakan bahawa aset-aset strategik, intelektual dan teknologi telah menjadi sasaran. Namun, ia tidak menjelaskan pihak mana yang akan memperoleh manfaat daripada kebocoran rahsia itu.
Syarikat Renault dan rakan kerjasamanya dari Jepun, Nissan merancang untuk melancarkan beberapa model kenderaan elektrik menjelang 2014.
Ia bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan lebih mesra alam yang penjualannya semakin meningkat.
Syarikat Renault membuat banyak pelaburan dalam bidang teknologi kenderaan elektrik. - Agensi



DUNIA


Lady Gaga promosi gajet


LADY GAGA (kiri) memegang kamera Polaroid dalam Pertunjukan Elektronik Penggera di Las Vegas kelmarin.


LOS ANGELES - Peminat-peminat penyanyi Lady Gaga mengerumuni gerai kamera Polaroid dalam Pertunjukan Elektronik Pengguna di Las Vegas kelmarin.
Para peminat itu mahu melihat beberapa barangan terbaru keluaran Polaroid yang dihasilkan menerusi cita rasa penyanyi tersebut.
Antara barang yang dipamerkan Lady Gaga yang terkenal dengan lagu Bad Romance itu ialah alat pencetak gambar mudah alih, sepasang cermin mata berkamera dan kamera Polaroid yang boleh mengeluarkan gambar dengan segera.
Penyanyi yang gemar berpakaian pelik itu telah dilantik menjadi pengarah kreatif untuk gajet Polaroid. - Agensi



DUNIA


Pengemis bersuara emas ditawar jadi pelakon


DUA hos Meredith Vieira (kiri) dan Matt Lauer (tengah) mewawancara Ted Williams dalam program televisyen Today di New York kelmarin.


NEW YORK - Pengemis memiliki suara emas, Ted Williams kini ditawarkan untuk berlakon dalam filem terbitan pelakon dan pengarah terkenal, Jack Nicholson, lapor Entertainment Tonight kelmarin.
Tawaran itu adalah yang terbaru selepas dia tiba-tiba menjadi popular di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat banyak tawaran untuk menggunakan suara emasnya dengan bayaran lumayan selepas satu klip video menunjukkan dia mengemis disiarkan di Internet.
Nasib Williams yang berusia 53 tahun itu berubah serta-merta selepas seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch merakamkan gelagat pengemis itu bercakap meminta bantuan dengan menggunakan suara emasnya di tepi jalan di Houston Street, Columbus, Ohio. Jurugambar itu kemudian menyebarkan rakamannya itu di Internet.
Semasa rakaman itu, pengemis itu meminta bantuan kewangan dengan tangannya memegang cebisan kotak mengandungi ayat yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas juruhebah radio.
Dia kemudian bercakap seperti aksi deejay radio.
Williams kini menimbangkan tawaran untuk menjadi penyumbang suara bagi memberitahu perkembangan pasukan bola keranjang Cleveland Cavaliers dalam liga Bola Keranjang Nasional (NBA).
Dia juga ditawarkan untuk merakamkan iklan Kraft Macaroni & Cheese yang akan disiarkan di saluran Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN) semasa perlawanan Fight Hunger Bowl pada perlawanan akan datang.
Ekoran penemuan pengemis bersuara emas itu, seorang ejen pencari bakat, Shane Cormier berkata, dia boleh menjadikan Williams jutawan kerana keunikan suaranya.
Menyentuh mengenai tawaran terbaru dalam bidang lakonan, Williams berkata: "Jack Nicholson telah menghubungi seorang ahli keluarga saya yang kebetulan berada di Columbus, Ohio. Mereka akan menerbitkan sebuah filem dengan Jack memainkan watak sebagai seorang deejay. Dia mahu saya berlakon bersamanya," kata Williams.
Berita tersebut didedahkan selepas Williams bertemu semula dengan ibunya, Julia Williams di New York untuk pertama kali selepas 20 tahun.
Dalam pertemuan yang penuh emosi itu, Julia yang berusia 90 tahun berkata: "Anak saya yang suka membazir akhirnya pulang ke rumah."
Pengemis itu turut berkata: "Saya sudah sampai di rumah. Saya pernah beritahu akan pulang pada tahun ini. Saya tidak kelihatan hebat. Tetapi saya sudah ada di rumah," kata Williams.
Kelmarin, dia merakamkan suaranya untuk program promosi penjenamaan terbitan stesen televisyen MSNBC.
Dia tinggal di jalanan pada 1993 selepas kehidupannya musnah akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Beberapa hari lalu, dia hidup di dalam sebuah khemah di tepi lebuh raya di Columbus.
Sebelum menjadi terkenal disebabkan klip video selama 90 saat di Twitter dan YouTube, Williams pernah ditahan di beberapa buah lokap di Ohio atas dakwaan jenayah seperti mencuri dan memiliki dadah.
Semasa diwawancara dalam rancangan televisyen Today, kelmarin, dia mengaku terlibat dalam jenayah untuk memenuhi keperluan ketagihan dadahnya.
Williams pernah menjadi juruhebah radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.
Namun, dia kini tidak lagi mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun.
Williams turut menyuarakan perasaan terkejutnya apabila banyak pihak memberi perhatian terhadapnya semasa dia muncul dalam program Today terbitan stesen televisyen NBC itu di New York.
"Amat memeranjatkan. Ia merupakan fenomena dan tidak mungkin saya pernah bayangkan semua perkara ini akan berlaku. Saya rasa seperti Susan Boyle atau Justin Bieber," katanya yang dipetik daripada akhbar Columbus Dispatch.
Susan Boyle, 49, menjadi terkenal di dunia kerana suaranya yang merdu semasa menyertai pertandingan bakat nyanyian Britain's Got Talent pada 2009.
Justin Bieber pula menjadi penyanyi amat popular masa kini walaupun dia kini berusia 16 tahun.
Mengulas mengenai pengajaran yang didapati semasa melayan golongan yang tidak berumah Williams berkata: "Jangan menilai manusia secara luarannya. Semua orang mempunyai kisah tersendiri." - Agensi



DUNIA


Bayi ditemui disimpan dalam beg pakaian


SEORANG jururawat di sebuah hopsital memegang bayi yang ditemui di dalam beg pakaian di sebuah hotel di Hamburg, utara Jerman pada Selasa lalu.


HAMBURG - Polis Jerman memburu seorang ibu selepas dia dipercayai memasukkan bayinya yang berusia sehari ke dalam sebuah beg pakaian dan menutupnya sebelum meninggalkan bagasi tersebut dekat sebuah hotel di sini, kata polis kelmarin.
Bayi berkenaan yang digelar Marie, hanya ditemui selepas beg itu dibawa seorang pekerja hotel berkenaan untuk disimpan di tempat simpanan beg yang tidak dituntut.
Pekerja itu kemudian mendengar bunyi tangisan bayi itu di dalam beg berkenaan pada Selasa lalu.
Sebelum ini beberapa kakitangan keselamatan memeriksa beg itu yang ditemui dekat hotel berkenaan selepas orang awam menemui beg berkenaan.
Bayi itu berada dalam keadaan sihat, dipakaikan baju panas ketika ditemui dalam beg berkenaan.
Bayi itu kini berada dalam jagaan pihak Hospital Kanak-Kanak Altona di sini.
Beberapa doktor hospital berkenaan mendedahkan bahawa bayi perempuan itu lahir dengan berat 2.2 kilogram dan tingginya 45 sentimeter.
Menurut mereka, ibu Marie dipercayai bersalin tanpa bantuan perubatan berdasarkan tali pusat bayi itu yang cuma diikat dengan menggunakan sehelai benang. - AP

No comments:

Post a Comment