Sunday, January 9, 2011

DUNIA MELAKAR SEJARAH YANG PELIK2

DUNIA


Michael Jackson bunuh diri?


GAMBAR fail pada Februari 2010 menunjukkan Doktor Conrad Murray tiba di sebuah mahkamah di Los Angeles bagi berdepan dakwaan menyebabkan kematian Michael Jackson (gambar kecil).


LOS ANGELES - Seorang peguam kepada doktor peribadi Michael Jackson mencetuskan kontroversi apabila dia membayangkan Raja Pop berkenaan membunuh diri dengan menggunakan ubat pelali kuat, propofol.
Pada hari keempat kes kematian penyanyi legenda itu didengar di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin bagi memutuskan sama ada doktor peribadinya, Conrad Murray akan dibicarakan kerana membunuh tanpa niat berhubung kematian mengejut Jackson, pihak pendakwa raya juga memanggil seorang wanita yang menjalin hubungan sulit dengan Murray untuk memberi keterangan.
Saksi pendakwa itu diminta menceritakan mengenai beberapa bungkusan yang diterimanya daripada sebuah farmasi sebagai bukti bahawa Murray, 58, menerima bekalan ubat bius, propofol.
Seorang penyiasat koroner, Elissa Fleak kemudian mengesahkan dia menemui 12 botol ubat bius itu di rumah sewa Jackson di sini yang digunakan untuk membantunya tidur, termasuk beberapa botol propofol diletakkan di dalam sebuah beg bertanda, barangan keperluan bayi.
Propofol adalah sejenis ubat bius kuat hanya dibenarkan untuk kegunaan hospital.
Fleak berkata, kebanyakan botol ubat propofol itu ditemui empat hari selepas Jackson, 50, meninggal dunia kerana pengambilan ubat berlebihan pada 25 Jun 2009. Menurutnya, sejumlah jarum suntikan turut ditemui di dalam sebuah kotak terbuka di sebelah katil Jackson bersama satu botol propofol yang kosong.
Belum sempat Fleak menghabiskan keterangannya, peguam Murray, J. Michael Flanagan tiba-tiba mencelah dengan menyoal sama ada seorang lelaki bersaiz seperti Jakson berupaya mencapai jarum-jarum suntikan tersebut dari katilnya.
"Jika seorang individu seberat 61 kilogram dan tinggi 1.75 meter (Jackson) berada di atas katil, adakah dia mampu mencapai jarum-jarum tersebut (untuk membunuh diri)?"
Soalan itu mencetuskan bantahan pihak pendakwa raya dan hakim turut bersetuju bahawa ia bersifat spekulasi.
Namun, soalan tersebut membayangkan bahawa pihak pembelaan mungkin akan menggunakan teori Jackson membunuh diri sekiranya mahkamah memutuskan untuk membicarakan doktor peribadinya kelak.
Setakat ini, pihak pendakwa raya cuba membuktikan bahawa Murray cuai dalam memberikan ubat bius itu kepada Jackson selain cuba menyembunyikan pengunaannya daripada pihak berkuasa.
Perbicaraan akan disambung semula minggu ini.
- Reuters


DUNIA


Usaha Obama tutup penjara Guantanamo gagal

WASHINGTON - Inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama untuk segera menutup penjara Teluk Guantanamo punah apabila beliau menandatangani satu rang undang-udang semalam yang melarang para tahanan penjara berkenaan dibawa ke AS untuk dibicarakan.
Obama yang berulang kali berikrar untuk menghadapkan para tahanan tersebut ke mahkamah-mahkamah awam AS, memberi alasan beliau tiada pilihan tetapi terpaksa menandatangani rang undang-undang tersebut pada tahun ini.
"Saya meluluskannya bersama beberapa rang undang-undang penting lain yang turut melibatkan aktiviti ketenteraan bagi melancarkan pentadbiran pada tahun fiskal 2011," katanya.
Rang undang-undang tersebut turut melarang tahanan-tahanan Teluk Guantanamo dihantar ke negara-negara di luas AS untuk dibicarakan.
Penjara berkenaan yang dibina di Teluk Guantanamo, Cuba pada 2002 bagi menempatkan suspek-suspek pengganas, masih menahan sekitar 174 tahanan setakat November 2010. - Agensi




DUNIA


Tunggu berjam-jam untuk bermain Nintendo


RIBUAN peminat berbaris untuk bermain konsol Nintendo 3DS di Chiba, Jepun semalam.


CHIBA - Beribu-ribu peminat permainan video di Jepun membanjiri sebuah dewan pameran di sini semalam untuk menjadi kumpulan pertama mencuba konsol permainan video tiga dimensi (3D), Nintendo DS.
Konsol 3DS yang tidak memerlukan pemainnya memakai kaca mata 3D, dijadual dijual di Jepun pada 26 Februari dengan disusuli pasaran Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Australia pada Mac depan.
Walaupun terpaksa berbaris panjang selama beberapa jam, mereka tidak kisah cuma dibenarkan bermain konsol DS untuk beberapa minit.
"Tak sangka, imej-imej itu (Nintendo DS) timbul dan hidup seperti menonton televisyen 3D dengan memakai kaca mata khas," kata seorang bapa berusia 48 tahun yang beratur untuk anak perempuannya, Reika, 12.
Seorang lagi peminat permainan video, Masatoshi Sakazaki, 24 pula mengaku berpuas hati selepas kali pertama kali mencuba konsol tersebut.
"Permainannya kelihatan sungguh realistik tetapi ia lebih cepat meletihkan mata berbanding konsol biasa," katanya.
Alat permainan video itu dijangka dijual kepada orang ramai pada harga sekitar AS$300 (RM920). - AFP


Ribuan pengunjung serbu alat permainan 3D



CHIBA (Jepun): Beribu-ribu peminat alat permainan Nintendo membanjiri dewan pameran di Tokyo, sebaik syarikat itu melancarkan alat permainan 3D DS terbaru keluarannya, semalam.
Alat permainan DS generasi baru itu membolehkan pengguna memainkan permainan 3D tanpa pemakaian cermin mata khas. Alat permainan itu yang tidak dapat dijual musim Krismas lalu akan berada di pasaran Jepun pada 26 Februari dan bakal dijual Amerika Syarikat, Eropah dan Australia pada Mac depan.

Beribu-ribu pengunjung menyerbu dewan pameran di timur Tokyo itu apabila Nintendo membuka kemasukan percuma selama tiga hari kepada orang ramai untuk mencuba alat permainan 3D DS terbaru itu.
Pengunjung yang berbaris berjam-jam lamanya tetap bersabar menanti untuk mencuba alat permainan itu walaupun hanya untuk beberapa minit.

“Saya mahu membeli alat permainan itu kerana ia cukup seronok,” kata Reika, 12, sebaik keluar dari dewan bersama ibu bapanya.

Bapanya yang berusia 48 tahun juga menunjukkan kekaguman terhadap alat permainan baru itu. - AFP

Dua acara parti liar untuk William



ATUR CARA ringkas upacara erkahwinan William dan Kate.
ATUR CARA ringkas upacara erkahwinan William dan Kate.
LONDON: Pewaris takhta Inggeris, Putera William dikatakan akan mengucapkan selamat tinggal kepada zaman bujangnya dengan dua acara parti liar.
Parti pertama yang akan diadakan di London bakal disertai teman baik dari universiti, rakan sekelas di sekolah dan ahli keluarga terdekatnya, manakala parti bujang kedua yang lebih ‘hebat’ pula akan diadakan di Afrika Selatan dan dijangka dihadiri rakan daripada kumpulan terpilih saja.
William, 28, akan dirai dengan persembahan gadis akrobatik seksi dan kumpulan penyanyi wanita berpakaian korset yang akan menghidangkan minuman keras di Kelab Vaudeville di Cape Town, Afrika Selatan. Parti kedua di Cape Town itu yang bakal dianjurkan teman baik William, Guy Pelly dan Tom Inskip dijangka diadakan akhir Mac.

Pelly, 29, yang merancang parti kedua untuk William bersama teman wanitanya, Susanna Warren sudah terbang ke Cape Town untuk meninjau keadaan di sana.


Walaupun mereka enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai parti itu tetapi menurut satu sumber, Putera Harry dan rakan William sibuk merancang acara dua parti itu.

“Bagaimanapun, bila tarikh dan waktu parti itu diadakan akan dirahsiakan atas sebab keselamatan,” kata sumber itu.

Sementara itu, William yang akan mengahwini Kate Middleton pada 29 April depan, dikhabarkan akan membuat penampilan istimewa untuk rakyat jelata selepas upacara perkahwinan mereka dengan muncul di balkoni Istana Buckingham.

Pasangan diraja itu bakal muncul dengan aksi ciuman di balkoni istana berkenaan sepertimana kucupan dilakukan ibu bapanya, Putera Charles dan Puteri Diana 30 tahun lalu.

Menurut sumber istana, pasangan diraja itu akan menghadiri dua resepsi yang dianjurkan Ratu Elizabeth dan Charles.

Satu sumber di Istana St James berkata: “Detik romantik William dan Kate akan turut diabadikan di balkoni istana. Pasangan itu menghabiskan cuti Krismas hanya untuk merancang atur cara majlis perkahwinan mereka.”

Aksi ciuman di balkoni istana bakal menjadi detik kemuncak dalam perkahwinan pasangan diraja itu. - Agensi



Miranda selamat lahirkan bayi lelaki



LOS ANGELES: Peragawati Miranda Kerr dilaporkan sudah melahirkan anak lelaki di sebuah hospital di Los Angeles, semalam.
Miranda yang berkahwin dengan pelakon, Orlando Bloom pada Julai lalu dan mengesahkan kehamilannya sebulan selepas itu melahirkan bayinya lebih awal daripada jangkaan doktor.

Menurut ahli keluarga peragawati berasal dari Australia itu, mereka mendapat khabar Miranda sudah melahirkan bayi lelaki, pagi semalam.
Sebelum ini, peragawati pakaian dalam Victoria’s Secret itu dikatakan merancang untuk membahagikan masa antara karier peragaan dengan tugas sebagai ibu kelak. “Saya memang ingin menjadi seorang ibu satu masa kelak dan saya rasa Orlando akan menjadi bapa yang baik. Mempunyai anak dan kehamilan adalah sebahagian daripada kehidupan wanita,” katanya.

Berita mengenai kelahiran bayi Miranda dijangka memberi khabar gembira buat keluarga Miranda selepas datuk dan neneknya ditimpa malang apabila kediaman mereka di Sydney dijilat api, baru-baru ini. Datuk dan nenek Miranda sempat menyelamatkan diri selepas kediaman mereka disambar petir sebelum terbakar. - Agensi



Ibu ingin hapus tatu di punggung Arumi

JAKARTA: Aktres remaja Arumi Bachsin yang hampir dua bulan setengah lari dari rumah dikatakan melukis tatu nama pelakon berasal dari Malaysia, Miller di punggungnya.
Hal itu disahkan ibunya, Maria Lilian Pesch yang mendakwa tatu itu dibuat Arumi tanpa pengetahuannya. Wanita berketurunan Belanda itu bertekad ingin menghapuskan tatu di punggung anaknya ketika dia pulang ke pangkuan keluarga.

“Ya, tatu itu dibuat tanpa pengetahuan saya. Saya sangka dia sudah tiada hubungan lagi dengan Miller tetapi ternyata telahan saya salah. Saya tahu Arumi pasti terpengaruh dengan pujukan Miller untuk melakukan tatu itu. Saya akan menyuruh dia menghapuskan tatu itu jika dia kembali kepada kami,” tutur Maria ketika ditemui, semalam. Maria turut memberitahu sepanjang ketiadaan Arumi, tawaran berlakon yang sudah diterimanya terabai. Dia berharap Arumi tidak akan didenda atau ada penerbit yang akan menyaman anaknya itu. “Saya harap Arumi tidak akan didenda atau disaman. Saya juga berdoa semoga Arumi terbuka hati untuk kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin,” tambahnya. - Agensi


Bunuh tiga orang awam



SEATTLE: Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) berpangkat sarjan diarahkan menjalani perbicaraan di mahkamah tentera atas pelbagai tuduhan termasuklah membunuh tiga orang awam Afghanistan, menyimpan organ tubuh manusia sebagai trofi perang dan membelasah anggota tentera lain yang mengadu kepada penyelia mengenai penggunaan hashish di unitnya.
Sarjan Calvin Gibbs, 25, adalah seorang daripada lima anggota tentera daripada Briged Stryker yang menghadapi dakwaan membunuh. Kira-kira 12 anggota tentera AS yang bertugas di Afghanistan sejak 2001 menghadapi tuduhan melakukan kekejaman perang tahap serius.

Gibbs dari Billings, Montana juga menghadapi puluhan lagi dakwaan termasuk menyimpan anggota manusia seperti gigi, jari dan tulang kaki sebagai trofi perang. Dia bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol jika disabitkan kesalahan atas dakwaan membunuh tiga orang awam Afghanistan yang tidak bersenjata termasuklah seorang kerani, La Muhammad Kalay pada Januari 2010, Khari Kleyl pada Februari 2010 dan Qualaday pada Mei 2010. - Reuter

No comments:

Post a Comment