DUNIA
Jadi lelaki paling gemuk di dunia kerana kecewa
IPSWICH, Britain - Lelaki paling gemuk di dunia, Paul Mason, 49, memberitahu dia menjadi terlalu gemuk selepas ditinggalkan kekasih yang lebih tua daripadanya, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Mason, dia makan 24 jam sehari selepas kekasihnya yang berumur 39 tahun bertunang dengan lelaki lain.
Bekas pekerja pos itu menyatakan, semasa bercinta dengan wanita itu, umurnya 21 tahun dan kekasihnya bertindak meninggalkannya ketika dia berusia 26 tahun pada 1986.
Sejak itu, dia makan 24 jam sehari dengan memakan sarapan pagi yang mengandungi 2,060 kalori, snek dengan jumlah kandungan 1,740 kalori dan makanan tengah hari mengandungi 2,200 kalori.
Jumlah kalori itu menyebabkan berat badannya meningkat kepada 444.52 kilogram (kg).
"Saya beralih kepada makanan, Apa yang saya mahukan adalah untuk mendapatkan keselesaan.
"Saya makan tanpa henti selama 24 jam pada setiap hari. Saya tidak tidur pada waktu malam kerana saya makan dengan konsisten," kata Mason yang kini bergerak dengan menggunakan kerusi roda elektrik.
Berat badannya kini 234.02kg berkurangan sebanyak 190.50kg dalam tempoh setahun selepas dia menjalani pembedahan gastrik yang dilakukan bagi mengelakkannya memakan terlalu banyak makanan. - Agensi
Misteri ikan, burung mati di Arkansas
BEEBE - Misteri menghantui negeri Arkansas apabila lebih 100,000 ekor ikan ditemui mati di sepanjang 32 kilometer tebing dan di permukaan Sungai Arkansas berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe, di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan-ikan tersebut ditemui oleh seorang pemandu bot tunda pada Khamis lalu, 200 kilometer dari Beebe. Pakar alam sekitar percaya bahawa ikan-ikan itu mati akibat penyakit.
"Hanya satu spesies ikan yang mati dan kami tidak tahu apa puncanya. Jika disebabkan toksik, semua ikan mesti terjejas," kata seorang pegawai dari Jabatan Kualiti Alam Sekitar, Travis Harmon.
Pegawai-pegawai perikanan mengambil beberapa ekor ikan yang mati berhampiran Roseville untuk diuji.
Jurucakap Suruhanjaya Perikanan dan Sukan Arkansas, Keith Stephens memberitahu, masalah kematian ikan berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang luar biasa.
Seorang pakar, Dr. Andrew Goodwin dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur, Universiti Arkansas menyatakan perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka.
"Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.
Kematian itu berlaku selepas hampir 5,000 ekor burung hitam jatuh dari langit dan mati, 1.6 kilometer dari bandar Beebe pada malam tahun baru.
Insiden pelik yang kelihatan tidak mempunyai hubungan di antara satu sama lain itu nyata membingungkan penduduk Arkansas.
Para saintis menyatakan bunga api mungkin menyebabkan kematian burung itu. Namun, beberapa pegawai yang memeriksa burung itu menyatakan mereka masih belum pasti mengenai punca kematian haiwan tersebut.
Satu lagi teori ialah ribut petir mungkin dikatakan menjadi punca kematian burung-burung itu.
Insiden misteri itu nyata menimbulkan banyak teori dalam kalangan blogger.
Dua rakyat AS, Paul Joseph Watson dan Alex Jones dari laman web PrisonPlanet.com yakin ia disebabkan oleh ujian senjata elektromagnetik rahsia.
Sementara itu, pihak lain mengemukakan teori bahawa kematian burung dan ikan tersebut merupakan petanda hari kiamat berdasarkan ramalan suku kaum Maya di Amerika Selatan dan ahli nujum terkenal, Nostradamus. - Agensi
DUNIA
Skandal rasuah cemar reputasi parti pemerintah India
NEW DELHI - Salah satu skandal rasuah terbesar India sekitar tahun 1980-an mencemarkan reputasi parti Kongres selain melumpuhkan sesi parlimen akibat satu siri protes berikutan dakwaan rasuah.Seorang pemimpin kanan parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP) menyatakan, wang sogokan dibayar semasa perjanjian pertahanan bernilai AS$1.4 bilion (RM4.29 bilion) dibuat pada 1986 oleh parti Kongres yang memerintah.
Menurut media, satu laporan Jabatan Hasil Dalam Negeri India yang diperoleh pembangkang pada minggu ini menunjukkan bukti bahawa bayaran dibuat kepada ejen Quattrocchi dan Bofors dari Sweden, Win Chadha, berjumlah AS$14.7 juta (RM45 juta).
Kontroversi perjanjian pertahanan pada tahun 1986 itu telah menyebabkan parti Kongres dipimpin Rajiv Gandhi gagal mendapat majoriti dalam pilihan raya tahun 1989.
Parti Kongres sebelum ini didesak oleh BJP untuk berdepan dengan satu inkuiri parlimen berkaitan satu lagi kes mengenai penipuan dalam projek telekom bernilai AS$39 bilion (RM119 bilion) melibatkan bekas menteri telekomunikasi, A. Raja.
"Ini merupakan satu isu serius yang mesti dinyatakan dalam semua forum termasuk di parlimen," tegas seorang pemimpin kanan BJP, Arun Jaitley. - Reuters
DUNIA
Gerhana matahari separa di Asia Barat dan Eropah
BERN - Langit musim sejuk bertukar menjadi gelap di Switzerland kerana fenomena gerhana matahari separa yang bermula di Asia Barat dan melitupi hampir seluruh Eropah pada pagi semalam.
Sebuah akhbar melaporkan, keadaan di bandar raya ini menjadi gelap seperti senja semasa orang ramai berpusu-pusu keluar dari tren dan bas untuk ke tempat kerja.
Gerhana itu dapat dilihat dengan jelas di Geneva dan beberapa kota lain di Switzerland menjelang pertengahan waktu pagi sebelum langit beransur cerah.
Gerhana itu buat pertama kalinya dilihat adalah di langit Baitulmuqaddis manakala gerhana matahari paling jelas berlaku di Sweden apabila hampir 85 peratus matahari berada di belakang bulan.
"Kerana jajaran kedudukan bulan dengan matahari, gerhana kali ini kelihatan kecil," kata seorang ketua balai cerap, Tycho Brahe di selatan Sweden.
Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara matahari dan bumi menyebabkan bayang bulan dapat dilihat dari bumi manakala dalam gerhana separa hanya sebahagian matahari terhalang oleh bulan.
Sementara itu, penduduk di pedalaman Rusia, Kazakhstan, Mongolia dan barat daya China dapat melihat gerhana matahari itu pada waktu senja.
- Agensi
DUNIA
Identiti pelabur Facebook didedah
MOSCOW - Sebuah syarikat pelaburan Rusia, DST Global yang dilaporkan melabur sebanyak AS$50 juta (RM153.3 juta) di dalam syarikat laman sosial Facebook adalah milik taikun Internet, Yury Milner, lapor sebuah akhbar semalam.
Milner juga merupakan pengerusi Kumpulan Mail.Ru yang kini berkembang menjadi firma Internet terbesar di Rusia.
Kedua-dua syarikat itu telah memperoleh keuntungan besar dalam sektor laman jaringan sosial.
Kumpulan itu mempunyai 2.38 peratus pelaburan di Facebook termasuk DST Global yang jumlahnya tidak didedahkan tetapi laporan tahun lalu mendedahkan bahawa ia adalah sebanyak 10 peratus.
Laporan daripada akhbar The New York Times kelmarin menjelaskan bahawa sekiranya DST Global melabur sebanyak AS$50 juta (RM153.3 juta) dalam Facebook, jumlah gabungan pelaburan firma itu bersama Mail.ru dalam laman itu adalah melebihi AS$500 juta (RM1.5 billion). - AFP
DUNIA
Tunang pengasas Playboy dedah cincin pertunangan
NEW YORK - Bekas model majalah bogel Playboy, Crystal Harris menunjukkan gambar sebentuk cincin dijarinya yang diberi oleh tunangnya yang merupakan pengasas majalah itu, Hugh Hefner, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada 29 Disember lalu, wanita itu menghantar komen di Twitter yang berbunyi: "Kepada sesiapa yang ingin melihat cincin saya, inilah ia. Cincin pertunangan daripada kekasih saya."
Berpandukan gambar di akaun Twitternya itu, pakar-pakar menganggarkan bahawa cincin tersebut bernilai kira-kira AS$90,000 (RM275,940).
Pada Krismas lalu, Hefner, 84, memberikan cincin pertunangannya itu kepada Harris, 24, bersama-sama kotak muzik ikan duyung kerana wanita itu meminati filem ikan duyung, Little Mermaid.
Majalah People melaporkan bahawa Hefner menggunakan kotak muzik bertemakan ikan duyung itu untuk diberikan kepada tunangnya kerana ia kelihatan menarik dan saiznya sesuai untuk diletakkan bersama sebentuk cincin pertunangan.
"Apabila dia mula membuka pembalut hadiah, saya membantu membuka kotak muzik itu. Justeru, dia dapat melihat apa yang berada di dalamnya semasa muzik berbunyi," jelas Hefner. - Agensi
DUNIA
Peminat Bieber ancam bunuh Selena
|
|
NEW YORK - Pelakon yang popular di saluran Disney, Selena Gomez menerima ancaman bunuh melalui laman sosial Twitternya apabila gambar-gambar dia bercium dengan penyanyi Justin Bieber, 16, tersebar luas, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam gambar itu Selena dan Bieber bercium semasa mereka memakai pakaian renang di Saint Lucia di Caribbean. Antara komen Twitter yang diterima pelakon siri televisyen Hannah Montana itu adalah: "Saya akan bunuh kamu. Saya berjanji kepada tuhan!"
Selena yang merupakan pelakon dan penyanyi berusia 18 tahun itu juga menerima banyak komen lain termasuk: "Seperti saya mahu membunuh diri apabila melihat kamu bercium dengan Bieber. Terima kasih kerana membuatkan saya ingin membunuh diri."
"Jauhkan diri kamu daripada Bieber. Tunggu, saya akan datang dan membunuh kamu di katil busuk kamu itu pada waktu malam," komen seorang peminat Bieber di laman Twitter milik Selena.
Sebelum ini, Selena menafikan bahawa Bieber merupakan kekasihnya walaupun hubungan mereka kelihatan akrab. - Agensi
DUNIA
Banjir di Australia sebabkan arang batu lebih mahal
|
|
SYDNEY - Pakar ekonomi Australia menjelaskan bahawa banjir buruk yang melanda bahagian timur laut negara itu telah melonjakkan harga pasaran komoditi arang batu selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Negeri Queensland yang teruk dilanda banjir merupakan pengeluar separuh daripada jumlah arang batu dunia.
Ia memerlukan masa selama berbulan-bulan sebelum boleh beroperasi seperti sedia kala.
Penganalisis dari firma RBS Morgan, Tom Sartor menjelaskan bahawa harga arang batu dari Queesland telah melonjak kepada AS$305 (RM935) satu tan metrik berbanding harga asalnya AS$225 (RM690) sejak tiga minggu lalu.
Harga itu juga dijangka terus meningkat.
Pakar ekonomi menyatakan impak banjir masih belum diketahui.
Namun mereka percaya ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi jangka pendek. - AFP
DUNIA
Duduk atas bumbung kerana buaya
SYDNEY - Sekumpulan pelancong Jerman yang terpaksa duduk di atas bumbung sebuah kenderaan yang terperangkap dalam banjir di kawasan sarang buaya di Taman Negara Kakadu, utara Australia dilabel sebagai bodoh, lapor sebuah akhbar semalam.
Polis menyatakan empat pelancong Jerman itu yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita menyewa sebuah kereta pacuan empat roda yang tersangkut di dalam banjir sedalam satu meter di sebatang jalan raya di taman tersebut kelmarin.
Mereka terpaksa duduk di atas bumbung kenderaan bagi mengelak daripada menjadi mangsa buaya kerana ia terletak di kawasan sarang haiwan itu.
"Saya ingin menyatakan bahawa mereka (pelancong itu) adalah bodoh kerana cuba untuk menyeberangi air banjir dengan tidak menghiraukan amaran daripada penduduk tempatan dan pelancong lain," kata seorang pegawai polis.
Pelancong itu diselamatkan oleh polis yang menghantar sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas 30 minit memperoleh maklumat daripada orang awam. - Agensi
No comments:
Post a Comment