Wednesday, September 15, 2010

DAH SAMPAI TAKDIRNYA


Bayi rentung dalam dakapan ibu


Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2010/09/16

Foto  

  • ANGGOTA bomba memeriksa kereta Proton Persona dinaiki pasangan suami isteri, Azri Ismail, 27, dan Sunita Abu Bakar, 25, (gambar kecil) bersama bayi mereka berusia 13 bulan dan seorang rakan yang rentung selepas merempuh penghadang jalan di Kilometer 394 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang, pagi semalam.
  • Foto
    ANGGOTA polis dan bomba mengangkat mayat mangsa kemalangan di KM 394 Lebuhraya Utara Selatan dekat Hulu Bernam, semalam.
Kereta dinaiki pasangan suami isteri bersama rakan terbakar selepas rempuh penghadang jalan

HULU BERNAM: Empat orang termasuk pasangan suami isteri dan bayi mereka rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 394 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang di sini, pagi semalam



Dalam kejadian pada jam 8.05 pagi, semua mangsa dalam perjalanan pulang dari Air Hitam, Kedah ke Kota Damansara dekat sini, selepas bercuti menyambut Aidilfitri.Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Proton Persona, Azri Ismail, 27, isterinya, Sunita Abu Bakar, 25, dan anak mereka, Muhammad Amar Haikal, berusia 13 bulan serta seorang rakan dikenali sebagai Mohd Haznizam Abdul Mutalib, 20.

Azri dan Mohd Haznizam berasal dari Kampung Kelubi, Mukim Ayer Hangat, Langkawi manakala Sunita dari Kampung Permatang Bongor, Air Hitam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Mohd Taib Songoh, berkata kejadian berlaku selepas kereta yang dipandu Azri cuba mengelak sebuah lori pasir yang diletakkan di lorong kecemasan di kiri lebuh raya sebelum merempuh penghadang jalan berkenaan.

Beliau berkata, akibat rempuhan kuat, kereta terbabit terbakar menyebabkan keempat-empat mangsa rentung selepas gagal menyelamatkan diri. 
“Paling menyayat hati apabila bayi terbabit rentung dalam dakapan ibunya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Tanjung Malim dikejarkan ke tempat kejadian terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang rentung di kereta terbabit.

“Semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) di sini kira-kira jam 11.50 pagi untuk dibedah siasat dan dituntut keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian pada jam 4.15 petang, semalam, ” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Mangsa sempat patah balik ambil ketupat palas

ALOR SETAR: Mangsa kemalangan ngeri Sunita Abu Bakar dan keluarganya sempat berpatah balik ke rumah keluarganya di Kampung Permatang Bongor, Air Hitam, dekat sini untuk mengambil ketupat palas yang tertinggal walaupun ketika itu mereka sudah sampai ke Kulim.

Abangnya, Suhaimi, 27, berkata beliau tidak menyangka adiknya itu bersama suami Azri Ismail, 27, anak mereka Muhammad Amar Haikal Azri, 13, serta pekerja pasangan itu, Mohd Hasnizam Abdul Mutalib, 20, berpatah balik semata-mata mahu mengambil ketupat itu.

Katanya, mereka bertolak pulang ke ibu negara pada kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin dan beberapa jam selepas itu mangsa pulang semula ke rumah kerana tertinggal ketupat yang dibekalkan untuk mereka bawa pulang ke Kuala Lumpur.

Suhaimi berkata, Sunita, 25, anak ketujuh daripada lapan beradik memberitahu mereka sudah sampai di Kulim, iaitu kira-kira 150 kilometer dari rumah apabila menyedari tertinggal makanan kegemaran arwah pada setiap kali Aidilfitri.

“Ketika tiba di rumah Sunita kelihatan berat hati untuk pulang ke Kuala Lumpur dan berehat beberapa jam sebelum bertolak ke ibu negara pada jam 10.30 malam tadi (kelmarin).

“Saya tidak menyangka itu petanda dia tiga beranak pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Permatang Bongor, Air Hitam, dekat sini, semalam.

Katanya, Sunita pulang untuk beraya di kampung pada Rabu lalu dan pulang ke kampung suaminya di Langkawi pada hari ketiga Aidilfitri

No comments:

Post a Comment