Askar AS dalam bahaya
KABUL 7 Sept. – Komander tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, Jeneral David Petraeus memberi amaran nyawa askar AS di negara ini akan terancam jika sebuah gereja kecil di Florida meneruskan rancangan untuk membakar al-Quran pada 11 September ini.Petraeus berkata, rancangan untuk membakar kitab suci itu akan menjadi kejayaan propaganda bagi pejuang Taliban di Afghanistan dan memarakkan sentimen anti-AS di seluruh dunia Islam.
Gereja Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida mengumumkan akan membakar naskhah-naskhah al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001 pada Sabtu ini, bagi memprotes apa yang didakwanya sebagai ‘kejahatan Islam’.
“Tindakan itu boleh membahayakan askar dan mengancam seluruh usaha kita.
“Tindakan seperti itulah yang digunakan sebagai propaganda oleh Taliban dan yang boleh mencetuskan banyak masalah besar. Bukan sahaja di sini tetapi di mana sahaja kita menjalinkan hubungan dengan umat Islam di seluruh dunia,” kata Petraeus dalam wawancara dengan akhbar Wall Street Journal semalam.
Protes yang dirancang oleh gereja Florida yang mempunyai 50 anggota itu sudah pun mencetuskan kemarahan di Indonesia, negara majoriti Islam terbesar di dunia.
Pada akhir bulan lepas, kira-kira 100 anggota pertubuhan Islam di Indonesia memprotes di luar Kedutaan AS di Jakarta dan mengancam untuk melancarkan jihad jika gereja AS itu meneruskan rancangannya.
Ketua paderi Dove World, Terry Jones mengakui kebimbangan Petraeus adalah ‘berasas’.
Namun dalam kenyataannya kepada Wall Street Journal, Jones berkata, penganut Kristian perlu menghantar mesej yang jelas kepada elemen radikal dalam Islam.
“Kita tidak mahu lagi dikawal dan dikuasai oleh ugutan dan ancaman mereka,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment