KESAL...Norzairi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
“Saya tidak dibenarkan melawat atas alasan, saya bukan pihak menghantar dan menyerahkan anak saya berusia 15 tahun kepada pihak berkenaan, sebaliknya dilakukan bekas isteri.
“Sejak dimasukkan ke pusat berkenaan Ogos tahun lalu, saya tidak dibenarkan berjumpa anak biarpun beberapa kali berjumpa pengetua yang juga Pengerusi Raudhatus Sakinah Negeri Selangor, Yusnani Abd Hamid,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, semalam.
Menurutnya, tindakan pihak pengurusan berkenaan menyebabkan dia tidak mendapat sebarang akses berhubung dengan anaknya.
Memburukkan lagi keadaan, dakwanya pusat pengurusan berkenaan juga enggan membebaskan anaknya biarpun tempoh jagaan di pusat berkenaan sepatutnya tamat pada Ogos lalu.
“Bukan hanya di Sungai Buloh, bahkan saya pernah bertemu Yusnani di Ibu Pejabat Raudhatus Sakinah di Melawati bagi berbincang mengenai nasib anak saya, tetapi masih dilarang bertemu anak atas alasan ia atas arahan bekas isteri.
“Namun, perkara itu dinafikan bekas isteri saya kerana dia sendiri mahu anak kami dibebaskan daripada pusat jagaan itu. Sepatutnya kini kami sekeluarga boleh menyambut Aidilfitri bersama,” katanya.
Menurutnya, tertekan dengan masalah berkenaan dia membuat dua laporan polis pertama pada 17 Ogos lalu di Balai Polis Taman Melawati dan kedua pada 12 September lalu di Balai Polis Sungai Palong kerana keengganan pihak pengurusan membenarkan dia bertemu anaknya.
Malah, dia turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam.
“Tindakan pihak pengurusan menafikan hak saya melawat dan membebaskan anak saya daripada pusat jagaan itu salah dan tidak sah. Ia bertentangan dengan undang-undang dan pelanggaran hak asasi manusia.
“Oleh itu, saya memohon Suhakam membuat siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Akta 1999) supaya saya diberi akses melawat dan membebaskan anak saya dari jagaan pusat itu,” katanya.
Sementara itu, Yusnani ketika dihubungi menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan Norzairi gagal mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihaknya.
“Di Raudhatus Sakinah, kami mempunyai polisi perlu dipatuhi, sebelum membawa anak keluar, ibu bapa perlu bertemu pihak kami dan berbincang mengenai masa depan penghuni berkenaan, tetapi Norzairi gagal berbuat demikian.
“Malah, kelmarin saya menunggu dia sehingga jam 12 tengah hari, tetapi dia gagal hadir. Norzairi suka menyerang dan membuat kacau dan hanya berhenti jika dimaklumkan bahawa kami menghubungi polis,” katanya yang sehingga kini tidak membuat laporan polis berhubung tindakan berkenaan.
No comments:
Post a Comment