Monday, September 6, 2010

MISTERI

Misteri Sosilawati lesap


SHAH ALAM – Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya, dilaporkan hilang bersama tiga pekerjanya.

Beliau gagal dihubungi lebih seminggu lalu. Sosilawati, 47, dipercayai hilang bersama peguam syarikatnya yang berusia 30-an, akauntan dan pemandu peribadinya.

Kenderaan jenis BMW 5 Series, milik usahawan tersebut, juga gagal dikesan. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan itu pada 30 Ogos lalu.

“Laporan polis itu dibuat oleh anaknya dan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung kehilangan Sosilawati bersama tiga orang itu.

Peguam Sosilawati, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain berkata, beliau ada dimaklumkan tentang kehilangan usahawan itu seminggu lalu dan cuba menghubungi melalui telefon bimbit, tetapi tidak mendapat respons.

"Saya dengar mengenai kehilangannya dan telefonnya berkali-kali, tetapi tidak dapat.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah ketika kes disebut di mahkamah pada 26 Ogos lalu dan kali terakhir saya cuba menghubunginya ialah pada petang 30 Ogos, tetapi tiada jawapan," katanya.

Sosilawati adalah pengasas produk kecantikan 'Nouvelles Visages' yang berjaya membina empayar perniagaan tersendiri.

Beliau berkahwin dengan penyanyi rock terkenal, Jamaluddin Elias, atau lebih dikenali dengan nama Nash, pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun, wanita kelahiran Sri Medan, Batu Pahat itu, dan Nash bercerai talak satu pada 26 Mei tahun lalu.



NEGARA


Jutawan kosmetik hilang bersama wang RM4 juta



INILAH kediaman mewah Sosilawati di Gombak yang hilang tanpa berita sejak enam hari lalu.



KUALA LUMPUR - Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya menimbulkan misteri apabila dia dan tiga yang lain dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari sebuah pejabatnya di Kampung Baru di sini pada 30 Ogos lalu.
Turut hilang bersama Sosilawati yang merupakan pengarah urusan dan pengasas syarikat produk kecantikan Nouvelles Visage itu ialah seorang peguam, pegawai bank dan pemandu wanita itu.
Mereka hilang bersama kereta BMW X7 milik Sosilawati.
Satu sumber berkata, sebelum hilang, Sosilawati yang merupakan bekas isteri penyanyi terkenal kumpulan Lefthanded, Jamaludin Elias atau lebih dikenali Nash dikatakan telah meninggalkan pejabatnya bagi menghadiri majlis berbuka puasa.
Namun, selepas meninggalkan pejabat itu, telefon bimbit milik wanita terbabit gagal dihubungi menyebabkan anak sulungnya yang dikenali sebagai Rita membuat laporan di Balai Polis Gombak.
Difahamkan, sebelum dilaporkan hilang, Sosilawati yang berasal dari Batu Pahat, Johor dipercayai telah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya bagi membeli sebidang tanah di Banting, Selangor.
Sosilawati dan Nash, 50, telah berkahwin pada 16 November 2006 sebelum bercerai secara sah dengan talak satu raji'e di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 26 Mei 2009

“Berdasarkan maklumat, Sosilawati dikatakan tidak pernah mematikan telefon bimbit dan kerap kali menghubungi anak atau pekerjanya bagi memaklumkan apa jua perkembangan dirinya selain lokasi dia berada.

“Namun pada jam 6 petang Isnin lalu, Sosilawati dikatakan keluar bersama pemandu peribadinya bernama Kamal untuk bertemu seorang peguam di Banting, Selangor. Dia ketika itu meninggalkan pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini,” katanya


Kereta ditemui di Subang Jaya



2010/09/07 

KUALA LUMPUR: Kereta mewah milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dinaikinya sebelum dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu ditemui ditinggalkan di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya, dekat sini, malam tadi.
Kereta BMW X5 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WTL11 itu ditinggalkan di tempat berkenaan kira-kira jam 9.45 malam, tetapi nasib jutawan berkenaan belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mendedahkan identiti dan gambar tiga lagi individu yang dilaporkan turut hilang bersama Sosilawati pada hari dia didakwa pergi ke Banting, Selangor, atas urusan jual beli tanah. Menurutnya, peguam yang hilang berkenaan dikenal pasti sebagai Ahmad Kamil Karim, 32, yang menaiki kereta berasingan model BMW 525i berwarna biru dengan nombor pendaftaran AAJ5.

Keretanya ditemui kira-kira jam 10 malam di SS15, Subang Jaya, berdekatan sebuah hotel.

“Individu ketiga yang hilang ialah pegawai bank yang juga penasihat kewangan Sosilawati iaitu Noorhisham Mohammad, 38, selain pemandu peribadi mangsa, Kamarudin Shansudin, 44.

“Waris keempat-empat mangsa yang hilang sudah membuat laporan rasmi kepada polis. Semua keluarga mangsa sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan semua individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran segera.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sehingga kini pihaknya belum dapat memastikan sama ada dia diculik atau sebaliknya dan masih menyiasat lebih terperinci.

“Siasatan masih dilakukan polis Kuala Lumpur dan mengumpul segala maklumat dari keluarga mereka yang hilang.

“Polis juga mendapatkan maklumat dari semua panggilan telefon yang dibuat, malah panggilan terakhir yang dilakukan mereka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau meminta orang ramai melaporkan kepada polis jika mempunyai sebarang maklumat berkenaannya



Anak yakin ibu dalam negara

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Appendy Issahak dan Shamsul Munir Safin

2010/09/07 

GOMBAK: “Hati saya kuat mengatakan ibu masih berada di dalam negara. Semoga dia selamat,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak sulung pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Beauty Care Sdn Bhd (Nouvelle Beauty), Datuk Sosilawati Lawiya, berhubung kehilangan ibunya sejak lapan hari lalu.
JUMPA...kereta Sosilawati yang ditemui di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya, malam tadi.
JUMPA...kereta Sosilawati yang ditemui di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya, malam tadi.
Ditanya berhubung motif kehilangan ibunya, dia bagaimanapun sukar mengenal pasti sama ada ia bermotif jenayah atau sebaliknya, namun percaya ibunya mungkin berhadapan ‘detik sukar’.

“Kami sudah membuat laporan selain memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berhubung kes kehilangan ibu. Buat masa ini kami berharap polis melakukan sesuatu dan membantu kami menjejaki ibu,” katanya.

Difahamkan pasport milik Sosilawati, 47, ditemui berada di rumahnya manakala mangsa tidak membawa sebarang pakaian seperti kebiasaannya jika dia mempunyai tugasan di luar negara.

Pada masa sama, Erni turut kesal berikutan laporan akhbar Kosmo yang mendakwa ibunya membawa RM4 juta sedangkan maklumat terbabit dianggap kabur dan tidak tepat.

“Saya tidak pasti dari mana maklumat itu diperoleh, namun pendedahan berita terbabit boleh memburukkan keadaan dan keselamatan emak
“Saya cuma berharap kes kehilangan emak ini tidak disensasikan. Perkara ini membabitkan keselamatan nyawa ibu saya. Kalau boleh saya tidak mahu membuka mulut kepada media kerana bimbang akan memburukkan keadaan,” katanya.

Erni juga mendedahkan cubaan individu tertentu yang cuba mensabotaj perniagaan kosmetik milik ibunya itu selepas kehilangan ibunya mendapat liputan meluas media
“Perlu diingatkan operasi syarikat Nouvelle Beauty di Jalan Raja Bot, Chow Kit, berjalan seperti biasa dan stokis serta pelanggan tidak perlu gusar.

“Operasi syarikat tidak terjejas dan sebarang pertanyaan berhubung produk atau barangan syarikat ini boleh disalurkan ke talian 03-26915153 atau 03- 26925153,” katanya.
Erni amat berterima kasih sokongan tidak berbelah bahagi dari stokis dan rakan ibunya yang terus menyokong syarikat berkenaan.

Sementara itu, rakan baik Sosilawati yang juga pengasas produk De Wajah, Junaidah Kiting memberitahu Sosilawati ada menghubunginya kira-kira dua minggu lalu sambil mengadu menghadapi sedikit masalah berhubung pentadbiran syarikatnya, namun perkara itu berjaya diselesaikan.

“Saya turut cuba menghubungi telefon bimbitnya minggu lalu, namun gagal untuk bercakap dengan Sosilawati. Selama mengenalinya, dia rakan yang amat baik dan pemurah, malah kerap bersedekah serta membantu sesiapa yang menghadapi masalah.

“Sukar untuk mengetahui motif kehilangannya, namun saya meletak sepenuh keyakinan kepada polis untuk menyelesaikan kes kehilangan misterinya itu,’ katanya ketika ditemui melawat keluarga mangsa di rumah Sosilawati, petang semalam.

Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Isnin minggu lalu.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari. Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank


Polis ada petunjuk, yakin dapat temui jutawan kosmetik

SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya telah mempunyai maklumat berhubung kehilangan  pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi sejak 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu pihaknya yakin dapat menemui keempat-empat mereka.

"Kita ada maklumat-maklumat tertentu.  InsyaAllah kita akan dapat jumpa mereka ...kita ada maklumat," katanya pada sidang media semasa lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sempena persaraannya, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kehilangan Sosilawati, 47, dan tiga lagi iaitu peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu peribadinya Kamarudin Shansudin, 47 dan pegawai CIMB Bank Norhisham Mohammad, 38



Kereta Sosilawati, peguam ditemui






























SUBANG JAYA 6 Sept. - Siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya menunjukkan perkembangan apabila kereta milik beliau dan peguamnya ditemui di dua lokasi berbeza malam ini.
Kereta BMW milik Sosilawati, 47, ditemui di Pangsapuri Angsana USJ1 di sini diikuti kereta milik peguamnya di sebuah kawasan perumahan berhadapan Dorsett Hotel Subang Jaya.
Difahamkan, seorang peniaga yang mengecam nombor plat kereta Sosilawati menerusi berita di televisyen melaporkan penemuan itu kepada pihak polis pada pukul 9.30 malam.
Peniaga itu menonton berita mengenai kehilangan jutawan itu yang turut mendedahkan nombor plat kereta yang dinaikinya dan apabila dia turun ke bahagian bawah pangsapuri berkenaan selepas itu, dia nampak kereta dengan nombor plat sama ada di tempat letak kereta di bahagian hadapan pangsapuri tersebut lalu melaporkannya kepada polis.
Selepas menemui kereta Sosilawati, difahamkan polis mendapat maklumat mengenai kereta BMW milik peguam itu di sebuah kawasan perumahan berhadapan hotel tersebut lalu bergegas ke lokasi berkenaan.
Polis menemui beberapa kesan cap jari pada kereta berkenaan dan usaha sedang dilakukan oleh bahagian forensik untuk mengesan pemiliknya.
Kedua-dua kereta berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan.
Dalam pada itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tengah hari ini berkata, polis akan meneliti senarai panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) akhir yang diterima atau dibuat oleh kesemua mereka yang hilang itu bagi memperoleh petunjuk mengenai kes tersebut.
''Pihak polis sedang menunggu data panggilan daripada syarikat telekomunikasi dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai.
"Yang pasti, mesti Sosilawati ada membuat atau menerima panggilan dan SMS sebelum beliau dilaporkan hilang," katanya.
Musa memberitahu, polis membuat siasatan daripada pelbagai sudut dan sebarang kemungkinan turut diambil kira bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman pula ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan suami Sosilawati bagi membantu siasatan kehilangan isterinya.
"Suaminya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira pukul 3 petang tadi," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, hari ini mendapati kediaman tersebut tenang dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.
Sosilawati dilaporkan hilang bersama tiga lagi iaitu pemandunya, peguam peribadi serta seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lalu.
Pemilik syarikat kosmetik, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor untuk menemui peguam atas urusan pembelian tanah di Pulau Pinang dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang hilang



Noorhisham beritahu isteri tidak balik rumah tiga hari

KUALA LUMPUR 7 Sept. - "Tolong faham, abang tak balik rumah tiga hari dan abang minta maaf. Nanti balik abang akan cerita," itulah kata-kata terakhir Noorhisham Mohammad kepada isterinya, Suzana Radim Pangat menerusi telefon sebelum beliau dilaporkan hilang.
Noorhisham, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru dilaporkan hilang bersama-sama juwatan kosmetik Sosilawati Lawiya, 44, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak Isnin lepas semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Suzana, 38, berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan Noorhisham ialah melalui panggilan telefon kira-kira 8.15 malam Isnin minggu lalu dalam keadaan tergesa-gesa.
"Saya rasa sangat pelik. Apabila saya tanya kenapa, dia cuma jawab yang dia suruh saya faham, nanti balik dia akan cerita semuanya dan ketika itu dia hanya sehelai sepinggang.
"Jadi, saya tak buat apa-apa tindakan kepada polis walaupun saya rasa apa yang berlaku ini pelik sebab bila suami cakap dia akan balik tiga hari lagi, fahaman saya dia akan balik," katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Seria, Ampang, hari ini.
Beliau berkata, pada hari kejadian, suaminya ada memberitahu bahawa beliau akan ke Banting atas urusan kerja bersama-sama Sosilawati, Kamaruddin dan Ahmad Kamil.
"Dan apa yang saya tahu pada masa itu, suami saya menaiki kereta dengan (Ahmad) Kamil sebab sebelum bertolak ke Banting dia ada telefon bagi tahu yang dia nak bertolak," katanya. - bernama
Suzana yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Noorhisham, berkata sejak 31 Ogos hingga kini beliau tidak dapat menghubungi suaminya.
"Pada hari berikutnya itu, saya risau kenapa dia tak hubungi. Petang saya hubungi dan SMS suami saya guna telefon saya dan anak, tetapi tak dapat," katanya.
— LAGI NOORHISHAM-ISTERI 3 KUALA LUMPUR Menurutnya beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 5 petang pada Khamis lepas selepas tiga hari suaminya tidak pulang ke rumah. "Saya risau sebab dah tiga hari dia tak balik, sebelum ini dia tak pernah buat macam ni. Kalau pergi out station pun dia akan balik," katanya sambil menambah Sosilawati merupakan pelanggan Noorhisham sejak dua tahun lalu.
Menurut Suzana, hari ini beliau dapat mengenal pasti kereta suaminya yang berada di Seksyen 7, Shah Alam.
"Anak Datuk Sosilawati beritahu kereta (Proton Perdana) Noorhisham ada di Seksyen 7. Nasib baik kunci spare ada dan saya terus ke sana untuk bawa kereta itu balik ke rumah," katanya.
Mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi, Suzana berdoa agar suaminya dapat pulang untuk meraikannya bersama mereka sekeluarga.
— LAGI NOORHISHAM-ISTERI 4 KUALA LUMPUR "Kali ini saya tak ada apa-apa persiapan. Hanya saya harap suami saya balik sebelum hari raya. Sebelum suami saya hilang dia dah belikan baju raya untuk anak-anak kami.
"Yang paling menyedihkan ialah 13 Sept ini adalah ulang tahun kelahiran suami saya," katanya.
Suzana meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suaminya agar segera tampil ke balai polis membuat laporan.
"Saya minta semua doakan suami saya pulang tak kira dia berada dalam keadaan macam mana sekalipun," katanya sambil menambah suaminya tidak pernah meluahkan sebarang masalah baik dari segi pekerjaan mahupun dengan Sosilawati.
Keluarga Sosilawati pula berkata mereka tidak menerima sebarang surat amaran termasuk ugutan berhubung kehilangan jutawan itu.
— LAGI NOORHISHAM-ISTERI 5 KUALA LUMPUR Adiknya Masturi, 42, berkata sebarang surat atau panggilan telefon termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diterima keluarganya dari mana-mana pihak berhubung misteri kehilangan kakaknya itu.
Masturi yang ditemui pemberita di hadapan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata beliau yang datang dari Johor, berada di rumah itu untuk menjaga anak-anak kakaknya sejak kakaknya dilaporkan hilang.
"Semua keterangan telah diberikan kepada polis. Sebarang perkembangan tentang kakak saya akan diberitahu oleh anak sulungnya melalui kenyataan yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
"Saya minta pada semua agar mendoakan keselamatan kakak saya, tambahan Hari Raya akan menjelma tidak lama lagi," katanya.
Anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 24, pula berharap kerjasama berterusan daripada masyarakat akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar lagi selepas ini seterusnya merungkaikan segala permasalahan berhubungan kehilangan ibunya.
— LAGI NOORHISHAM-ISTERI 6 (AKHIR) KUALA LUMPUR "Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu mengenai ibu kami sehingga membawa kepada penemuan kenderaan ibu kami semalam.
"Penemuan terbaru ini menunjukkan kerjasama, keprihatinan yang tidak berbelah bahagi seluruh rakyat masyarakat Malaysia terhadap dugaan yang sedang kami sekeluarga hadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Beliau meminta seluruh masyrakat berdoa agar ibunya ditemui dalam keadaan selamat agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan suasana yang meriah.
"Kami harap dapat menyambut Hari Raya bersama ibu seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Kami juga memohon kerjasama semua pihak agar memahami situasi kami adik-beradik khususnya adik-adik saya yang masih mencari kekuatan untuk menghadapi situasi yang cukup mencabar ini," katanya. - BERNAMA


KPN percaya Sosilawati hidup

















KELUARGA pegawai bank, Noorhisham Mohamad (gambar kiri) dan ibu Datuk Sosilawati Lawiya, Yatemi Abdul Rahman (kanan) mengharapkan kepulangan orang yang mereka sayangi sebelum hari lebaran. Kehilangan Sosilawati (tengah) bersama Noorhisham, peguam dan pemandunya sejak 30 Ogos lalu masih menjadi misteri.










SHAH ALAM 7 Sept. – Polis percaya jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya pada 30 Ogos lalu masih hidup dan kemungkinan berada di dalam negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, pihaknya mempunyai maklumat yang mungkin dapat membawa kepada penemuan Sosilawati, pemandu peribadi dan peguamnya serta seorang pegawai bank.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat itu kepada media kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa keempat-empat mangsa yang hilang.
“Kita ada maklumat tertentu. Insya-Allah kita akan dapat jumpa mereka dalam keadaan selamat. Kita berdoa begitu,” kata beliau kepada pemberita semasa mengadakan kunjungan akhir sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan kes kehilangan Sosilawati dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya.
Dalam pada itu, Musa memberitahu, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi peguam yang sepatutnya berurusan dengan Sosilawati berhubung kontrak jualan hartanah pada hari wanita tersebut dilaporkan hilang.
Beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai peguam itu semasa sidang akhbar.
“Jadi sekarang kita sedang cari Sosilawati, peguam dan pemandu peribadinya, pegawai bank serta seorang lagi peguam yang sepatutnya berurusan dengannya. Semuanya lima orang,” jelas beliau.
Mengenai penemuan kereta milik Sosilawati dan peguamnya, kata beliau, pihaknya masih melakukan siasatan terperinci dan setakat ini masih belum ada perkara yang mencurigakan ditemui pada kedua-dua kereta itu.
“Penemuan itu masih belum dapat menentukan apa sebenarnya yang berlaku.
“Kereta dia sahaja kita dah jumpa. Tapi kita tak boleh buat sebarang kenyataan lagi dan masih perlu tentukan apa yang sebenarnya berlaku.
“Tak boleh agak-agak tentukan sama ada berlaku penculikan atau apa-apa pun,” terangnya.
Tambah Musa, pihaknya juga telah mengambil keterangan semua ahli keluarga mereka yang hilang bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu siasatan.
“Antaranya, siapa mereka temui dan hubungi sebelum pergi berurusan dan maklumat-maklumat lain yang mereka tahu,” ujar beliau



Naluri saya kuat mengatakan dia selamat - Ibu

JOHOR BAHRU 7 Sept. - Ibu jutawan kosmetik, Yatemi Abdul Rahman, 80, yakin anaknya, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang gagal dikesan sejak 30 Ogos lalu, berada dalam keadaan selamat.
Dalam keadaan sebak, Yatemi memberitahu, naluri keibuannya menyatakan anaknya tidak diapa-apakan tetapi pada masa yang sama dia sentiasa berdoa agar keselamatan Sosilawati terus terpelihara.
"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, namun sebagai ibu naluri saya kuat mengatakan bahawa dia selamat dan sering berdoa supaya dia tidak apa-apa, tambahan pula dia sememangnya anak yang baik dan sering membantu saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Seri Menanti, Seri Medan, Batu Pahat dekat sini hari ini.
Sosilawati yang merupakan Pengasas Nouvelles Visage dikesan hilang bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Sansudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32 sebaik meninggalkan pejabatnya.
Misteri kehilangan Sosilawati bagaimanapun menemui petunjuk baru apabila Kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL11 berwarna hitam milik Sosilawati yang dipercayai ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa akhirnya ditemui di kawasan letak kereta di Flat USJ1, Subang Jaya, semalam.
Yatemi berkata, dia sering teringatkan Sosilawati, lebih-lebih lagi anaknya itu sering membantu membuat persiapan raya serta sama-sama menziarahi kubur-kubur sanak saudara terdekat pada pagi raya.
Sementara itu, adik ipar Sosilawati, Azizah Ahmad, 37, berkata, Yatemi asyik bertanyakan jika terdapat perkembangan terbaru mengenai Sosilawati selepas dia gagal dikesan sejak keluar dari pejabatnya di Jalan Bot, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
Azizah berkata, ibu mertuanya itu juga sering menangis setiap kali teringatkan Sosilawati yang setiap tahun tidak pernah ketinggalan untuk pulang menyambut Aidilfitri.
Katanya, kebanyakan mereka hanya mengetahui kehilangan Sosilawati menerusi laporan media namun tidak mahu membesar-besarkan hal tersebut kerana tidak pasti punca sebenar kehilangannya.
"Walaupun ibu (Yatemi) tahu Sosilawati kini hilang entah ke mana, dia sering terlupa dan kembali bertanyakan soalan yang sama kepada kami sebelum menangis kesedihan.
"Tambahan pula, Sosilawati dan anak-anaknya memang tidak pernah langsung tidak balik ke sini dan berkumpul bersama 10 adik-beradiknya yang lain setiap kali beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri," katanya.
Azizah berkata, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan Sosilawati ialah ketika mengadakan kenduri kesyukuran sebelum Ramadan pada awal Ogos lalu.
"Ketika bertemu, Sosilawati juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, dan dia tetap ramah dan bermurah hati seperti yang kami kenali," katanya



Jangan spekulasi kehilangan Sosilawati
Sep 9, 10 5:41pm
Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.

"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).

"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis.

"Ada maklumat yang telah disalurkan pada pihak kita dan kita telahpun salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat Kuala Lumpur mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.

- Bernama


'Nak duit minta, jangan curi'

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

2010/09/09

BATU PAHAT: “Aku dah kena tipu. Kau bayangkan, setiap bulan kebelakangan ini untung meniaga tak nampak...lepas bayar duit elektrik dan air, sudah tidak ada duit simpanan.
TENANG...Rosnani menatap akhbar yang melaporkan kehilangan Sosilawati.

Hilang
TENANG...Rosnani menatap akhbar yang melaporkan kehilangan Sosilawati. Hilang
“Aku tidak suka orang tipu aku. Kalau nak duit minta, jangan curi. Jangan buat aku macam ini,” itu sebahagian daripada kata-kata jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, ketika pertemuan akhir bersama adiknya sebelum dilaporkan hilang, 30 Ogos lalu.

Menurut adiknya, Rosnani Lawiya, 45, kakaknya bersungguh-sungguh mengadu kesal kerana dia ditipu orang kepercayaan yang membantu menguruskan syarikatnya.



Rosnani berkata, masalah itu didedahkan Sosilawati dalam pertemuan terakhir mereka di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini akhir bulan lalu, selepas kenduri kesyukuran menyambut Ramadan.

“Sebelum ini, saya kerap berpesan pada kakak tidak terlalu mempercayai orang lain dan mengambil tahu hal ehwal kewangan syarikatnya bagi mengelak ditipu.

“Namun Kak Wati selalu mengatakan dia amat mempercayai orang di sekelilingnya dan pernah mengatakan tidak mungkin mereka sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi dengan menipunya

“Bagaimanapun, pada pertemuan terakhir kami sebelum Kak Wati tiba-tiba hilang, dia mengadu kepada saya apa yang pernah saya pesan kepadanya kini benar-benar menimpanya dan dia begitu sedih dan terkejut apabila mengetahuinya,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga resah apabila kata kakaknya itu menjadi kenyataan selepas dia dilaporkan hilang bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu

Rosnani berkata, sebelum kejadian penuh tanda tanya itu berlaku, kakaknya tidak pernah berkelakuan sedemikian atau mengadu sebarang perkara hingga membuatkannya runsing.

“Kak Wati seorang yang ceria, penyayang apa lagi mempunyai prasangka buruk atau bukan-bukan terhadap mereka yang rapat dengannya terutama membabitkan soal kerja.

“Sebelum ini Kak Wati jarang bercerita tentang perniagaannya, malah setiap kali berjumpa dia lebih gemar bersembang mengenai hal keluarga dan bertanya khabar.

“Perkara paling penting hal ibu kami (Yatemah Abdul Rahman, 80), kehidupan kami adik-beradik selain memberikan dorongan dan tunjuk ajar kepada kami mengenai selok- belok dunia perniagaan,” katanya.

Rosnani meluahkan kerisauannya apabila Sosilawati mengadu ditipu menyebabkan dia turut sedih dengan nasib kakaknya itu.

Lebih menyedihkan, ketika menceritakan masalahnya itu Sosilawati kelihatan kesal, sedih, kecewa dan teraniaya diperlakukan sedemikian.

Selepas mengetahui perkara itu, dia sekeluarga dan suami, Misjam Jamikun, 48, mendoakan kakaknya mampu mengatasi halangan dan cabaran dihadapinya.

“Kali terakhir Kak Wati menghubungi saya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Ogos lalu, kira-kira jam 2.30 petang, sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

“Dalam perbualan singkat itu kami berkongsi persediaan Aidilfitri dan saya langsung tidak menduga perkara buruk bakal menimpanya kerana nada suaranya ceria,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, persediaan tahun ini agak pelik kerana kebiasaannya Sosilawati akan membelikan kuih raya untuk semua adik- beradiknya, sebaliknya tahun ini berjanji memberikan wang tunai RM500 dan meminta membeli sendiri persiapan hari raya.

“Dia juga sempat bergurau jika dia yang belikan kuih semua pasti sama dan mungkin tidak kena selera adik beradik, jadi lebih baik dia beri wang dan kami beli sendiri.

“Hanya ibu akan mendapat kuih raya dibelikan, dia berjanji memberikan duit raya pada kami seperti tahun sebelumnya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri kelak,” katanya



Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati



2010/09/09

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.
"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).

"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama


Peguam ada rekod jenayah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa, Noriah Idris dan Mary Victoria Dass

2010/09/10

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang kini diburu polis berhubung kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan berstatus Datuk dan berusia dalam lingkungan 40-an.
Peguam itu dikatakan pernah berjumpa dengan beberapa VIP di Selangor untuk membincangkan mengenai urusan jual beli tanah.
Menurut sumber polis, Sosilawati memang mengenali peguam terbabit kerana pernah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengannya sebelum ini untuk membincangkan urusan pembelian tanah.

“Sebelum ini, Sosilawati pernah beberapa kali berjumpa dengan peguam terbabit membincangkan mengenai urusan jual beli tanah dan kali terakhir pada awal Ogos lalu.

“Namun pertemuan kali terakhir pada 30 Ogos lalu bertukar misteri apabila Sosilawati dan peguam terbabit turut hilang begitu saja,” katanya.

Selain Sosilawati yang juga Pengasas Nouvelles Visage, tiga lagi individu bersamanya iaitu pembantu peribadi, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut ghaib ketika mahu berjumpa peguam berkenaan.

Sumber itu juga mendakwa, peguam itu yang kini amat dikehendaki dalam kes kehilangan Sosilawati dipercayai mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penipuan di Selangor.

“Difahamkan, peguam itu juga pernah memberikan cek bernilai RM1 juta kepada Sosilawati, baru-baru ini. Cek itu mungkin ada kaitan dengan urusan beli tanah antara mereka, namun ia hanya boleh ditunaikan pada September ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memerlukan untuk membantu siasatan sehingga terungkainya misteri kehilangan Sosilawati.

Beliau berkata, memandangkan Sosilawati dan tiga lagi yang lain dilaporkan hilang di Banting, Selangor pihaknya memang ada menerima maklumat daripada penduduk tempatan yang boleh digunakan untuk membantu siasatan.

Namun, katanya, semua maklumat diperoleh itu diserahkan kepada polis memandangkan kes berkenaan disiasat oleh mereka

“Dalam kes membabitkan orang hilang, polis Selangor memang ada terbabit memberi bantuan jika mempunyai maklumat, begitu juga pasukan polis dari kontinjen lain.

“Kes Sosilawati tidak terkecuali apabila kita sentiasa menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa jika ada perkembangan,” katanya selepas melawat pos kawalan Ops Sikap Ke-22 di Batu 20, Bukit Berdarah, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor di sini, semalam.


'Sampai hati mereka...'



2010/09/10

BATU PAHAT: “Sampai hati mereka sorok anak mak cik...hari ni dah raya tapi kami sekeluarga masih berdebar-debar memikirkan nasibnya,” kata ibu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu.
Yatmah Abdul Rahman, 80, yang sebak dengan kehilangan anaknya itu berkata, dia mendoakan agar pada Aidilfitri ini Sosilawati atau Wati dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Dia berkata, tidak sangka ada orang tergamak menyembunyi atau melakukan sesuatu tidak baik kepada anaknya itu.

“Sebelum ini, mata mak cik selalu mengerenyet, rasa macam nak menangis. Rupa-rupanya ia petanda Wati tak balik raya, sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini. “Jelas raya ini tidak bermakna tanpa Wati...berdosa siapa yang sanggup menyorokkan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, semalam.

Lebih memilukan, warga emas itu setia menanti Sosilawati di pintu rumahnya pada setiap hari dan sering berdoa supaya anaknya itu selamat pulang. Yatmah berkata, dia sudah menyediakan makanan kegemaran anaknya itu yang akan dimakan pada pagi raya iaitu lodeh, rendang dan kari ayam.

“Kami masak semua lauk kegemarannya dengan harapan dia pulang esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, adik Sosilawati, Rosnani Lawiya, 45, berkata, sambutan Aidilfitri kali ini suram akibat kejadian berkenaan.

“Macam mana kami nak beraya sedangkan tiada sebarang khabar mengenai kak Wati.

“Sebelum ini, dialah yang memeriahkan suasana raya dengan telatahnya yang ramah ketika kami adik beradik berkumpul di rumah ibu,” katanya



Peniaga bergelar Datuk sorok Sosilawati
Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my
2010/09/09

YATMAH  dan  salah seorang adik Sosilawati, Mohd Hazim Lawiya, 38, menyusun kuih kegemaran Sosilawati di dalam balang sebagai persediaan menyambut anaknya pulang berhari raya di rumahnya, di Kampung Sri Menanti, Batu Pahat, semalam.
YATMAH dan salah seorang adik Sosilawati, Mohd Hazim Lawiya, 38, menyusun kuih kegemaran Sosilawati di dalam balang sebagai persediaan menyambut anaknya pulang berhari raya di rumahnya, di Kampung Sri Menanti, Batu Pahat, semalam.
KUALA LUMPUR: Kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit yang dikatakan mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan, dipercayai berperanan sebagai broker dalam urus niaga tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang itu



Kes bunuh Sosilawati: Tak bawa wang RM4j



2010/09/13

KUALA LUMPUR: Tiada wang tunai ditemui di tempat kejadian pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain walaupun sebelum ini khabar angin mengatakan jutawan itu membawa wang RM4 juta ketika menghilangkan diri.
Sumber polis mengesahkan tiada wang ditemui pihaknya selepas menahan lapan suspek termasuk suspek utama kes berkenaan, seorang peguam bergelar Datuk.

Setakat ini mengikut sumber, segala urusan berkaitan wang yang dijalankan mangsa dan suspek adalah melalui transaksi bank.

Menurut sumber terbabit juga, nilai transaksi yang dilakukan lebih besar daripada nilai yang tersebar sebaik berita kehilangan jutawan kosmetik berkenaan disiarkan
 
 
 

Kes bunuh Sosilawati: Terselamat tolak ajakan



2010/09/13

KUALA LUMPUR: Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya dianggap bernasib baik apabila tindakannya menolak ajakan ibu untuk menemaninya ke Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu, sekali gus menyelamatkan nyawanya daripada turut dibunuh penjenayah kejam.
Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, berkata pada hari terbabit ibu mengajak dia ke Banting untuk bertemu seorang peguam atas urusan jual beli tanah, namun dia terpaksa menolaknya kerana sudah mempunyai perancangan lain.

Menurutnya, ketika itu dia terkilan sebab tidak dapat menemani ibu dan perasaan itu semakin terasa apabila ibunya tidak pulang selepas tiga hari keluar daripada pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Mama ada ajak temankan dia ke Banting, tapi saya tak dapat ikut sebab sudah janji dengan kawan untuk berbuka puasa.

“Jadi mama kata kalau begitu dia akan pergi bersama pemandu dan peguamnya serta seorang pegawai bank,” katanya.

Sementara itu, teman rapat Sosilawati yang juga pengasas produk De Wajah, Junaidah Kiting, 52, berkata beliau kehilangan seorang rakan baik yang banyak membantu dan ini adalah kehilangan besar baginya



Kes bunuh Sosilawati: Anak meraung dengar berita



2010/09/13

GOMBAK: “Kalau betul mama dah tak ada lagi, bawa dia (mayat Sosilawati) tunjuk depan Rina. Abah (Buhari) cari mama!,” kata anak keempat Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Erinawati Sofia, 21, sambil meraung selepas mendengar berita kematian ibunya disiarkan di televisyen, semalam.
Perkhabaran sedih itu diterima sejurus Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengumumkan kemungkinan satu mayat ditemui di Ladang Gadong, Tanjong Sepat, ialah ibunya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat semalam.

Namun, anak sulung kepada Sosilawati, Erna Dekritawati Yuliana, 25, dalam satu kenyataannya kepada media berkata keluarga menerima ujian Allah dengan reda sebaik berita itu diterimanya lebih kurang jam 2 petang semalam.

“Sekiranya benar ianya mayat ibu, kami sekeluarga reda menerimanya”, kata Erni.

“Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan mengenai mama, hanya Allah dapat membalasnya, dan berharap semua bertenang menerima berita ini,” katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.

Erni berkata, buat sementara waktu ini, dia akan mengambil alih semua urusan pentadbiran syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV)
 
“Sebagai anak sulung, menjadi tanggungjawab saya menggalas tugas mentadbir syarikat


Kes bunuh Sosilawati: Jam jadi petunjuk

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Noriah Idris, Maiamalina Mohamed Amin, Shamsul Munir Safini, Muhammad Apendy Issahak, Sarah Zulkifly, Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/09/13

BANTING: Jam mahal milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang diambil salah seorang penjenayah sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh menjadi petunjuk paling penting berhubung kes bunuh dan bakar mangsa berkenaan.
Difahamkan jam milik Sosilawati terbabit dipakai salah seorang daripada lapan suspek termasuk dua daripadanya adalah wanita yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam berkenaan.

Selain itu, polis unit Forensik yang melakukan siasatan terhadap lokasi Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, lokasi abu mayat mangsa dibuang turut menemui cebisan tisu anggota tubuh, termasuk rambut selain tulang hangus manusia yang dipercayai milik mangsa yang hilang, petang semalam.

Susulan itu polis forensik didapati mengutip semua tisu tubuh manusia terbabit sebelum disusun di atas jalan bagi membolehkan siasatan lebih rapi dilakukan terhadap bukti terbaru ditemui itu melalui kaedah penandaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, bukti terbabit sebahagian daripada sampel ditemui polis di lokasi kejadian termasuk tinggalan abu dipercayai mayat empat mangsa dibunuh.

Difahamkan, bau kuat petrol di kawasan tapak pembakaran mayat mangsa di dalam ladang pertanian bersepadu di Tanjung Sepat menjadi petunjuk kepada polis bagi menjalankan siasatan lebih rapi.


Sementara itu, tiga kenderaan polis Unit Forensik memasuki kawasan ladang terbabit jam 12.20 tengah hari semalam diikuti van polis yang membawa dua suspek utama kes berkenaan.

Wartawan yang berada di lokasi kejadian mendapati, kedua-dua suspek memakai baju lokap polis Kuala Lumpur berkenaan dipercayai suspek utama, peguam bergelar Datuk dan adiknya


Konvoi polis yang dikawal ketat itu memasuki kawasan ladang yang terletak kira-kira 100 meter daripada jalan utama ke kawasan pembunuhan berkenaan sebelum memulakan siasatan rapi terhadap ladang berkenaan.

Polis Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan terhadap kawasan Sungai Panchau di sini.

Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar berhampiran kawasan kolam dalam ladang yang dibina tembok batu setinggi kira-kira dua meter di sekelilingnya.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis marin turut dipanggil bagi membantu siasatan polis melakukan tugas menyelam di sungai terbabit mencari bahan bukti kes selain mengutip objek dipercayai tulang mangsa yang tenggelam ke dasar sungai.

Pasukan forensik turut ke restoran terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, lebih 30 petugas media selain hampir 100 penduduk tempatan tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian berikutan kawasan terbabit dikawal ketat lapan anggota polis yang menjaga pintu masuk ke ladang terbabit.

Penduduk, M Mohan, 53, berkata, dia terkejut dengan kehadiran polis dan mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

“Semalam (kelmarin) ketika saya sembahyang di kuil berhampiran ladang ini, polis mengawal laluan masuk. Jadi saya pun tanya mereka dan dimaklumkan terdapat penemuan lokasi empat mayat dibakar,” katanya.Difahamkan tanah berkenaan adalah milik peguam bergelar Datuk terbabit.
 
 

Kes bunuh Sosilawati: Arwah mahu kongsi untung



2010/09/13

KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya difahamkan terlalu yakin urusan perniagaan dijalankan sebelum kehilangannya pada 30 Ogos lalu berjaya, malah arwah sudah mencongak untuk berkongsi keuntungan itu dengan cara tersendiri.
Kenalan rapat Sosilawati sejak 13 tahun lalu yang juga peguamnya, Datuk Zaidi Zain (gambar), berkata kesungguhan hartawan kosmetik itu mengusahakan urus niaga berkenaan difahamkan berkait soal jualbeli tanah, terserlah apabila Allahyarhamah menjelaskan mahu mengagih hasil keuntungan dengan rakan terdekatnya.

Katanya, ibu enam anak itu berniat berbuat kebajikan dengan membantu ibu tunggal supaya dapat menyara diri dan keluarga seperti mana arwah berjaya mengusahakan empayar perniagaannya bermula sekecil-kecil bisnes sehingga mampu mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Saya tahu mengenai perancangannya ini apabila dimaklumkan rakan lain yang Sosilawati mencongak-congak mengagih keuntungan bakal diperoleh dengan rakan dan buat kebajikan bantu ibu tunggal,” katanya


Kes bunuh Sosilawati: Reda jika DNA betul



2010/09/13

AMPANG: “Jika DNA mengesahkan itu adalah menantu saya, kami sekeluarga reda dengan perkara ini dan menganggap ia ketentuan Tuhan,” kata Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua Noorhisham Mohammad, 38, pegawai bank CIMB Kampung Baru yang dipercayai dibunuh bersama tiga yang lain termasuk Datuk Sosilawati Lawiya.
Keluarga Noorhisham yang cukup terkejut dengan kejadian berkenaan masih meletakkan harapan bahawa lelaki itu masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.
“Kami serahkan semuanya kepada keputusan DNA. Kini, apa yang boleh dilakukan keluarga kami berdoa dan berserah kepada Allah, saya tidak tahu untuk berkata apa sebenarnya,” katanya.

Menurutnya, anaknya, isteri Noorhisham, Suzana tidak dapat bercakap sepatah pun selain bersolat mendoakan keselamatan Noorhisham.

“Pilu melihat cucu saya sering bertanya di mana bapa mereka selepas melihat gambar Noorhisham di akhbar dan televisyen,” katanya.

Katanya, ketika umat Islam gembira berkumpul menyambut Aidilfitri, mereka sekeluarga yang sepatutnya beraya di Muar, Johor terpaksa membatalkan rancangan berkenaan selepas kehilangan Noorhisham



Kes bunuh Sosilawati: Dia sempat masuk wang ke akaun bank



2010/09/13

REMBAU: “Dia sempat memasukkan sejumlah wang ke akaun bank dan turut berjanji datang mengambil anak kami untuk pulang beraya di kampungnya di Pahang,” kata bekas isteri Kamaruddin Shansuddin, 44, pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, 47.
Noor Fazilah Ab Sani, 33, berkata, dia dihubungi bekas suaminya hujung bulan lalu yang menyatakan hasrat membawa dua anak mereka iaitu Balqis Dayana, 12, dan Izran Akmal, 9, meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Kuantan, Pahang.

“Pada waktu itu, mereka (anak) dilihat amat gembira untuk membuat persiapan raya kerana agak jarang menemui bekas suami sejak kami berpisah untuk mencari haluan masing-masing pada 2006.

“Balqis sempat meminta bapanya membeli baju kurung biru sebagai tema raya kali ini termasuk baju Melayu untuk seorang lagi anak kami, Irfan Aiman, 8, yang dipelihara kakak ipar di Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

“Namun, selepas saya membelikan Izran baju Melayu warna berkenaan, Balqis berbuat sebaliknya apabila dia memilih baju kurung hitam dan putih tanpa diketahui sebabnya,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pilin di sini, semalam.

Menurut perunding kesihatan itu, sebelum dilaporkan hilang, Kamaruddin yang turut dikenali sebagai ‘Kamal King’ sempat memasukkan wang ke dalam akaun banknya sebagai perbelanjaan untuk persiapan menyambut raya

“Sejak mengetahui berita kehilangannya melalui ahli keluarga dan media, saya sentiasa mendoakan keselamatan serta kesejahteraannya selain membuat bacaan Yasin setiap malam.

“Kami sekeluarga kali terakhir bertemu pada Mei lalu ketika dia bersama Sosilawati dan beberapa individu lain singgah di rumah saya di utara tanah air atas urusan perniagaan,” katanya

Noor Fazilah berkata, walaupun rumah tangga dibina selama sembilan tahun bersama bekas suaminya itu tidak kekal, hubungan mereka masih baik dan sentiasa bertukar giliran menjaga anak.



Kes bunuh Sosilawati: Foto terakhir Sosilawati



2010/09/13

KUALA LUMPUR: Bagi Natrah Mat Jaan, kesempatan merakam gambar Datuk Sosilawati Lawiya bersama anak-anak sehari sebelum kehilangannya pada 30 Ogos lalu akan menjadi kenangan menyedihkan sepanjang hayat.
Dia dan rakannya, Jett Halim Tan yang menjadi jurugambar peribadi ahli perniagaan itu sejak lima tahun lalu terkilan kerana gambar yang dirakamkan itu tidak sempat diberikan kepada wanita berkenaan.

“Sehari sebelum dia hilang, saya sempat merakamkan gambar potret keluarganya seperti tahun sebelum ini. Saya sempat ke rumahnya dan seperti biasa, arwah seorang yang peramah dan merendah diri. Kami berbual seperti biasa dan gambar itu menjadi seperti mana yang diinginkannya.

“Cuma, perwatakannya agak berlainan kali ini sebab agak lembut, berbanding sebelum ini, dia memang seorang yang gila-gila,” katanya.

Menurut Natrah yang sememangnya akrab dengan Sosilawati, berita kematian jutawan itu bukan saja mengejutkan sebaliknya sesuatu yang tidak mampu diterima imaginasi.

“Saya memang terkejut dan teringat semula detik sesi fotografi itu. Sesuatu yang ketara, Kak Wati sangat cantik serta berseri-seri, dan mudah memberikan gambar menarik berbanding sebelum ini saya agak sukar mencari sudut baik bagi merakamkan wajahnya,” katanya


Kes bunuh Sosilawati: Harap anak arwah tabah



2010/09/13

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Lefthanded, Nash yang juga bekas suami kepada Datuk Sosilawati Lawiya, berharap semua enam anak ahli perniagaan berusia 47 tahun itu tabah dan kuat menghadapi kenyataan bahawa ibu mereka sudah kembali ke rahmatullah.
Katanya, dia akan menghubungi salah seorang anak Sosilawati bagi memberi kata semangat dan berharap mereka tabah berhadapan dengan dugaan ini.

“Saya kini di Sabah dan mungkin tak dapat menghadiri majlis pengebumian itu, tapi saya berharap roh arwah ditempatkan di kalangan orang solehah.

“Kepada anak-anak, saya ucapkan takziah yang amat sangat. Saya sedar berita ini tentu mengejutkan, malah saya sendiri terharu dan sedih yang mendalam terhadap apa yang berlaku.

“Ketika ini hanya doa saja dapat mengiringinya termasuklah tiga mangsa lain yang turut ditimpa musibah sama. Semoga mereka dilindungi Allah,” katanya.

Ditanya bagaimana memperoleh berita itu, Nash berkata dia mengikuti perkembangan kehilangan Sosilawati sehingga membawa kepada penemuannya menerusi media massa.


Kes bunuh Sosilawati: 'Dia bagai idola kampung'



2010/09/13

BATU PAHAT: “Dia (Datuk Sosilawati Lawiya) bagaikan idola kampung ini,” kata Bejo Sungadi, 42, jiran sekampung Sosilawati, di Kampung Seri Menanti, dekat Seri Medan, di sini, semalam.
Menurut Bejo, dia dan isterinya terkejut apabila mendengar berita mengenai penemuan empat mayat di Ladang Kelapa Sawit di Tanjung Sepat, Selangor yang mempunyai kaitan dengan jutawan kosmetik berkenaan.
Katanya, Kak Wati (nama panggilan Sosilawati) adalah jiran yang pemurah dan terkenal dengan sikap suka membantu tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

“Setiap kali Aidilfitri, Kak Wati akan mengadakan jamuan rumah terbuka seawal jam 8 pagi hingga lewat malam dan pada masa itu dia akan bersedekah.

“Apa yang menggembirakan penduduk kampung, dia sering memberikan duit raya kepada semua hadirin yang berkunjung pada masa itu,” katanya, semalam.

Bejo berkata, dia mengenali Sosilawati sejak kecil, malah pernah bekerja bersama ketika menoreh getah kira-kira 10 tahun lalu.

Malah, dia mengakui Sosilawati adalah seorang rakan yang baik dan tidak pernah sombong.

“Buktinya setiap kali ada kenduri di kampung ini Kak Wati tidak pernah tidak hadir dan ringan tulang untuk membantu kerja kenduri yang diadakan,” katanya.

Bejo juga mengakui jutawan kosmetik terbabit amat pemurah serta selalu bersedekah kepada penduduk setempat mahupun jiran tetangga.

“Kehilangannya ini memang mengejutkan, malah kami tidak boleh menerima hakikat yang dia sudah pergi buat selamanya,” katanya
 

No comments:

Post a Comment