NEGARA
Sekolah Harapan beroperasi esok
MELAKA - Sekolah untuk remaja hamil dikenali sebagai Sekolah Harapan akan memulakan operasi esok walaupun sehingga kini masih belum mempunyai pelajar.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, Sekolah Harapan sepatutnya mula dibuka hari ini namun ditunda esok kerana hari ini merupakan cuti umum Hari Malaysia.
"Walaupun belum ada pelajar, sekolah ini tetap akan dibuka bermula pukul 10 pagi Jumaat ini (esok).
"Kita akan buka sekolah ini dulu, selepas ini sesiapa yang berminat boleh membuat permohonan dan segala maklumat mereka akan dirahsiakan," katanya ketika ditemui pemberita di Seri Bendahara di sini semalam.
NEGARA
Bayi berusia 14 hari dibuang
KOTA BHARU - Seorang bayi perempuan dipercayai berusia 14 hari dijumpai berbalut dengan kain lampin dan tuala di beranda sebuah rumah di Kampung Salor di sini semalam.
Bayi berkulit putih itu ditemui oleh pemilik rumah tersebut yang juga seorang kakitangan kerajaan, Mohsin Syeikh Mohammad, (gambar) 50, pada pukul 8 pagi.
Menurut Mohsin, dia mulanya dimaklumkan oleh seorang anak saudaranya yang berusia 19 tahun yang terdengar tangisan bayi.
"Sebaik sahaja saya membuka pintu, saya ternampak seorang bayi perempuan yang diselimut dengan kain lampin serta tuala yang diletakkan di beranda.
"Semasa dijumpai, saya dapati di sisi bayi itu juga terdapat botol susu yang dipenuhi dengan susu, kemudian saya membawa bayi itu ke dalam rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam
No comments:
Post a Comment