Saturday, September 25, 2010

CERITA TERBARU YANG MEMBIMBANGKAN SERTA MENGUSARKAN....

Taska terlibat kemataian bayi diarah henti operasi

25/09/2010 6:25pm

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Dua buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), satu di Putrajaya dan satu lagi di Seremban yang menyebabkan berlaku kematian bayi semasa penjagaan mereka, telah diarah menghentikan operasi selama tiga hari.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan penyiasatan yang lebih terperinci dijalankan terhadap Taska berkenaan.
Isnin lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan Nur Azwa Safrina Khairul Anuar didapati mati ketika dalam buaian di sebuah Taska di Paroi, Seremban.

Pada Selasa lalu pula, seorang bayi perempuan juga berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz mati dikatakan akibat tercekik susu yang diberikan pengasuhnya di sebuah Taska di Presint 8, Putrajaya.
"Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati kedua-dua Taska ini tidak berdaftar dengan JKM dan dengan itu JKM mempunyai kuasa untuk mendakwa kedua-dua Taska tersebut," kata Shahrizat dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, pihak Taska terbabit boleh diambil tindakan undang-undang iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. - Bernama


Reman suspek ugut isteri jutawan India disambung

25/09/2010 3:16pm

SEPANG 25 Sept. - Mahkamah Majistret Litar di sini hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman dua suspek kes ugut isteri jutawan dari India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang di Banting, Selangor sejak awal tahun ini, enam hari lagi.

Majistret Hurman Hussain membenarkan permohonan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan kedua-dua suspek membantu siasatan kes mengugut isteri jutawan itu yang juga warganegara India, S.Usharani, 27.
Ini merupakan kali kedua tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.

Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh wang RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta yang kononnya bagi membebaskan Muturaja, 34.
Kedua-dua suspek yang memakai baju lokap berwarna oren, dibawa ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi tadi.
Peguam yang mewakili kedua-dua lelaki itu, Chelvarajan R. Suppiah, juga hadir di mahkamah. - Bernama



Siasatan kes bunuh Sosilawati selesai dalam masa terdekat

25/09/2010 3:33pm

GEORGE TOWN 25 Sept. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
"Polis masih meneruskan siasatan (kes pembunuhan Sosilawati)... kita akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.
Semalam, pasukan forensik polis dilaporkan sekali lagi melawat ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Sosilawati, 47, pemandu Kamarudin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas, polis mengesahkan mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. - Bernama


Operasi kumpul bukti kes bunuh Sosilawati diteruskan

25/09/2010 11:22am

KUALA LANGAT 25 Sept. - Pasukan penyelam polis kini memulakan operasi untuk mengumpul lagi bahan bukti berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di kunci air, pekan Banting berhampiran pasar raya Econ Save, di sini hari ini.
Sebanyak 10 kenderaan polis dilihat tiba di lokasi tersebut pada kira-kira pukul 11 pagi ini.
Dua hari lalu, polis menemui gelang emas dipercayai milik Sosilawati di tali air yang sama kira-kira 200 meter dari lokasi operasi hari ini. - Utusan


JSJ nafi laporan akhbar

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini menafikan laporan dua akhbar yang menyatakan kelapan-lapan suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kerana disyaki turut merogol jutawan kosmetik tersebut.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin menegaskan, laporan yang disiarkan akhbar Berita Harian kelmarin dan The Star semalam adalah tidak benar kerana suspek-suspek dibawa ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan.
"Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke HKL adalah untuk pemeriksaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik.
"Kita juga cuba mengenal pasti jika terdapat sebarang kecederaan mahupun penyakit yang dialami suspek-suspek sebelum dibenarkan berjumpa dengan peguam masing-masing," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, selain itu polis tidak meminta HKL melakukan pemeriksaan lain terhadap suspek-suspek.
Dalam pada itu, Mohd. Bakri turut menafikan mengenai dakwaan suspek-suspek telah dipukul oleh polis untuk menandatangani beberapa dokumen ketika dalam siasatan.
Beliau menasihatkan pihak berkenaan supaya membuat laporan polis jika benar dakwaan tersebut berlaku.
Sementara itu, keluarga suspek utama hari ini menangguhkan hasrat untuk membuat laporan berhubung dakwaan peguam bergelar Datuk itu telah dipukul polis ketika dalam siasatan.
Peguam, Ravi Nekoo ketika dihubungi hari ini berkata, laporan polis itu terpaksa ditangguhkan kerana dia tidak sempat berjumpa dengan keluarga anak guamnya bagi merangka laporan yang akan dibuat.
"Saya sibuk, sebab itulah kita belum buat lagi laporan polis berkenaan. Untuk membuat laporan polis saya perlu berbincang dengan keluarga anak guam dan merangka laporan yang dibuat.
"Saya akan memaklumkan kemudian bila laporan itu akan dibuat jika keluarga anak guam akan meneruskan hasrat mereka," katanya



Suspek utama ke lokasi untuk lakon semula



Kenderaan polis yang membawa suspek kelihatan keluar dari ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ladang Gandong, Tanjung Sepat dekat Kuala Langat, semalam. - BERNAMA



KUALA LANGAT 24 Sept. - Polis hari ini membawa semula suspek utama dan empat lagi suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya ke tiga lokasi berasingan di sini dan Subang Jaya bagi tujuan melakonkan semula semua kejadian yang berlaku.
Difahamkan, tindakan itu dilakukan selepas Jabatan Peguam Negara memulangkan semula kertas siasatan kes tersebut semalam, kepada polis supaya siasatan terperinci dilakukan.
Lokasi pertama yang dituju ialah firma guaman milik suspek utama di Jalan Chempaka Off Jalan Sultan Alam Shah, berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, pukul 2.15 petang.
Di sana, hanya suspek utama yang dibawa ke tempat letak kenderaan sebelum diminta melakonkan selama kira-kira lima minit bagaimana dia bertemu dan berbincang dengan mangsa-mangsa.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu kemudian dibawa menaiki kereta Proton Waja berwarna emas menuju ke ladang miliknya di Ladang Gadong di sini.
Empat suspek lain yang memakai baju lokap berwarna oren turut dibawa ke ladang tersebut dengan menaiki kenderaan berasingan.
Mereka tiba secara berasingan pukul 2.30 petang ke ladang yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.
Di sana pula, keempat-empat suspek dipercayai telah diminta melakonkan semula bagaimana mereka telah menyiksa dan membunuh mangsa-mangsa.
Lebih 10 kenderaan polis dan forensik kelihatan memasuki kawasan ladang berkenaan bersama kesemua suspek.
Suspek-suspek kemudian dibawa ke dua tempat di Subang Jaya, iaitu lokasi kenderaan Sosilawati dan peguamnya, ditemui.
Terdahulu pasukan polis yang terdiri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Siasatan Khas (D9) dan Unit Forensik negeri dan Bukit Aman menghadiri taklimat diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Timbalan D9 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Azizan Anan.
Sementara itu, petugas media yang berada di hadapan pintu pagar ladang milik suspek utama tersebut seawal pukul 10 pagi bagaimanapun diminta beredar sebaik sahaja pasukan polis dan forensik memasuki kawasan berkenaan.
Kumpulan media hanya dibenarkan berada di jalan masuk ke kawasan ladang, iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi pembunuhan.
Kesemua suspek kemudian dibawa keluar dari Ladang Gadong kira-kira pukul 5.30 petang.
Bagaimanapun tidak diketahui bahan bukti baru yang diperolehi oleh pihak polis sepanjang berada di ladang bersama suspek-suspek



Peguam dalam dilema untuk bela suspek



Tiga peguam bela kepada suspek utama kes bunuh Sosilawati Lawiya, D.P. Vijandran (tengah) bersama Puspha Ratnam (kiri) dan Ravi Nekoo ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 24 Sept. - Peguam, D.P. Vijandran masih dalam dilema sama ada akan meneruskan tindakannya untuk membela dua beradik, iaitu suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.
Menurutnya, beliau setakat ini belum membuat keputusan muktamad untuk membela kedua-dua beradik itu sekiranya mereka dituduh di mahkamah.
"Saya masih belum membuat keputusan muktamad untuk membela kedua-dua anak guam kerana masih gagal untuk berbincang dengan mereka.
"Saya akan hanya membuat keputusan itu (membela) selepas dibenarkan bertemu dan melakukan perbincangan secara sulit dengan mereka berdua (suspek)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Vijandran merupakan salah seorang daripada tiga peguam yang dilantik untuk membela kedua-dua suspek utama dalam kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga lagi.
Peguam lain yang turut dilantik ialah Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam.
Menurut Vijandran, bagi membela kedua-dua beradik itu beliau memerlukan bukti atau keterangan mencukupi daripada suspek-suspek.
"Ini kerana setakat ini saya belum mendapat gambaran tepat daripada kedua-dua anak guam mengenai kes itu," katanya.
Sementara itu, Ravi Nekoo ketika dihubungi hari ini menetapkan pendiriannya untuk membela kedua-dua suspek apabila mereka dituduh di mahkamah.
Menurutnya, beliau akan membela kedua-dua beradik itu kerana keluarga mereka telah melantiknya jika dituduh di mahkamah dan memerlukan pembelaan.
Ravi dari firma guaman, Tetuan Hakem Arabi & Associates mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang perundangan serta sering mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil, telah dilantik sebagai peguam kepada dua suspek itu pada 12 September lalu.
Beliau juga salah seorang peguam pemerhati kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu prosiding Suruhanjaya Diraja Siasatan berhubung klip video perbualan peguam Datuk V.K. Lingam yang dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim di negara ini, dua tahun lalu.






No comments:

Post a Comment