Tuesday, September 14, 2010

main sandiwara

Kes bunuh Sosilawati: Bijak main sandiwara



2010/09/14
KUALA LUMPUR: Peguam yang merancang penipuan dan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, dianggap bijak bersandiwara sebagai pembela masyarakat apabila kerap tampil menghulurkan bantuan termasuk khidmat guaman percuma.
Difahamkan peguam berusia 41 tahun terbabit turut bijak menggunakan publisiti media bagi meraih populariti dan keyakinan masyarakat berhubung imejnya yang dilabelkan bersih dan boleh diyakini.
Berdasarkan maklumat, peguam berkenaan pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya majikan selain kes membabitkan gangguan seksual.

Perwatakannya seolah-olah individu prihatin menyebabkan suspek popular di kalangan masyarakat India di Banting, Selangor, di sini.

Bagaimanapun, Datuk ‘muda’ berkenaan yang merancang komplot jahat dengan adik kandungnya berusia 38 tahun, didakwa pernah dikenakan tindakan tatatertib Majlis Peguam Malaysia tiga tahun lalu.

Menurutnya, amalan guaman suspek pernah digantung selama setahun mulai 9 Mac 2007 hingga 30 Mac 2008 lalu.

Individu yang digantung terbabit adalah suspek berkenaan, adiknya dan seorang lagi proksi yang dikenakan tindakan dalam Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.

Hukuman terbabit menyebabkan Datuk berkenaan tidak layak menjalankan amalan guaman dan menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

Sumber polis berkata, adik suspek berusia 38 tahun yang juga seorang peguam turut pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah milik seorang wanita bernilai RM200,000 akhir tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan, adik suspek dihadapkan ke mahkamah awal Ogos lalu. “Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September depan,” katanya.

Menurutnya, walaupun polis percaya terdapat sekurang-kurangnya empat mangsa lain turut dibunuh dan dihilangkan dengan kaedah sama, namun polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai keluarga mangsa akan tampil memberi maklumat

“Setakat ini polis ada maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah yang dipercayai diperoleh secara tidak sah selain membabitkan penipuan terancang,” katanya



Kes bunuh Sosilawati: Kekasih turut hilang



2010/09/14
KUALA LUMPUR: Seorang gadis warga India berusia 19 tahun dan tiga ahli perniagaan lelaki yang dilaporkan hilang dalam tempoh setahun lalu, adalah antara mangsa yang dikaitkan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga lagi individu di Banting, Selangor.
Difahamkan, gadis malang terbabit adalah kekasih peguam bergelar Datuk dan datang ke Malaysia awal tahun lalu untuk membuka perniagaan makanan. Menurutnya, semasa berada di sini, mangsa berkenalan dengan suspek dan menjadi kekasihnya walaupun menyedari teman lelakinya itu sudah berkahwin.
Bagaimanapun, baru-baru ini, wanita terbabit dilaporkan hilang dan laporan dibuat oleh polis antarabangsa (Interpol) kepada pihak berkuasa di India bagi mendapatkan maklumat mengenai kes terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, dua lagi yang turut dikaitkan dengan peguam berkenaan adalah ahli perniagaan berketurunan Melayu.

Difahamkan, kedua-dua mangsa pada April lalu berurusan dengan peguam terbabit mengenai urusan pembelian tanah dan terus gagal dikesan sehingga kini.

Tambahnya, seorang lagi yang disyaki menjadi mangsa pembunuhan peguam terbabit adalah ahli perniagaan berketurunan India yang juga hilang selepas berurusan dengan suspek pada 18 Januari lalu.

Isteri ahli perniagaan warga India itu dikatakan membuat laporan di Kedutaan India, Jalan Duta di sini sehari selepas gagal menghubungi suaminya.

Difahamkan juga wanita berusia 26 tahun itu membuat laporan polis pada 8 September lalu dan mengatakan dia menerima panggilan telefon meminta wang RM1 juta bagi membebaskan suaminya


Kes bunuh Sosilawati: Suspek pernah taja program Orang Asli



2010/09/14
  
GOMBAK: Suspek utama pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya, 47, menjadi penaja terbesar pemberian hamper satu program untuk penduduk Orang Asli di Bukit Cheding, Banting, baru-baru ini.
Hal ini didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah yang turut hadir dalam program anjuran penduduk di sana pada 8 September lalu.
“Saya diberitahu peguam (suspek) itu salah seorang penaja terbesar untuk program berkenaan. Saya terkejut apabila melihat gambar suspek di media massa,” katanya.

Malah beliau berkata, suspek juga pernah menyatakan hasrat untuk menyertai MIC dan ingin menyumbangkan jasa dalam parti berkenaan.

“Saya menyuruhnya menghantar borang ke pejabat MIC, dan akan meminta Datuk Seri Samy Vellu mempertimbangkan, tapi siapa sangka rupanya dia peguam yang mempunyai banyak rekod jenayah. Malam tadi (semalam) saya tidak dapat tidur kerana saya mengingati perwatakan suspek yang pemurah dan peramah. Murugiah juga meminta polis menyiasat lebih terperinci mengenai suspek yang mendapat gelaran Datuk itu.

“Saya hairan bagaimana seorang peguam yang mempunyai banyak rekod jenayah, layak mendapat gelaran Datuk, dan dari mana dia mendapatnya, itu semua harus disiasat,” katanya. Sementara itu, Murugiah mewakili kaum India di negara ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan lapan suspek utama kes pembunuhan jutawan terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, serta tiga lagi rakannya yang mati dibunuh, dibakar kemudian abu mereka dibuang ke dalam sungai berhampiran kawasan Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting, Selangor. Beliau menyifatkan tindakan suspek berkenaan adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan hingga sanggup membunuh disebabkan wang.

“Saya mewakili kaum India di negara ini mahu polis menyiasat kes ini secara terperinci dan jika betul lapan suspek itu adalah pembunuhnya, bawa mereka ke muka pengadilan. Jika mereka bersalah, jangan bagi peluang lepas daripada tali gantung, kerana apa yang mereka lakukan sangat kejam,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah Sosilawati, semalam


Kes bunuh Sosilawati: Ujian ibu pemandu bertimpa



2010/09/14
KUANTAN: “Dua tahun lalu anak sulung saya meninggal dunia akibat sakit barah hati, tetapi tahun ini Kamarudin pula pergi meninggalkan kami sekeluarga. Sungguh kuat ujian Aidilfitri kali ini,” kata Zainab Ahmad, 73, ibu kepada Kamarudin Samsudin, 44, pemandu peribadi jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh kejam sebelum dibakar.
Menurut Zainab, Kamarudin pulang ke rumahnya di Indera Mahkota di sini, pada 25 Ogos lalu dan sempat berbuka puasa bersama keluarga sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada pagi 30 Ogos kerana mempunyai tugas bersama majikannya.
Katanya, ketika pulang bercuti selama lima hari itu, dia tidak melihat sebarang perubahan atau sikap pelik pada diri anak kelima daripada enam adik beradik kecuali Kamarudin menunjukkan sikap semakin peramah dengan keluarga dan adik-beradik.

“Kamarudin yang dipanggil Kama di kalangan ahli keluarga, sempat membawa anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, yang dijaga seorang lagi anak saya, Ramlah, 49, membeli dua pasang baju Melayu dan beberapa kelengkapan untuk Aidilfitri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

“Kama turut memberi saya dua pasang baju kurung dan sepasang telekung yang dihadiahkan Sosilawati. Manakala dua lagi anak Kama iaitu, Izran Ikmal, 9, dan Balqis Dayana, 12, kini dipelihara bekas isteri, Nor Fazillah Ab Sani, 33, di Rembau, Negeri Sembilan,” katanya.

Zainab berkata, kebiasaannya setiap kali menjelang Aidilfitri, Kamarudin adalah orang paling sibuk menghias rumah, memasak juadah raya dan juga kuih raya, tetapi semua itu kini tinggal kenangan yang menyedihkan.

“Saya terkilan dan sedih sangat kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama Kama kerana dialah yang gemar memeriahkan suasana Hari Raya selain suka makan lemang bersama rendang pada pagi raya.

“Apa salah Sosilawati dan anak saya, sanggup pembunuh terbabit melakukan perbuatan kejam itu. Saya amat berharap pembunuh yang berhati kering itu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Biarpun berat hati dan masih terkejut menerima berita menyedihkan itu, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan dan menganggapnya sebagai dugaan.

Zainab berkata, Kamarudin pernah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai pemandu peribadi tanpa memberitahu alasannya namun tidak sampai hati meneruskan niatnya kerana kasihankan majikannya itu yang banyak berjasa dan membantunya. Malah, Sosilawati sendiri pernah menghubungi Zainab memaklumkan Kama mahu berhenti kerja selepas hampir empat tahun berkhidmat, tetapi tidak mampu teruskan niat itu kerana kasihan.

“Sosilawati turut memberitahu dia tidak pernah jumpa orang jujur seperti Kama kerana tidak meninggalkannya sendirian terutama ketika sedang menghadapi kesusahan
 
“Kama tahu ramai orang yang mahu menipu Sosilawati dan mungkin disebabkan perkara ini dia tidak tergamak berhenti kerja. Saya tidak menyangka kesetiaannya bersama Sosilawati dipertahankan sehingga akhir hayat,” katanya.

No comments:

Post a Comment