RENCANA UTAMA
Pilu disisih perhatian anak
LENA Cikgu Ramlan terhenti tatkala terdengar bisikan isterinya meminta dia segera bangkit untuk bersahur. Nasi kukus, ikan masin, sambal belacan dan masak lemak cili api yang baru dipanaskan serta air cincau sudah sedia terhidang di atas meja dapur.
Dua anaknya yang masih kuyu matanya sudah tiba di ruang makan lebih awal. Mereka hanya menanti bapa mereka membasuh muka dan bersugi untuk menikmati hidangan bersama.
Doa makan diaminkan namun tiada bicara semasa di meja makan. Semuanya mesti tertib. Sudah menjadi kebiasaan, mereka anak-beranak tidak terus tidur kerana menanti masuk waktu Subuh.
Sementara menunggu azan dilaungkan, barulah Cikgu Ramlan yang segak berbaju Melayu berbual mesra bersama isteri dan anak-anaknya. Mereka tertawa apabila bercerita tentang kenangan raya. Perbualan juga adakalanya diselangi dentuman mercun dan meriam yang menggegar kesunyian desa.
Namun, itu semua tinggal kenangan yang cukup menghiris kalbu. Kini, Cikgu Ramlan hanya dikejutkan oleh loceng di Rumah Seri Kenangan (RSK) Seremban.
Dia juga tidak berbaju Melayu lagi. Setiap hari dia akan memakai baju-T lengan pendek berwarna oren, baju rasmi penghuni RSK. Mahu mengambil makanan sahur pun perlukan seseorang memimpin tangannya. Baginya, sahur sekadar cukup dengan dua tiga suap nasi dan secawan teh O panas.
Derita lelaki ini bukan calang-calang. Katanya, dia merana dengan perbuatan isteri dan dua anak kandungnya.
“Pada umur 55 tahun, saya bersara daripada khidmat sebagai guru. Empat tahun selepas itu, saya ke Indonesia untuk menjalankan perniagaan kayu balak.
“Hidup saya mewah ketika itu. Saya perlukan seseorang di sana untuk urus makan minum saya, jadi saya berkahwin satu lagi dengan seorang juruwang di Indonesia. Bermulalah episod duka seorang tua,” kata Ramlan yang berasal dari Negeri Sembilan kepada penulis.
Keputusan beristeri dua sememangnya membawa petaka kepada cikgu bahasa Inggeris itu. Hubungan mereka sekeluarga seperti retak menanti belah. Dia dipulau oleh keluarganya di Malaysia.
Hidup yang dimamah usia menyebabkan Ramlan mengalami masalah penglihatan dan selang beberapa bulan, dia menjadi buta. Ketika bercerita tentang hal ini, air mata jernihnya sudah bergenang.
“Bila buta, kita sudah tiada arah. Saya tumpang berteduh di sebuah masjid di Melaka selama lapan bulan dan akhirnya pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ambil saya dan tempatkan saya di Rumah Seri Kenangan Cheng dan kemudian di sini,” luahnya.
Rindu keluarga
Lelaki berusia 71 tahun yang senang berbahasa Inggeris itu menambah, tahun ini merupakan kali kedua dia menyambut Ramadan di rumah kebajikan tersebut.
“Biasa-biasa saja di sini, tiada sebarang persiapan. Semua kat sini senasib. Saya dah buta, jika awak tanya aktiviti saya dalam bulan puasa, apalah sangat saya boleh lakukan. Bangun tidur, solat, tidur, makan, itu saja yang saya terdaya,” luahnya.
Di sebalik kepasrahan itu, Jazlan dengan nada perlahan berkata, setiap hari dia berharap akan muncul wajah-wajah kesayangan isteri dan dua anaknya itu di pintu masuk asrama RSK.
“Rasa macam nak duduk rumah bila raya, saya rindu keluarga. Teringin nak rasa rendang Chengkau. Tapi tak tahulah, mungkin ia angan-angan saja. Doakanlah untuk saya,” pintanya.
Lelaki tua yang sudah tidak bermaya itu berdiri, menyambut penulis dengan linangan air mata. Katanya, alangkah bahagianya jikalau orang yang berdiri di hadapannya adalah anak perempuannya.
Menatap wajah Jazlan yang penuh kedutan, penulis mengerti kecamuk di hatinya. “Anak saya lempar saya ke sini sebab dia kata dia banyak kerja nak buat,” katanya yang mempunyai lapan orang dan beberapa orang cucu.
Tuturnya perlahan, dia rindu untuk bertarawih ketika di bulan puasa.
“Tapi sedihnya sekarang, saya tak sempurna lagi. Nak bangun pun susah, saya ada penyakit jantung, buah pinggang, gastrik, darah tinggi dan gout. Solat pun dengan cara duduk,” ujar Jazlan, 81, yang menjadi penghuni RSK Seremban pada tahun lalu.
Penulis tertanya juga di dalam hati, bagaimanakah dia meneruskan hidup tanpa orang tersayang di sisinya dan apakah perasaannya tatkala mendengar gema takbir raya?
Tatkala umat Islam lain sibuk membuat persiapan raya termasuk membeli pakaian baru, siapakah pula yang akan menyediakan baju raya buatnya?
Apabila topik berkisar tentang Ramadan dan Syawal, bicara kami banyak terhenti. Barangkali terlalu berat untuk dikongsikannya.
Ayatnya tersekat-sekat, air matanya tidak putus-putus mengalir, dia sedang berperang dengan perasaannya. Emosinya begitu meruntun naluri saya.
Cuma dia sempat berkata: “Ramadan ini, saya tak rindu pada mereka. Tidak. Mereka tak ingat kita pun, kalau ingat tentu mereka datang.”
Penulis cuba memadam rajuknya dengan memintanya berkongsi kenangan raya. Namun dia hanya mengucapkan: “Saya lemah tanpa kasih sayang anak dan isteri dan ketika berada di rumah ini. Saya sedar bahawa saya sudah tak bisa memiliki kasih sayang mereka lagi. Raya sudah tak mendatangkan apa makna, mungkin sehingga ke hujung nyawa saya.
“Namun, izinkanlah saya berdoa untuk kebahagian anak-anak saya,” katanya sambil mengangkat kedua-dua belah tangan berdoa.
Derita strok
Senasib dengan Ramlan dan Jazlan ialah Alias, 50-an. Alias ketika ditemui sedang membimbit dua bekas bubur lambuk. Katanya, bekalan itu untuk sahur nanti.
Rupa-rupanya, tahun ini merupakan pengalaman yang pastinya menyedihkan apabila buat pertama kalinya dia berpuasa dan menyambut Aidilfitri di sini.
Takdir begitu mencabar kehidupan Alias yang merupakan bekas jurugambar. Dia bukan saja mengalami strok tapi mata kirinya buta.
Penganiayaan anaknya begitu kejam. Tujuh bulan merana di atas katil akibat strok dan tidak langsung dipedulikan anak-anaknya yang satu ketika dulu dibelai penuh kasih dan sayang.
Sesungguhnya, Allah masih mengasihani dirinya. Alias diselamatkan oleh ketua kampung yang menjumpainya dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan. Demi kebaikannya, Alias dibawa terus ke RSK Seremban untuk mendapatkan perlindungan.
“Terlambat untuk saya persalahkan sesiapa kerana pada masa muda, saya asyik fikirkan kerja dan abaikan anak-anak dan inilah hukuman yang saya dapat,” katanya yang tertawa dalam tangisan. Ketika berbual dengannya, dia jelas sedang dicengkam gelisah.
Alias menyambung: “Dik, lima anak saya tak tahu yang saya ditempatkan di sini. Saya keluar rumah sendirian suatu masa dulu kerana tak tahan menanggung sakit dan kemudian dijumpai orang. Ujian ini hebat sangat.
“Tentang puasa, saya masih terdaya melakukannya. Sebenarnya saya sudah puasa 15 hari lebih awal. Kalau bertanya bagaimana saya menyambut raya, saya tidak tahu,” beritahunya yang hanya dilawati oleh seorang saudaranya.
Penguasa RSK Seremban, Harunarrsheed Mohd. Ibrahim memberitahu penulis, kesihatan Alias sudah jauh berbeza. Dulu dia tidak mampu berjalan, namun setelah diberi rawatan di rumah kebajikan tersebut, dia sudah mampu berbuat demikian.
Alias menghela nafasnya. Ujarnya, hatinya mudah terusik ketika bulan Ramadan. Biarpun satu ketika dulu, dia jarang meluangkan masa untuk berbuka dengan familinya, momen manis bersama keluarga tetap ada.
Namun, Alias tidak mampu meluahkannya dengan perkataan. Seperti Ramlan dan Jazlan, dia juga gagal mengawal tangisannya.
Jauh di sudut hatinya yang kecil, dia berharap anak-anaknya akan tahu bahawa bapa mereka sedang berteduh di rumah yang dihuni bapa-bapa malang.
“Saya harap mereka akan ambil saya untuk beraya bersama. Kepada anak-anak saya, abah mohon maaf terhadap apa yang abah lakukan suatu masa dulu,” ujarnya seperti sedang merawat luka yang terpendam
No comments:
Post a Comment