Pengawal keselamatan terkena tembakan meninggal dunia
KANGAR -- Seorang pengawal keselamatan, Zakaria Mat, 57, yang cedera parah akibat terkena peluru penabur daripada senapang patah milik rakan setugasnya, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini malam semalam.
Mangsa yang berasal dari Mata Ayer dekat sini, menghembuskan nafas terakhir pukul 11.18 malam di sisi isteri serta enam anak berusia antara 6 dan 24 tahun, setelah lebih 24 jam tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari pada Khamis lepas, mangsa cedera parah di bahagian perut dan pinggang setelah terkena 11 butir peluru penabur akibat senapang patah yang meletup secara tiba-tiba dalam van sebuah syarikat keselamatan.
Isteri Allahyarham, Azizul Man, 52, berkata ketika kejadian beliau berada di rumah dan segera ke HTF setelah dimaklumkan oleh rakan sekerja Allahyarham kira-kira 2 petang.
Katanya suaminya berkhidmat sebagai pegawai keselamatan di syarikat berkenaan selama kira-kira tujuh tahun selepas bersara sebagai anggota tentera dan setakat ini, pihaknya belum bercadang mengambil tindakan undang-undang.
"Kakak mahu menguruskan urusan pengebumian arwah suami terlebih dahulu, dan buat masa sekarang tidak mahu memikirkan tentang perkara itu lagi," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Noordin ketika dihubungi berkata setakat ini, polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap mangsa. -- BERNAMA
1,000 berkumpul bantah Festival Busana Muslim
KUALA TERENGGANU – Seramai 1,000 penyokong Pas dan orang ramai hadir menyaksikan bantahan penganjuran Festival Busana Muslim di luar pekarangan Masjid Pengadang Baru, di sini, semalam.
Bantahan itu diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani yang diadakan sebaik saja selesai solat Jumaat turut menarik perhatian orang ramai yang lalu di kawasan itu.
Azman Shapawi ketika ditemui berkata, ia bertujuan membantah tindakan penganjuran festival yang dianggap menghina syariat Islam selain tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah yang terlibat dalam festival fesyen itu selaku penganjur.
“Pemuda Pas menentang sekeras-kerasnya kerana ia didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka menulis nama Nabi Muhammad dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.
Turut hadir Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Nor Hamzah dan Ketua Pemuda Pas Marang, Wan Mohd Zuki Wan Ismail.
Bantahan dianjurkan Pemuda Pas Terengganu dan dilakukan serentak di beberapa masjid di seluruh negara melalui penganjuran peringkat Pemuda Pas Pusat.
Selain di Masjid Pengadang Baru, bantahan turut diadakan di Masjid Batu Rakit diketuai Timbalan Ketua DPPNT, Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha DPPNT, Wan Mohd Faizul Wan Abas dan Yang Dipertua Pas Setiu, Mohd Fauzi Muda.
Pimpinan Pemuda Pas yang hadir menyampaikan ucapan selain laungan takbir yang turut disahut penyokong mereka.
Kedua-dua perhimpunan itu berlangsung kira-kira setengah jam dan orang ramai serta penyokong Pas beredar dalam keadaan aman
WASHINGTON - Laman sosial :Facebook: tidak akan membuat penggunanya bersedih lagi kerana ia tidak akan memaparkan gambar bekas kekasih pengguna laman itu menerusi aplikasi 'foto kenangan'.
Aplikasi foto kenangan kerap muncul pada sudut atas sebelah kanan laman sosial itu dengan memaparkan gambar-gambar pengguna bersama rakan.
Sekumpulan pengguna laman Facebook membantah aplikasi itu, tindakan yang mendapat perhatian daripada Pengurus Projek Foto Facebook, Sam Odio.
Odio berkata, album foto kenangan tidak akan menunjukkan gambar individu yang pernah mempunyai hubungan istimewa dengan pengguna laman sosial itu, maklumat yang boleh didapati melalui status hubungan pengguna
Mati tergantung
PADANG BUAL - Seorang remaja lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung pada bahagian anjung luar dapur rumahnya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, pagi semalam.
Mayat remaja berusia 17 tahun itu ditemui ibunya, kira-kira jam 6 pagi sebelum memaklumkan kepada suaminya, 48.
Bapa mangsa berkata, kali terakhir dia menemui anaknya malam kelmarin dan dia ketika itu tidak menunjukkan sebarang tingkah laku aneh.
“Kira-kira jam 8 malam kelmarin, dia makan nasi di rumah sebelum datang rakannya mengajak keluar. Selepas itu saya tidak pasti dia ke mana dan pulang jam berapa.
“Kira-kira jam 10.30 hingga 11 malam selepas saya anak beranak masuk tidur dan padam lampu, kami terdengar seperti bumbung rumah bergegar dan kami menyangkanya tikus,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Remaja itu, anak kelima daripada sembilan beradik bekerja di tapak projek Empangan Paya Peda di sini tidak mengalami sebarang masalah, malah agak rapat dengan ibunya.
Bapanya berkata, mayat anaknya hanya ditemui tergantung dalam keadaan lehernya terjerut dengan tali nilon ampaian di luar dapur rumah ibunya.
Mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkan kematian remaja tersebut tidak ada unsur jenayah.
Bedah siasat mendapati, mangsa meninggal dunia akibat lemas kerana jerutan pada lehernya.
No comments:
Post a Comment