Sunday, October 10, 2010

MAKSIAT DIMANA2

Bilik khas pilih DVD lucah


JOHOR BAHRU – Lebih 23,000 cakera padat digital (DVD) lucah selain pelbagai filem tempatan dan antarabangsa cetak rompak bernilai kira-kira RM130,000 dirampas di Pasar Borong Pandan, di sini, kelmarin.

Serbuan khas yang dijalankan pada jam 8.30 malam itu disertai sepasukan 34 pegawai dan anggota Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Johor bersama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) Wilayah Selatan.

Serbuan itu turut menahan pemilik tujuh premis dianggap sebagai lubuk menjual DVD haram tanpa perakuan B yang berdegil meneruskan perniagaan walaupun sudah empat kali diserbu kerana melakukan kesalahan sama.

Ketua Cawangan, Bahagian Kawalan Filem Johor, Mohd Nashuddin Daud berkata, ketika serbuan dijalankan penjual yang sedang leka melayan pelanggan sekali gus tidak sempat untuk melarikan diri.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan hasil maklumat orang awam yang diterima oleh pihaknya diikuti risikan sejak beberapa hari lalu untuk memastikan dakwaan berkenaan benar.

“Selain rampasan DVD kami juga menahan tujuh individu berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun disyaki sebagai pekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan.

“Pemilik juga menyediakan bilik khas kepada pelanggan yang ingin mencari DVD lucah sebagai taktik untuk mengeliru dan mengelakkan kegiatan itu daripada dihidu dengan mudah oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat KDN Cawangan Johor, Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini, semalam.

Mohd Nashuddin berkata, serbuan sama juga akan diteruskan dari masa ke semasa selaras de­ngan perancangan KDN Cawa­ngan Johor untuk membersihkan Johor Bahru daripada penjualan bahan lucah dan cetak rompak.

“Serbuan ini adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk menjalankan penguatkuasaan secara habis-habisan bagi membanteras kegiatan yang merugikan negara.

“Kami juga sudah mengenal pasti beberapa lagi lokasi di sekitar bandar raya menjadi pusat penjualan DVD lucah serta pelbagai lagi filem tanpa perakuan B,” katanya.

Selain itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjual DVD tanpa perakuan B dan Seksyen 5 Akta sama kerana menjual DVD lucah lucah.

“Jika didapati bersalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 18, individu berkenaan boleh didenda hingga RM30,000 atau tiga tahun penjara, manakala kesalahan me­ngikut Seksyen 5 boleh didenda hingga RM50,000 atau tiga tahun penjara,” katanya.

Justeru, Mohd Nashuddin berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan menghubungi talian 07-2269642 atau 07-2269643 bagi membantu membasmi penjualan cetak rompak haram.


Mayat bayi dihurung lalat


SHAH ALAM – Kemusykilan seorang pemuda tentang tanah yang ditimbus dan dihurung lalat, membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat dalam kejadian di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, berdekatan Sungai Klang, di sini, semalam.

Lebih memilukan, mayat berlumuran darah itu dibungkus dengan kain lampin dan dipercayai ditanam di kawasan itu sejak tiga hari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Harun Sungep, 25, berkata, ketika itu, dia ke tempat kejadian mencari daun keladi untuk dijadikan makanan itik peliharaannya.

“Saya duduk di bawah pokok sebelum melihat sekumpulan lalat menghurung tanah yang baru ditimbus. Timbul rasa hairan di hati sebelum saya mengambil keputusan untuk mengorek tanah itu.

“Beberapa minit selepas menggali, saya melihat kain putih berdarah dan terus menghubungi abang ipar sebelum dia ke sini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, selepas abang iparnya, Mazlan Endut, 43, tiba di lokasi, mereka cuba mengali lagi dan terkejut apabila melihat tangan bayi sebelum menghubungi polis memaklumkan penemuan itu.

“Rabu lalu, abang ipar saya sudah melihat timbunan tanah itu tetapi menyangka pemilik kebun sebelah menanam bangkai binatang bawah pokok ini kerana ada baru ditimbus.

“Dia ada beritahu saya, bagaimanapun kami tak ambil peduli. Tetapi tadi (semalam) selepas waktu kerja, saya terus ke sini untuk memberi makan kepada kambing dan itik yang dipelihara dan apabila ternampak lalat menghurung tanah itu, saya tergerak hati untuk menggali,” katanya.

Menurutnya, ini pertama kali berlaku sejak kebun berhampiran Sungai Klang diusahakan hampir enam tahun lalu dan sepanjang minggu ini, mereka tidak nampak kelibat individu yang mencurigakan berada sekitar kawasan itu kerana kebun itu jauh dari kawasan kediaman.

Sepasukan polis dari Unit Forensik ke lokasi kejadian mengumpul bukti kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin mengesahkan penemuan mayat bayi itu dan menurutnya siasatan sedang dijalankan.



Reman lima suspek disambung bantu siasatan seorang kontraktor hilang

KUALA LUMPUR - Tempoh tahanan r:eman lima: suspek berhubung kehilangan seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafiq Abdullah baru-baru ini disambung sehingga 15 Oktober ini.

:Polis mendapat perintah melanjutkan penahanan itu daripada Majistret Norhayati Ahmad Mansor di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil.

:Norhayati mengeluarkan perintah itu kira-kira jam 10.30 pagi bagi membantu siasatan kes kontraktor muda itu dilapor hilang bersama rakan niaga pada April lalu.

:Mereka direman itu juga adalah suspek dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang lain.

:Isteri Mohd Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani sebelum kes disiasat Balai Polis Petaling kerana suaminya hilang di ibu negara.

:Kehilangan Mohd Shafiq dipercayai berkaitan dengan suspek kes bunuh Sosilawati berdasarkan penemuan jam tangan bertali kulit berjenama Puma yang disahkan milik kontraktor itu.

:Terdahulu, Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadi, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

No comments:

Post a Comment