Friday, October 8, 2010

KITA MACAM LINDUNGI ORANG MEMBUAT JENAYAH...HUKUM ALLAH JALANKAN..JIKA SABIT DIPOTONG TANGAN...MAKA LEMAH PERGERAKAN SERTA MALU...NI JUGA BOLEH MENJADI PENGAJARAN KEPADA ORANG LAIN

Kulit tersiat diseret peragut

Oleh Hamizah Badiran
am@hmetro.com.my
2010/10/08  
KLANG: “Saya rasa kulit seperti tersiat-siat selepas diseret atas jalan. Peragut itu tak mahu mengalah dan tarik beg serta hampir mencekik leher saya,” kata mangsa ragut, Lim Peh Ching, 33.
SAKIT...Lin bersama aktivis masyarakat, Peter Tan (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
SAKIT...Lin bersama aktivis masyarakat, Peter Tan (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Dia yang juga guru tuisyen berkata, kejadian berlaku jam 3.45 petang, di Jalan Kasawari 4, Taman Eng Ann, di sini, Sabtu lalu, ketika dia berjalan berseorangan selepas pulang daripada membeli minyak di sebuah pam minyak tidak jauh dari situ berikutan kenderaannya kehabisan petrol.

Ketika itu seorang peragut yang menunggang motosikal dengan memakai topi keledar bertutup penuh tiba-tiba muncul dan menyambar beg tangannya menyebabkan dia jatuh tergolek di atas jalan tar.

Mangsa mendakwa diheret hampir 400 meter dan melepasi kira-kira 23 rumah teres di situ sebelum peragut terbabit melarikan beg tangannya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, wang tunai RM18 dan dua telefon bimbit.

Menceritakan kejadian, Lim mendakwa, ketika berjalan dia menyilang beg pada bahu bagi mengelakkan jenayah peragut.

“Ketika tarik-menarik beg itu tidak tanggal daripada badan saya menyebabkan tali beg hampir mencekik leher sebelum terlepas.

“Ketika itu saya terbayang wajah tiga anak dan mati,” kata yang luka hampir seluruh badan selain kaki terseliuh.

Berikutan itu, dia terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selama empat hari sebelum dibenarkan pulang kelmarin.
Lim mendakwa beberapa penduduk yang melihat kejadian itu cuba mengejar suspek terbabit, tetapi gagal sebelum menghantarnya ke klinik berhampiran.

Katanya, dia yang lemah dan luka masih berdarah pada badan pergi ke Balai Polis Bandar Baru Klang membuat laporan kejadian itu, namun kecewa kerana terpaksa menunggu lebih sejam sebelum dilayan.



Mati perut dirobek

Oleh Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my
2010/10/08
KOTA KINABALU: Seorang gadis berusia 14 tahun ditemui mati dengan sekurang-kurangnya lima kesan tikaman menggunakan tiga senjata tajam berbeza dalam kejadian pembunuhan kejam di Kampung Biah, Keningau, kelmarin.
Selain kesan tikaman, terdapat satu kesan luka besar pada perut mangsa yang ditemui terbaring berlumuran darah di rumahnya dipercayai dirobek dengan senjata tajam oleh penyerangnya dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.

Difahamkan, mangsa, Nassirah Jasto yang tidak bersekolah dan tinggal bersendirian di rumahnya ketika kejadian kerana ibunya keluar mengambil adiknya di sekolah kira-kira jam 12 tengah hari, manakala bapanya bekerja di sebuah kilang papan di Keningau.

Bagaimanapun, sekembalinya ibu mangsa yang berusia 30-an ke rumah kira-kira setengah jam kemudian dia mendapati anak gadisnya itu terlentang di dapur dengan keadaan berlumuran darah.

Wanita berkenaan kemudian berlari keluar rumah dalam keadaan panik untuk meminta tolong daripada jirannya supaya memaklumkan kejadian berkenaan kepada suaminya sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan anggota polis dikejarkan ke rumah mangsa untuk siasatan lanjut

Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis menemui remaja perempuan itu terlentang dengan satu kesan tikaman besar menggunakan senjata tajam dipercayai parang di perut mangsa, manakala beberapa kesan tikaman lain di badan dipercayai menggunakan gunting dan pisau.

“Mangsa ditemui lengkap memakai seluar serta kemeja dan sepasukan anggota unit forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Zahari berkata, hasil siasatan awal pihaknya menemui beberapa senjata yang digunakan suspek iaitu sebilah parang, pisau dan gunting di tepi mayat mangsa.

“Selepas beberapa jam menjalankan siasatan, kami menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada kira-kira jam 5 petang pada hari sama dipercayai dapat membantu siasatan lanjut.

“Suspek yang juga jiran mangsa ditahan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian dan polis sudah mendapat perintah reman untuk menahannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana keadaan rumahnya menunjukkan tiada kesan diusik dan semua dalam keadaan baik.

“Hasil siasatan awal juga pihak polis percayai pembunuhan itu bermotifkan dendam atau cemburu. Bagaimanapun kami masih menjalankan siasatan,” katanya.

Zahari berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis Keningau di talian 087-332222 bagi membantu siasatan.


Hanya sah di Songkhla

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
2010/10/08

SONGKHLA (Selatan Thailand): Pernikahan pasangan luar terutama rakyat Malaysia di Songkhla tidak akan diiktiraf jika menggunakan khidmat sindiket ‘nikah ekspres’ atau jurunikah tidak bertauliah kerana Majlis Agama Islam wilayah Songkhla (Mais) sudah mengeluarkan arahan hanya pejabatnya di sini, sebagai tempat pernikahan yang sah berkuat kuasa 16 September lalu.
Berikutan itu, pasangan yang bernikah selain daripada di pejabat Mais di Jalan Klonghaedi di sini, dianggap tidak sah.
Yang Dipertua Mais, Zakaria Saleh berkata, peraturan baru itu dikeluarkan kerajaan Thailand berikutan banyak aduan mengenai kekeliruan serta pemalsuan sijil nikah.

“Selepas ini, pasangan yang bernikah selain daripada di pejabat Mais, tidak sah dan tidak diiktiraf kerana hanya kami mengeluarkan sijil nikah sah dan asli.

“Kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada pasangan yang tidak berpuas hati apabila mendapati sijil nikah mereka palsu kerana mereka bernikah menggunakan sindiket atau jurunikah tidak bertauliah,” katanya ditemui di sini, kelmarin.

Menerusi peraturan baru itu, semua pasangan luar yang mahu bernikah di Thailand tidak lagi dibenarkan melakukannya di daerah lain di selatan negara itu seperti Padang Besar, Danok, Patani, Sadao dan Narathiwat supaya pernikahan itu diiktiraf dan didaftarkan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla.

Zakaria berkata, terdapat 30 jurunikah bertauliah Mais yang menjalankan tugas mereka di pejabat Mais setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 4 petang.

Menurutnya, jurunikah yang menikahkan pasangan di luar pejabat Mais akan dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat dan mengingatkan pihaknya serius mengendalikan isu pernikahan ini.

“Kami mendapati banyak masalah berlaku sebelum ini kerana tiada sistem sistematik menyebabkan banyak pihak keliru hingga ada pasangan terperangkap dengan sindiket pernikahan palsu.

“Sebelum ini ada pasangan datang untuk melaporkan perkahwinan mereka tetapi menghadapi masalah kerana sijil nikah palsu dan tidak diperakui Mais selain menyebabkan banyak kerumitan kerana kami terpaksa membuat siasatan kesahihan pernikahan mereka sebelum ia didaftarkan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla,” katanya.

Selain itu, pasangan yang tidak cukup syarat bermastautin dalam jarak sekurang-kurangnya 90 kilometer (km) dari masjid Mais diwajibkan berurusan dengan Mais yang akan menentukan lokasi lebih sesuai bagi melangsungkan pernikahan.
“Hanya 30 jurunikah bertauliah dibenarkan menikahkan pasangan di masjid Mais. Jika ingkar, mereka akan dipecat serta-merta.

“Bagi pasangan yang tidak cukup syarat iaitu tinggal tidak sampai 90 kilometer dari sini, diwajibkan berurusan dengan Mais dan kami akan menetapkan lokasi sesuai sebelum menikahkan mereka,” katanya.

Menurut Zakaria, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menikahkan pasangan sebaliknya meneliti dokumen pasangan kerana sijil nikah perlu diserah kepada konsulat Malaysia di Songkhla untuk pengesahan.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, antara Januari hingga Mei lalu, pihaknya menerima 1,321 permohonan rakyat Malaysia yang berkahwin di situ.

“Daripada jumlah itu, rakyat Malaysia yang berkahwin sesama warganegara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18) dan Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).

“Tahun lalu, kami menerima 2,172 pengesahan pernikahan, 2008 (2,342 permohonan); 2007 (1,944); 2006 (845); 2005 (314); 2004 (55); 2003 (98); 2002 (67) dan 2001 (73)



Sempat layari Facebook sebelum meninggal



2010/10/08

KANGAR: “Mungkin hasrat suami mahu rumahyang baru dibina ditukar hak milik kepada saya dua hari lalu petanda beliau akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Siti Armah Samsuddin, 52, isteri pelakon, Abu Bakar Ariffin yang meninggal dunia kelmarin.
Beliau berkata, suaminya berehat seketika daripada menjadi pelakon, memang menyukai rumah batu setingkat itu yang dibina dengan bantuan empat anaknya berusia 23 hingga 29 tahun dan mula diduduki penghujung tahun lalu.
Siti Armah yang ditemui semalam berkata, beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin, Abu Bakar sempat melayari lama sosial Facebook untuk menghubungi rakan-rakannya di Kuala Lumpur.

“Pagi semalam (kelmarin), suami kelihatan ceria dan berbasikal ke pusat perkelahan di Sungai Batu Pahat serta sempat melayari Facebook beberapa jam sebelum meninggal dunia,” katanya yang ditemui di Kampung Padang Melangit, Bintong, dekat sini. Jenazah Abu Bakar yang meninggal dunia kira-kira jam 11.30 tengah malam kelmarin, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Padang Melangit, dekat sini, semalam.

Abu Bakar, 58, pernah membintangi beberapa filem pada 1980-an, seperti ‘Jiwa Remaja’, ‘Cinta dan Lagu’ dan ‘Antara Hitam dan Putih’ bersama Datuk Yusof Haslam serta puluhan drama, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan isterinya, Siti Armah di rumah mereka di kampung berkenaan.

Siti Armah berkata, suaminya secara tiba-tiba mengadu sesak nafas ketika berada di ruang tamu rumah dan beliau memanggil jiran untuk pertolongan.

“Saya cuba membantu dengan mengurut dan memicit badan suami tetapi takdir sudah menentukan dia meninggalkan kami buat selama-lamanya di pangkuan saya sebelum sempat dibawa ke hospital,” katanya.

Abu Bakar mengambil keputusan menetap di kampung asalnya di Perlis selepas bersara sebagai Pegawai Sumber Manusia di Syarikat Apson Toyocom Corporation di Seri Damansara, Kuala Lumpur, sejak Disember tahun lalu

No comments:

Post a Comment