ALOR SETAR - Seorang bekas staf sarjan tentera udara terlepas daripada tuduhan membunuh isterinya tiga tahun lalu setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, tertuduh, G Renganathan,45, mengalami gangguan mental dan perkara itu disahkan oleh pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr Rabaiah Mohd Salleh.
Mohd Zaki bagaimanapun memerintahkan Renganathan ditahan di Hospital Bahagia di Perak selama perkenan Sultan Kedah.
Menurutnya, berdasarkan laporan perubatan dan keterangan Dr Rabaiah, lelaki itu tidak menyedari dirinya melakukan pembunuhan itu.
“Walaupun mahkamah mendapati tertuduh melakukan pembunuhan tersebut, namun seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan, dia telah membunuh tanpa sedar.
“Justeru, dia akan dihantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan, Perak,” katanya.
Reganathan didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3.30 pagi dan 4.30 pagi di rumah mereka yang beralamat 963A, Lorong 19, di Taman Seri Bayu, Sungai Lalang, Bedong pada 29 Mei 2007.
Isterinya, A Sumathi ditemui mati akibat dikelar di leher, ditetak di dahi dan ditikam di perut dipercayai selepas berselisih faham dengan tertuduh.
Mayat mangsa ditemui terlentang di ruang tamu rumahnya setelah suspek sendiri menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
Renganathan diwakili peguam M Chandaran manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norsyuhada Mohd Yatim.
KOTA TINGGI – Malang bagi hampir 2,000 penduduk Felcra Sungai Ara di sini yang masih terpaksa menjalani kehidupan seperti zaman sebelum merdeka.
Masalah air yang masih membelenggu penduduk di sini sejak 20 hari lalu menyebabkan mereka berasa sangat terbeban dalam menjalani kehidupan harian terutama golongan ibu yang perlu menyelesaikan tanggungjawab membersih dan menyediakan makanan kepada isi rumah.
Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan gangguan bekalan air selama seminggu dan rungutan penduduk di sini namun masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan.
Seorang suri rumah, Bedah Karson, 55, berkata, dia berasa sangat penat kerana aktiviti membasuh pakaian mahupun pinggan-mangkuk kotor terpaksa dilakukan walaupun kuantiti air yang tidak mencukupi di rumahnya.
“Dalam rumah saya ada enam orang kesemuanya jadi banyak pinggan-mangkuk dan baju kotor yang perlu dibersihkan, dan saya terpaksa mengambil inisiatif lain dengan menggunakan punca air dari parit yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah.
“Mujurlah anak saya meletakkan beberapa bungkus pasir di dalam parit dapatlah saya membasuh baju dan mandi setiap hari bersama anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kekurangan air menyebabkan anaknya tidak dapat mandi pada waktu pagi untuk ke sekolah dan hanya boleh membasuh muka dan menggosok gigi
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pihak pentadbiran sekolah di daerah Muar, Johor untuk menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya di daerah itu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan situasi jerebu yang berlaku memberi kesan buruk kepada kesihatan pelajar.
“Kalau ia sudah sampai tahap bahaya, maka pihak pentadbiran, pengetua atau guru besar sekolah boleh mengambil langkah untuk menutup sekolah untuk sementara.
“Itu kalau sudah mencecah (bacaan IPU) 400, sudah dianggap bahaya, maka mestilah ditutup, sehingga situasinya bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Majlis Keselamatan Negara berhubung situasi jerebu di Muar, di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini semalam.
Masalah jerebu di daerah Muar yang berlarutan sejak beberapa hari lepas bertambah serius apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu pada 11 pagi tadi mencecah tahap 432, iaitu dalam kategori bahaya.
Bagaimanapun, bacaan IPU di stesen-stesen pemantauan kualiti udara di tempat-tempat lain setakat ini berada pada tahap baik dan sederhana.
Muhyiddin berkata walaupun bacaan IPU menurun bawah paras 300, sekolah di daerah berkenaan masih dinasihatkan untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti kokurikulum di luar kelas.
Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menghantar 10,000 unit penutup mulut dan hidung ke daerah Muar hari ini untuk diagihkan kepada penduduk terutama ke sekolah-sekolah.
Selain itu, bekalan air mineral juga akan dihantar untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih.
Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat bagi memantau dan mengawal keadaan jerebu selain menggerakkan semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah yang terbabit.
“Langkah yang pertama adalah untuk memaklumkan kepada penduduk daerah Muar, maklumat ini kita kena maklumkan supaya langkah-langkah untuk mengawal kesihatan ini diambil oleh penduduk yang berada di daerah Muar terutama tentang pemakaian topeng mulut,” katanya.
Sementara itu, katanya Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Unggah Embas juga berhubung dengan rakan sejawatnya dari Indonesia untuk memohon kerjasama bagi mencari penyelesaian bersama berhubung perkara itu.
Menurutnya Malaysia juga bersedia untuk menyediakan sebarang bentuk bantuan termasuk bantuan logistik bagi memastikan keadaan itu tidak terus berlarutan.
“Menurut laporan yang kita terima, ia (jerebu) berpunca dari sana (Indonesia), ini bukan kita mahu buat tuduhan tapi kita mahu langkah diambil sebelum merebak dan memberi kesan lebih buruk kepada Malaysia,” kata Muhyiddin. - Bernama
KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan perbankan mudah alih tanpa akses Internet pertama di Malaysia, sekali gus menjadikannya sebagai bank pertama yang menawarkan perkhidmatan mudah alih sepenuhnya.
Melalui Transact at Palm atau TAP Mobile Banking-i, pemegang akaun kini boleh menjalankan sebarang transaksi perbankan pada bila-bila masa saja tanpa memerlukan akses Internet.
Pengarah Urusannya, Datuk Sri Zukri Samat berkata, produk ini dapat memberi kemudahan kepada pelanggan tanpa perlu beratur panjang di kaunter malah segala urusan kini boleh dilakukan pada masa lapang dalam keadaan lebih selesa.
“Produk ini adalah produk inovasi oleh kumpulan Bank Islam untuk memenuhi gaya hidup masa kini. Ia adalah perkhidmatan perbankan mudah dan pelanggan boleh melakukan sebarang transaksi perbankan di mana sahaja tidak kira masa,” katanya di majlis pelancaran perbankan mudah alih i-TAP di Kuala Lumpur, semalam.
TAP Mobile Banking-i adalah pendekatan mudah dan ringkas kerana beroperasi menerusi cip mengandungi menu aplikasi perbankan yang direka khas bagi membolehkan pelanggan menjalankan transaksi tanpa perlu memuat turut sebarang aplikasi internet.
Untuk mengaktifkan TAP Mobile Banking-i, pelanggan perlu mempunyai akaun Bank Islam, seterusnya melekatkan cip khas yang di usaha sama oleh bank ke kad sim telefon bimbit dan apabila cip dilekatkan, transaksi boleh terus dijalankan.
Bagi fasa permulaan ini, perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pembayaran bil, pengisian semula prabayar untuk masa berbual, interbank GIRO (antara bank), intrabank (pemindahan dana), pertanyaan baki dan amaran sms.
No comments:
Post a Comment