Friday, October 22, 2010

LOK SEGALA PERISTIWA NI JADI IKTIBAR DAN MUHASABAH DIRI....MUNGKIN PERINGATAN DARI ALLAH SWT....

Van polis terbakar

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Ahmad Ismail

TERSADAI...treler minyak sawit  yang bergesel dengan van polis, semalam.
TERSADAI...treler minyak sawit yang bergesel dengan van polis, semalam.
SEGAMAT: “Kami panik melihat van yang dinaiki tiba-tiba terbakar selepas bergesel dengan lori. Saya berusaha menyelamatkan rakan yang terbakar dan pada masa sama, perlu menyelamatkan yang lain termasuk seorang orang kena tuduh (OKT),” kata Lans Koperal Shuaib Borhan, 45.
Shuaib cedera ringan di tangan manakala rakannya yang duduk bersebelahan dalam van berkenaan, Koperal Mat Kamarul Rosli Nordin, 46, melecur tahap satu di sebahagian besar badannya termasuk tangan dan dada.

Van dinaiki Shuaib, Mat Kamarul serta seorang OKT yang menghadapi tuduhan membabitkan kes dadah itu dipandu Lans Koperal Badaruddin Hashim, 26, bergesel dengan lori sebelum terbakar di Kilometer 63, dekat Jalan Muar-Segamat, di sini, semalam

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, Shuib berkata, mereka dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Segamat membawa OKT terbabit untuk perbicaraannya


“Namun, setiba di satu selekoh, Badaruddin cuba memintas lori tapi tidak berjaya menyebabkan kenderaan yang kami naiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar,” katanya ditemui selepas menerima rawatan pesakit luar di Hospital Segamat, semalam.

Menurut Shuaib, mereka tergamam apabila van merempuh pembahagi jalan dan bertambah panik apabila kenderaan itu terbakar.

“Apabila api makin marak, kami bertambah panik dan cuba menyelamatkan diri. OKT yang berada di tempat duduk belakang van turut berusaha menyelamatkan rakan saya yang cedera ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, Shuaib bersyukur kerana dia bersama Badaruddin dan OKT hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa yang cedera ringan itu dibenarkan pulang termasuk OKT, namun Mat Kamarul masih menerima rawatan di Hospital Segamat (HS), di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, Mat Kamarul melecur lebih 30 peratus bahagian badannya kini dalam keadaan stabil. OKT yang berusia 49 tahun turut menerima rawatan kerana melecur di tangan kanan dan kaki kiri.

Abdul Majid berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis berkenaan membawa suspek kes dadah yang sebelum ini menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Muar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, tetapi kes itu dipinda kepada Sesyen 39A akta sama, menyebabkan suspek dibawa semula ke Mahkamah Sesyen Segamat untuk perbicaraan lanjut kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapati van polis cuba memotong treler yang membawa muatan minyak sawit tetapi tidak berjaya menyebabkan kenderaan itu bergesel dengan lori berkenaan,” katanya



'Mimpi ngeri berakhir'

Oleh Hayati Ibrahim

SYUKUR...Shafika dicium ibu dan bapanya sebaik tiba di LCCT, malam tadi.
SYUKUR...Shafika dicium ibu dan bapanya sebaik tiba di LCCT, malam tadi.
SEPANG: “Syukur Alhamdulillah, mimpi ngeri sudah berakhir, lupakan segala yang berlalu, saya nak Shafika sambung belajar selepas ini,” kata Mazanah Abdul Latif, 38, ibu remaja perempuan yang dilarikan teman lelakinya ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia, 4 September lalu.
Mazanah berkata, keluarga dan penduduk kampung akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kepulangan anak sulungnya selepas lebih sebulan berada di pulau berkenaan.

“Kami sekeluarga tidak pernah marah pada Shafika dan kami amat berterima kasih pada Kelab Putera 1Malaysia serta Umno Baling yang membantu membawa pulang Shafika ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui ketika menyambut ketibaan ShafikaMarlina Mohd Safiee, 16, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, malam tadi

Sementara itu, Shafika Marlina yang tiba dari Surabaya, Indonesia, kira-kira jam 9.46 malam tadi meluru dan memeluk ibu bapanya, Mohd Safiee Sardi, 43 dan Mazanah yang mengharungi perjalanan lebih 100 kilometer dari Teluk Intan, Perak, semata-mata menyambut anak kesayangan mereka

Dia juga memeluk dua adiknya iaitu Mohd Shafiq, 13 dan Mohd Syamil Ikmal, 7, sambil menangis tanpa menghiraukan orang ramai di sekelilingnya.

Bagaimanapun, tangisannya reda apabila ditenangkan ibu bapa serta Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang hadir menyambut kepulangannya.

Ketika ditemubual, remaja itu mengakui menyesal kerana terlalu mengikut kata hati dengan mengikut teman lelakinya ke Lombok sehingga membelakangkan keluarga.

“Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga tanpa izin,” katanya.

Kepulangan remaja itu diiringi Setiausaha Agung kelab, Abdul Khalid Chairul yang diberi tanggungjawab oleh kelab berkenaan untuk membawa pulang gadis itu ke tanah air.

Shafika Marlina dilaporkan hilang 4 September lalu selepas dihantar ayahnya di depan sebuah bank di Bandar Baru Teluk Intan, Perak, kira-kira jam 9.15 pagi untuk membayar bil telefon.

Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah sebelum kehilangannya disedari kira-kira jam 9 malam pada hari sama, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu, kemudian membuat panggilan kepada bapanya lima hari kemudian memaklumkan dia berada di Lombok bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya dikenali sebagai ‘Misbah’, 20 yang bekerja di sebuah ladang getah di Ladang Rubana di Perak.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kisah Shafika perlu dijadikan iktibar remaja lain supaya tidak mudah termakan pujukan orang asing.

No comments:

Post a Comment