Skim cepat kaya, seorang lelaki ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 30-an telah ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini, awal pagi ini.
Pengarah Kanannya Shahrudin Hamzah berkata, dalam serbuan ke atas premis itu pada pukul 10.30 malam tadi, seramai 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan.
"Serbuan tersebut dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai.
Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim tersebut. Kita turut menyita beberapa buah laptop dan berpuluh kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dilokasi kejadian awal pagi ini setelah menamatkan operasi tersebut.
Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.
Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya, kata Shahrudin.
Shahrudin berkata, anggota skim ini turut ke negeri-negeri lain termasuk di Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.
Katanya, siasatan awal mendapati skim yang berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen sebuah syarikat lain.
"Kita akan siasat perkara ini dan jika itu berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.
Katanya, individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993
Wanita terkejut suami ditembak
PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut selepas melihat suaminya terbaring di depan pagar berlumuran darah sementara seorang anggota polis berdiri di: sampingnya, sebaik pulang dari tempat kerja, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.
Seperti lagak dalam drama, suaminya yang ketika itu masih sedarkan diri menunjukkan dan berkata bahawa bahagian belakang pinggangnya cedera parah terkena tembakan.
Wanita terbabit yang enggan namanya disiarkan tidak menyangka hasrat suaminya yang ingin keluar menjala ikan berakhir dengan tragedi ditembak kerana dikatakan melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, suaminya yang ketika itu menunggang motosikal bersama beberapa rakan, melarikan diri daripada ditahan kerana tidak memakai topi keledar dan hanya mempunyai lesen L serta cukai jalan tamat tempoh.
“Ketika saya pulang makan tengah hari di rumah, suami ada memberitahu dia ingin keluar menjala ikan bersama rakan dan saya pergi semula ke tempat kerja memandu kereta sendiri.
“Betapa terkejutnya saya sebaik pulang dari tempat kerja apabila melihat suami terbaring berlumuran darah di depan mata kerana ditembak seperti lagak dalam drama yang ditonton di televisyen,” katanya, semalam.
Dia yang masih bersedih dengan tragedi yang menimpa suaminya, bimbang dengan masa depan empat anaknya yang masih kecil kerana keadaan suaminya yang dirawat di hospital masih belum stabil serta belum sedarkan diri.
Wanita itu juga mempertikaikan kenapa suaminya ditembak, sedangkan banyak cara lain boleh digunakan untuk menangkap suaminya jika benar dia melarikan diri kerana ketakutan kerana melakukan kesalahan jalan raya.
“Saya tidak berpuas hati kerana suami saya ditembak seperti penjenayah bahaya, sedangkan dia cuma melarikan diri kerana menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar dan cukai jalan mati serta hanya ada lesen L.
“Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada suami kerana anak kami empat orang masih kecil dan perlukan kasih sayang ayah; saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika apa-apa berlaku kepada suami saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, perkara itu akan disiasat secara terperinci.
Namun beliau enggan mengulas lanjut
Bencana 'berkembar' melanda Indonesia
YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.
Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan ’penjaga’ gunung, Mbah Maridjan.
Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.
Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.
Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.
Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.
Azman, Haleeda sepakat selesai isu nafkah anak
GOMBAK – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan, 39, menarik nafas lega setelah hakim meluluskan permohonan menarik balik kes tuntutan kelewatan berhubung nafkah anak yang dibuat bekas isterinya, Haleeda, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.
Penyanyi dan pelakon, Haleeda dan Azman bersetuju menyelesaikan tuntutan nafkah anak mereka secara baik di luar mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan kepada Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad oleh Peguam Syarie, Mahyuddin Md Zahari.
“Saya telah diberitahu oleh Haleeda bahawa dia ingin menyelesaikan kes secara baik dan mahu menarik semula permohonan tuntutan yang dibuat dan memohon perintah asal supaya Azman membayar nafkah RM350 sebulan dikekalkan,” katanya.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Azman, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Wan Mahyuddin meluluskan permohonan untuk menarik semula kes dan mengingatkan Azman supaya menjelaskan bayaran seperti perintah yang direkodkan sebelum ini.
Azman yang hadir ke mahkamah bersama anaknya, Amira Amani, 15, enggan memberi komen mengenai penyelesaian itu.
Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin, 37, tidak hadir kali ini kerana mengalami sedikit masalah.
Haleeda dan Azman berkahwin pada 27 Januari 1995 dan bercerai talak satu pada 9 Oktober 2003.
Haleeda sebelum ini memfailkan permohonan untuk meminda nafkah anak berjumlah RM350 kepada RM500 sebulan.
Dia juga pernah mengemukakan notis tunjuk sebab kepada Azman kerana didakwa gagal membayar nafkah itu secara konsisten dari Januari 2009 hingga Mac lalu.
Azman telah berkahwin dengan Asfarina Muhamad, 35, atau lebih dikenali sebagai As Feminin, pada 14 Disember 2004 dan menjalankan perniagaan sendiri
Usah ragui kemampuan Rita
Bagaimana Rita memastikan diri bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang?
RITA: Jika diikutkan, saya sebenarnya masih muda dan banyak lagi yang perlu saya pelajari. Jadi, dari segi persiapan diri memang tiada. Saya Cuma meminta nasihat daripada peguam saya, staff yang sudah lama bekerja di bawah ibu saya. Jadi, daripada situ saya mula belajar satu persatu perkara walaupun memang pada peringkat permulaan saya telah menyandang jawatan ini bermula pada bulan Jun, tetapi apabila terjadi perkara ini (kematian ibu) semakin banyak perkara yang saya perlu belajar. Mungkin dulu saya tidak pegang 100 peratus syarikat ini, mungkin hanya 80 peratus sahaja manakala lagi 20 peratus saya tidak tahu. Jadi, dengan bertanya dan menghadapi sendiri perkara itu, saya dapat tahu bagaimana untuk berhadapan dan menguruskan perniagaan ini.
Bagaimana perasaan Rita sekarang?
RITA: Itu saya tidak boleh cakap tapi kalau ikutkan saya perlu cover lebih daripada 100 peratus. Saya perlu tahu dari segi undang-undang dan perkara-perkara yang saya tidak perlu tahu pun saya perlu ambil tahu. Lagipun, sekarang jika saya mahu buat sebarang keputusan pun bukannya boleh fikir sekali sahaja, mungkin saya perlu fikir tiga, empat kali dulu berkenaan baik buruknya sesuatu keputusan itu.
Apakah impian ibu yang Rita mahu realisasikan?
RITA: Mungkin Wisma Nouvelle yang terletak di Putrajaya itu. Saya mahu habiskan yang itu dahulu kerana ia memang merupakan impian ibu saya. Kalau boleh kita lancarkan selepas raya. Tetapi disebabkan saya mahu menghormati tahun ini, kita akan bermula pada tahun depan. Itu impian dia yang utama sebab itu adalah kejayaan dia yang dia betul-betul mahu realisasikan sebelum ini. Memang itu yang dia hendak. Jadi, saya akan teruskanlah impian itu.
Apakah tragedi yang berlaku merampas sebahagian kehidupan Rita?
RITA: Oh, memang mempengaruhi saya, 150 peratus rasanya. Saya tidak boleh lagi keluar seperti dahulu, nak tengok wayang pun susah, nak karaoke pun susah. Yelah, kita kalau boleh mahukan sesuatu yang boleh untuk melepaskan tekanan. Tetapi, secara jujurnya apa yang berlaku sekarang telah mengubah 100 peratus kehidupan saya. Sekarang jika saya nak keluar pun perlu ada bodyguard. Saya tidak suka, tetapi saya perlu, saya kena dan mesti lalui juga.
Bagaimana dengan adik-adik Rita, siapa yang menjaga mereka sekarang?
RITA: Saya yang menjadi ketua. Tetapi kami saling menjaga diri masing-masing kerana perbezaan usia antara kami adik-beradik pun selang setahun. Jadi kami lebih seperti kawan-kawan. Kalau rasa saya tidak dapat handle, adik saya di bawah akan bantu saya. Kita bahagi-bahagikan. Kalau semua perkara saya seorang hendak uruskan, memang saya tidak mampu.
Bagaimana ibu mendidik Rita dan bagaimana Rita belajar daripada Allahyarham untuk menyandang jawatan pengarah urusan?
RITA: Memang masa tu rasa dah berat pun ada. Tapi ketika itu, walaupun saya rasa berat saya fikir ibu saya masih ada. Apa-apa yang berlaku kepada saya, dia ada. Terus terang saya katakan, ibu saya melayan atau mendidik saya seperti staff dia. Dia memang sangat tegas, jika saya buat salah misalnya datang lewat pun kena marah juga. Di pejabat saya adalah pekerja. Jadi, dimarahi ibu itu adalah perkara biasa.
Bagaimana keadaan Rita apabila dimarahi?
RITA: Semestinya saya menangis. Sebab situasi berlainan apabila dia garang dengan staff dia. Kira kalau dengan ibu saya pun saya boleh menangis dan bersedih inikan pula bila ada orang mahu jatuhkan saya. Mesti saya semakin sedih. Ketika dimarahi sebolehnnya saya tidak mahu menangis atau bersedih, tetapi ketika dimarahi itu saya memang menangis di hadapan dia. Lepas itu dia cakap, “Kenapa perlu menangis? ini baru sikit.” Masa tu perasaan saya, kesabaran, daya ketahanan mental memang diuji.
Mungkin Rita dan ibu berbeza disebabkan pengalaman dan usia. Jadi bagaimana pekerja dan pesaing melihat keadaan itu?
RITA: Buat masa sekarang kita akan ada transformation untuk new corporate image. Jadi, Rita nak tekankan di sini, jangan pandang faktor usia Rita yang muda, Rita tidak tahu apa-apa. Rita pun merupakan graduan dari luar negara. Apa yang Rita belajar, Rita nak gunakan sekarang. Apa yang Rita tahu dari segi teori, Rita akan gunakan. Dari segi pengalaman memang Rita tak ada. Tapi, Rita akan belajar dengan orang yang lebih tua. Seperti rakan-rakan bisnes yang lain pun Rita rapat juga seperti De’ Wajah, Sendayu Tinggi. Kami sentiasa berhubung. Jadi, Rita rasa kita boleh belajar dengan bertanya, dari situ akan tahu kelemahan dan buat yang lebih baik.
Bolehkah Rita kongsi bersama apakah perancangan masa hadapan?
RITA: Buat masa sekarang ini saya tidak memikirkan lagi untuk mendirikan rumah tangga. Rita perlu kukuhkan apa yang Rita ada. Buat masa sekarang orang mahu lihat apa yang Rita mampu buat untuk tahun hadapan dan seterusnya. Pada tahun hadapan juga kita akan melakukan good promotion di bawah pengurusan saya. Untuk kehidupan peribadi itu, tunggu dulu.
Dengan status Rita sekarang, mungkin akan ada ramai lelaki yang akan menghimpit Rita?
RITA: Kalau sekadar kawan Rita tidak menolak, tetapi untuk ke tahap perhubungan yang serius itu tiada lagi buat waktu ini memandangkan ia bukanlah satu keutamaan buat Rita masa ini.
Sebelum ibu meninggal dunia, Apakah pesanan beliau berkaitan perniagaan yang Rita ingat sehingga sekarang?
RITA: Masa saya pegang jawatan itu, saya masih ingat sampai sekarang dia cakap, “Mak dah penat dah”. Dia cakap, “Kakak, this company is belong to you, naik turun company ini is you, mak dah tak nak pegang, kalau naik rezeki you, kalau turun, pandai-pandailah bagaimana nak uruskannya”. Masa tu Rita rasa sedih kenapa dia cakap macam tu dan dia kata dia nak fokus pada perkembangan dan dia serahkan 100 peratus kepada saya untuk menguruskan syarikat.
Di sebalik kejadian berlaku, apakah hikmah yang dapat Rita rasakan?
RITA: Hikmah yang Rita dapat, Rita dapat belajar dari segi menguruskan keluarga, menguruskan syarikat dan pekerja. Tambahan pula, pekerja-pekerja Rita bukannya muda-muda dan sebaya Rita. Rita belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripada Rita. Mungkin sebab ketua lebih muda. Tidak semestinya dengan menggunakan kemarahan itu kita boleh handle orang. Bagi Rita banyak lagi cara yang kita boleh tunjukkan bahawa kita adalah ketua. Rita lebih suka menggunakan pendekatan psikologi. Dari segi percakapan untuk menegur pekerja, kita tidak perlu menengking, itu yang lebih baik. Lagi satu, ketegasan itu perlu ada supaya dapat menjadi seorang ketua yang baik
JANGAN SEBAB CINTA MARUAH TERKORBAN...DAN TERUS BERGELUMANG DOSA DAN TAK MAU BERTAUBAT...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ لاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم
Wednesday, October 27, 2010
PATUHLAH HUKUM ALLAH....HARAM ITU JELAS....WAJIB JUGA JELAS....JANGAN DEGIL PADA ALLAH....JIKA HARAM JANGAN BUAT TAK TAHU PULA.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment