Monday, July 12, 2010

AWAS TEMAN2@FRIENDS DILAMAN2 SOSIAL.....

Kelentong jejaka sepi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/07/13

KUALA LUMPUR: Tidak perlu menuntut ilmu pengasih apabila seorang kasanova yang menggunakan nama samaran`jejaka kesepian’ hanya perlu mensasarkan golongan wanita berwajah kurang menarik tetapi kaya sebagai sasaran untuk dipikat sebelum harta mangsa dikikis sedikit demi sedikit.
Lelaki berusia 40-an terbabit didakwa bijak bermain psikologi selain gemar menggunakan himpunan cerita sedih meruntun jiwa yang sengaja dicipta untuk menagih simpati mangsa memberikan wang kepadanya Malah suspek dikatakan bijak menggunakan pendekatan agama dan isu ketuhanan untuk membuat mangsa jatuh hati dan percaya bahawa dia benar-benar ikhlas untuk menjalinkan persahabatan.
Namun segalanya terbongkar selepas suspek diberkas polis kerana dipercayai menipu enam gadis dan wanita tempatan selain meniduri kebanyakan gadis dikenali melalui Internet itu.

Dalam kes terbaru, seorang wanita yang juga ahli perniagaan barangan kulit turut tampil mendakwa menjadi mangsa suspek sama menyebabkan dia kerugian hampir RM300,000 selepas sembilan bulan berkenalan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Qi Qi, 34, berkata, dia mula mengenali lelaki penipu berkenaan yang berasal dari Singapura selepas berkenalan melalui laman sembang sosial di internet Ogos tahun lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit menggunakan nama sama ‘lonelyman 88’ mendakwa dirinya bujang dan bekerja pengurus di sebuah syarikat di republik berkenaan.

“Hasil perkenalan singkat itu, saya percaya dengannya apatah lagi lelaki itu sering berbicara soal agama dan kejujuran setiap kali berbual melalui telefon atau e-mel.

“Lelaki itu bersungguh-sungguh mahu bertemu saya di Pulau Pinang sebelum kami bertemu dua bulan selepas berkenalan. Ketika itu langsung tidak terdetik di hati saya, dia mempunyai rancangan jahat untuk menipu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, penipuan terancang itu bermula apabila lelaki berkenaan menagih simpatinya dengan mendakwa ibu tirinya dimasukkan ke wad kecemasan hospital selepas diserang sakit jantung.

“Dia mendakwa memerlukan wang bagi membiayai kos rawatan ibu tirinya itu yang didakwa akan diarah keluar dari hospital sekiranya gagal menjelaskan kos bayaran rawatan tertunggak.

“Selain itu, dia turut membuat cerita sedih kononnya tidak dibayar gaji majikan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan dia tidak mempunyai wang bagi membayar ansuran kereta, kad kredit serta memperbaharui cukai kenderaan,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam. Turut hadir Ketua Biro MCA, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, rentetan cerita sedih itu terus berlanjutan apabila suspek mendakwa bapa saudaranya mati selain dia sendiri terbabit kemalangan jalan raya pada 6 Februari lalu sebelum diisytiharkan muflis oleh bank.

“Semua kisah sedih diceritakan itu membuatkan saya simpati sebelum menghulurkan bantuan kewangan berulang kali melalui pindahan wang ke bank hingga mencecah kira-kira RM294,662.

“Namun, mula mengesyaki ditipu apabila lelaki terbabit memberikan alasan tidak logik setiap kali saya meluahkan hasrat melawat ibu tirinya di hospital.

“Susulan itu, saya membuat empat laporan polis termasuk dua laporan di Balai Polis Jurong, Singapura. Suspek ditahan polis Daerah Petaling Jaya baru-baru ini sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya



Ditinggal teman lelaki di China

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/07/15

KUALA LUMPUR: Demi cinta, seorang gadis Iban sanggup mengikut teman lelakinya yang juga warga Afrika ke China kononnya untuk menjalankan perniagaan walaupun mereka baru berkenaan melalui sebuah laman sosial.
Mangsa, Christina Anak Luke Niju, 22, dari Sandakan, Sabah dipercayai melarikan diri bersama lelaki terbabit yang dikenali sebagai James sejak awal Mei lalu.
Mangsa yang mesra dipanggil Cory yang juga seorang pelajar tahun akhir Diploma Perniagaan dari Politeknik Kuching, Sarawak, dipercayai dibawa lari ke China sebelum dikurung teman lelakinya itu berdasarkan satu pesanan e-mel yang dihantar mangsa kepada rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Ernie.

Ibu mangsa, Elpedia Metello, 53, tidak menolak kemungkinan anak gadisnya itu terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit kerana pernah mendengar beberapa kes seperti ini yang disiarkan media.

Menurutnya, mereka tidak pernah berselisih faham malah menyifatkan anak sulungnya daripada dua beradik itu seorang yang periang dan gemar melayari internet.

“Saya dan suami amat terkejut selepas mendapat tahu anak gadis saya sudah tidak pulang ke asramanya dan dimaklumkan kini berada China oleh rakan sebiliknya itu pada 2 Mei lalu. Sebelum melarikan diri, Cory ada menghubungi saya supaya mengirimkan surat beranak ke alamat asrama dengan alasan untuk pembelajarannya.

“Malah, anak saya juga pernah meminta wang untuk ke China kerana mahu mengikut rombongan kelasnya, namun saya tidak mengizinkan disebabkan keadaan kewangan yang tidak mencukupi,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Difahamkan, James yang berusia lingkungan 20-an mula berkenalan dengan mangsa sejak awal tahun ini melalui sebuah laman sosial dan dipercayai sering berkomunikasi melalui laman sembang berkenaan sehingga membawa kepada pertemuan di ibu kota.

“Menurut Ernie, Cory dipercayai menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur pada 24 April untuk berjumpa dengan teman lelakinya itu yang mengaku sebagai pelajar sebuah kolej swasta di Subang, Selangor.

“Cory juga memberitahu rakannya itu yang mereka akan ke China untuk mengikuti James bagi menjalankan perniagaan bersama-sama,” katanya.

Menurutnya, dia pernah menghubungi anak gadisnya itu beberapa kali selain mendapatkan maklumat daripada rakannya namun usahanya itu gagal.

Selepas menunggu hampir seminggu, pada 6 Mei lalu, dia dan suami kemudian membuat laporan di Balai Polis Sandakan berhubung kehilangan Cory dan turut memaklumkan Wisma Putra bagi membantu menjejaki gadis itu.

“Cory dikatakan menghubungi Ernie melalui e-mel pada 10 Mei lalu dan memberitahu dia ditinggalkan James di China dan tidak mempunyai wang untuk pulang ke tanah air.

“Dia turut memaklumkan yang James ada menerima sejumlah wang yang banyak daripada individu tidak dikenali sebelum meninggalkannya kepada seorang lelaki lain,” katanya.

Hasil maklumat itu, keluarga cuba menghubungi mangsa melalui e-mel diberikan namun gagal dan tidak dapat dikesan lagi hingga kini.

No comments:

Post a Comment