Belum ada cinta
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my
2010/06/27
shakilawati@hmetro.com.my
2010/06/27
JUE... belum bersedia buka ‘pintu’ untuk lelaki.
Biarpun beberapa kali didesak, gadis ini kekal dengan jawapan sama. Tegasnya, dia masih fobia dengan pengalaman lalu.
“Dari mana media tahu cerita ini? Sungguh, antara saya dan Amar tidak ada apa-apa, kami hanya kawan rapat. Ramai juga kawan-kawan artis yang rapat dengan saya termasuklah Aril AF. Kami selalu lepak sama-sama jika tidak ada aktiviti seni.
“Kalau bercinta pun tidak, macam mana pula boleh timbul cerita kami berpisah? Hairan sungguh. Takkanlah orang selalu nampak kami bersama, terus cop kami bercinta. Bagi saya tak salah berkawan atau keluar lepak ramai-ramai. Lagipun saya kerja teruk di lokasi, jadi sesekali perlukan sedikit ruang hiburkan hati dengan teman-teman.
“Kebetulan pula saya tidak ada masa untuk bercuti panjang, jadi apa yang mampu saya buat adalah keluar minum bersama rakan-rakan termasuklah Amar. “Barangkali orang nampak kami mesra dan bertepuk tampar, jadi mereka sangka kami bercinta. Jangan fikir bukan-bukan, kami berkawan baik bahkan hubungan kami sudah seperti adik-beradik. Kalau tak percaya, tanyalah Amar,” katanya sambil ketawa.
Begitupun, dia tidak menolak kemungkinan cerita itu sengaja direka mereka yang cemburu dengan peningkatan kerjayanya. Bukan mahu menuduh tetapi ada kebarangkalian kerana ia timbul tatkala wajahnya kerap muncul di kaca TV sedangkan ketika sepi beberapa ketika dulu, tidak ada pula sebarang isu dibangkitkan.
“Saya sudah lali dengan cerita kurang enak yang dilemparkan mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya jenis yang tidak mudah melatah dan malas ambil pusing. Katalah apa saja, apabila penat nanti mereka akan diam.
“Lagipun sudah lumrah gosip dan kontroversi adalah sebahagian daripada rencah hidup artis. Kalau nak ikutkan, memanglah sedih bila dikaitkan dengan cerita yang bukan-bukan apatah lagi saya mencari rezeki yang halal. Sebagai manusia, apa yang saya mampu buat hanyalah bersabar. Sepedih mana pun ia, kenalah terima dengan hati terbuka.
“Cuma, saya mengharapkan sedikit pengertian daripada teman media dan peminat. Saya juga manusia biasa yang ada naluri mahu berkawan. Takkanlah hanya kerana menjadi artis saya tidak boleh berkawan macam orang lain. Saya tahu apa yang saya buat dan paling penting keluarga percayakan saya,” katanya yang kini hangat dengan drama Janji Kekasih yang disiar di TV3.
Bercakap soal menamatkan zaman bujang, Jue berkata, dia tidak mahu terburu-buru malah tidak meletakkan sebarang perancangan. Gadis berwajah seksi ini percaya, takdir setiap insan sudah tertulis dan apabila sampai seru pasti dia melangkah ke jinjang pelamin.
“Saya bukan muda lagi, justeru itu perlu lebih berhati-hati dan serius dalam memilih pasangan hidup. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini belum bertemu lagi yang sesuai. Jadi, biarlah buat sementara waktu ini saya fokuskan sepenuh perhatian terhadap karier dan usaha mengumpul aset untuk kesenangan diri dan keluarga.
“Kalau bertemu yang berkenan di hati saya tak nak bercinta lama-lama. Dapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak, terus kahwin. Saya tidak kisah bakal suami nanti orang seni atau tidak tetapi jika bukan dalam industri lebih baik kerana lebih ‘privacy’,” kata Jue.
Beralih perihal kerjaya, dia bersyukur dengan rezeki yang diperoleh sepanjang tahun ini. Empat tahun bertapak dalam industri, Jue makin diterima bahkan saban hari ada saja tawaran baru menyusul.
Terbaru, gadis berusia 27 tahun ini baru selesai penggambaran telefilem Kasih Sejati, arahan Adam Hamid untuk tayangan TV3. Biarpun kekok menghidupkan watak remaja kampung berusia 19 tahun, pengalaman itu sangat menarik bahkan dia senang apabila tidak perlu bersolek tebal dan hanya perlu menyarungkan pakaian yang ringkas serta tidak keterlaluan.
Kami masih sebumbung
Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
imran@hmetro.com.my
2010/06/27
imran@hmetro.com.my
2010/06/27
“Mengapa tidak tanya pihak yang menyampaikan berita itu? Tanya mereka bagaimana mereka tergamak membuat kenyataan begitu dan dari mana mereka memperoleh bukti dan siapakah sumbernya?” tegasnya.
Jelas Rita lagi, dia juga sangsi apabila pihak terbabit yang menyampaikan berita itu menyatakan Aidil turut menjalin hubungan dengan wanita lain.
“Berita yang turut disiarkan menyebabkan Aidil terpaksa menjawab soalan tidak masuk akal daripada temannya. Sebaik berita tersiar, sewaktu pulang ke rumah wajahnya nampak sugul. Ternyata apabila ditanya, Aidil menjelaskan dia dihujani soalan yang menyebabkan dia berasa kurang senang,” katanya.
Jelas Rita lagi, suaminya yang juga ketua pasukan bola sepak negara bawah 23 tahun turut disindir rakan.
“Cerita Aidil pada saya, ada rakannya di Majlis Sukan Negara (MSN) menyindir dengan berkata patutlah dia selalu duduk di MSN, rupa-rupanya kami kononnya tidak lagi tinggal sebumbung.
“Masya-Allah, tergamak orang memfitnah kami sedemikian rupa. Hendak salahkan rakan Aidil pun tidak boleh kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Rita, mungkin orang membuat andaian mereka tidak sebumbung kerana pelakon yang kini popular dengan drama bersiri Nokhtah Erna itu sering pulang ke kampungnya di Kangar, Perlis.
“Kami kini mula sibuk dengan tugas masing-masing, Aidil jika bermain bola sepak untuk negara akan sering ke luar negara dan dalam waktu sama akan menetap di asrama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya pula kembali aktif berlakon. Jadi bagi memastikan keselamatan Aidit Rayyan, 11 bulan, saya menghantarnya tinggal bersama keluarga di kampung.
“Bukan tidak percaya pembantu rumah, tetapi dalam keadaan sekarang dengan pelbagai berita kurang menyenangkan membabitkan pembantu rumah menyebabkan saya dan Aidil mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantarnya ke kampung. Sekurang-kurangnya ibu saya boleh tengok-tengokkan Rayyan,” katanya.
Kata Rita lagi, apabila Aidil ke luar negara atau tinggal di FAM, dia akan pulang ke kampung berseorangan. Mungkin atas dasar itu ada yang melihat dan mula membuat andaian sedemikian rupa.
“Bagaimanapun, saya berasakan berita yang dihebohkan itu keterlaluan. Kalau iya pun, cuba tanya tuan punya badan dulu. Tidak baik mendakwa perkara buruk mengenai saya dan suami. Sepatutnya mereka mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang baru kami bina.
“Saya mengharapkan perkara seperti itu tidak lagi timbul. Saya dan Aidil bahagia. Rumah tangga kami masih seperti biasa dan tetap tinggal sebumbung.
“Diharapkan perkara ini tidak lagi ditimbulkan atau apa saja perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada rumah tangga kami,” katanya.
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Rita mula kembali beraksi menerusi menerusi telefilem Tiupan Sangkakala dan disiarkan menerusi TV3.
“Alhamdulillah, selepas berehat 18 bulan tawaran masih lagi banyak. Malah boleh dikatakan lebih banyak berbanding waktu saya solo hinggakan saya terpaksa menolaknya. Maklumlah saya sejak dulu tidak pernah mengambil banyak tawaran dan akan menumpukan kepada satu-satu kerja.
“Saya tidak berani menerima dua tiga tawaran sekali gus kerana tidak pandai hendak lari dari lokasi dan berkejar ke lokasi lain.
“Tawaran pula semua yang bagus-bagus, termasuk skrip, pengarahan dan pelakon yang digandingkan. Syukur, ini semua rezeki keluarga.
“Saya mengharapkan selepas ini kerjaya saya terus berkembang dengan baik dan dapat memberi lakonan bagus demi tatapan peminat,” katanya
Tak fikir soal kahwin
Oleh MURSHID EUNOS
murshid@hmetro.com.my
2010/06/27
murshid@hmetro.com.my
2010/06/27
Karakter bersahaja yang sememangnya melekat sebagai identiti gadis melewati usia 30 tahun ini tidak pernah berubah. Baik ketika masih bertugas sebagai buruh binaan di Skuad Perodua Era enam tahun lalu mahupun sekarang yang namanya jauh di kemuncak, Fara masih sama, gemar mengusik, tidak berhenti berbicara dan sentiasa merendah diri.
Meskipun berat hati ingin menyuap gadis kelahiran Petaling Jaya ini dengan persoalan klise - cinta, lelaki dan kahwin, namun bagi Fara, dia cukup masak dengan situasi sebegitu. Malah kata-katanya tersusun jelas menggambarkan betapa kerapnya dia berdepan peluru seperti itu.
"Pejam mata, tutup mulut pun rasanya gerak jiwa saya mampu menjawab soalan itu. Jujurnya saya tidak boleh berdolak-dalih atau cuba mengelak. Namun apakan daya, saya masih bersendiri tanpa lelaki yang dipanggil sayang.
"Bayangkan, saya langsung tidak akan terfikir soal kahwin hinggalah ada teman atau sesiapa saja yang mengingatkan saja, baru saya terfikir. Saya hanya sibuk dengan kerja yang bertimbun setiap hari dan memang tiada ruang pun untuk saya memikirkan soal kekasih.
"Kelakarnya, keluarga, peminat dan teman pula yang lebih risau berbanding saya. Mereka yang sibuk bertanya soal itu sedangkan saya selamba saja. Walaupun ramai orang sekeliling saya sudah berkahwin, ia tidak langsung merisaukan atau menakutkan saya," selorohnya.
Hidupnya lebih banyak diluangkan pada keluarga dan teman rapatnya.
"Teman adalah inspirasi hidup saya. Mereka menjadi teman waktu gembira dan sentiasa di sebelah ketika saya menangis. Percaya atau tidak, kami akan menjalankan pelbagai aktiviti bersama seperti bercuti atau melepak bagi mengisi waktu lapang.
"Kalau saya minta diri untuk pulang dulu, ada antara mereka akan berpesan, kerja untuk kawan," katanya tertawa besar mengingatkan perkara itu.
Angka 30 yang menggambarkan usianya kini tidak langsung mencuit jiwanya kerana masih bersendirian, sebaliknya jelas gadis yang pernah memiliki siri televisyen yang mengangkat namanya sendiri berjudul Fara ini, ulang tahun ke-30 pada 7 Februari lalu adalah titik tolak bagi sebuah permulaan baru dalam dirinya.
"Angka itu mencerminkan satu simbolik kematangan. Saya ingin mengejar sepantas mungkin mana yang tertinggal. Saya ingin kembali menguatkan kerjaya saya untuk satu tempoh tertentu yang ada dalam benak fikiran bagi menumpukan pada lapangan lain pula jika diberi keizinan.
"Soal jodoh atau lelaki, ia tidak langsung berkaitan dengan usia yang meningkat ini kerana saya percaya, jodoh itu pasti datang jika benar ia sudah tersurat," katanya.
Fara yang juga pengacara Melodi dan Alahai Fafau menyifatkan perubahan yang berlaku itu bukan sekelip mata atau usaha semalaman, sebaliknya kejayaan yang ditempa hari ini adalah hadiah atas kerja keras selama ini.
"Saya bermula dari bawah dan kerja yang dilakukan ketika itu sukar diceritakan kembali. Berpeluh-peluh setiap kali keluar bertugas bersama Skuad. Angkat kotak dan barang, memandu van, memunggah hadiah dan memanggil orang ramai untuk menyertai kuiz yang kami adakan bagi mempromosi stesen radio masa itu.
"Pendek kata, lebih kurang macam 'kuli' tapi tidak pernah saya merungut kerana duit yang dapat itulah yang banyak meringankan beban sepanjang melanjutkan pelajaran di universiti dulu.
"Kemudian atas kepercayaan stesen radio dan ketuanya ketika itu, Seelan Paul, saya diberi peluang mengendalikan program radio pula. Macam-macam yang saya pelajari dan pastinya pengalaman itu yang sentiasa diheret hingga hari ini. Pengajaran itu saya simpul menjadi semangat untuk terus bertapak di stesen Hot FM bersama warga kerja yang lain hingga kami diiktiraf stesen radio nombor satu negara.
"Justeru, tidak mudah untuk saya tenggelam dengan kejayaan dan kesenangan dimiliki hari ini kerana kenangan perjalanan saya untuk sampai ke tahap ini sentiasa ada dalam jiwa.
"Alhamdulillah, rezeki datang tidak putus-putus dan ganjaran diterima sangat berbaloi dengan pengorbanan diberi," katanya yang pernah menjulang anugerah Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian sejak tahun 2005 hingga yang terbaru April lalu.
Rencah hidupnya yang baru saja tampil dalam filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami selepas kejayaan filem pertamanya, Jin Notti bersama Mawi adalah disiplin dan selalu rasa bersyukur dengan apa saja terbentang di depan mata. Gandakan usaha dan usah malas mencari peluang bagi meningkatkan kualiti diri dan taraf hidup.
Bertanyakan impiannya di masa depan yang masih terbuku di hati, Fara menyatakan mungkin dirinya tidak selama-lamanya kekal sebagai selebriti, sebaliknya graduan jurusan Ijazah Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara ini teringin menyertai organisasi yang berperanan menjalankan kerja amal secara serius.
"Itu impian yang akan saya laksanakan selepas kehidupan benar-benar stabil. Setakat ini saya sibuk mengumpul duit untuk masa depan kerana tanggungjawab terhadap keluarga perlu dilunaskan terlebih dulu.
"Namun jauh di sudut hati, saya ingin melakukan kerja amal dan membantu orang lain yang memerlukan. Mungkin saya ingin menstruktur organisasi kerja amal sendiri yang boleh meringankan beban orang lain. Ini saja sumbangan yang mampu saya lakukan.
"Saya takut untuk merasa bosan kepada kerja yang penuh setiap hari. Alhamdulillah, saya belum jemu melakukan seribu satu kerja yang datang bertimpa-timpa," katanya yang kini terikat dengan Castrol selama tiga bulan sempena Castrol Football Worldcup.
Ayu rancang tunang
Oleh ISMA ISMAIL
isma@hmetro.com.my
2010/07/04
isma@hmetro.com.my
2010/07/04
“Buat masa ini saya mengaku memang kami merancang untuk bertunang dalam masa terdekat tetapi tarikhnya belum dapat dipastikan kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.
“Yang boleh saya katakan di sini, kami mungkin bertunang tahun ini juga. Kami perlu berbincang bagi mencari tarikh sesuai untuk majlis itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Menurutnya, dia juga belum berbincang untuk memilih lokasi bagi mengadakan majlis itu tetapi semuanya bergantung kepada jadual kerjaya masing-masing.
“Saya belum dapat katakan mengenai lokasinya kerana kami belum menetapkannya lagi... kini hanya menunggu untuk memilih tarikh sesuai dan kemudian baru memilih tempatnya pula.
“Dia (Mohd Zaquan Adha) kini sibuk dengan kerjaya, termasuk untuk pasukan Negeri Sembilan dan kebangsaan, saya pula dengan penggambaran drama bersiri atau telemovie.
“Kami perlu mencari ruang sesuai untuk berbincang mengenai pertunangan kami,” katanya yang baru selesai menjalani drama bersiri ‘Janji Kekasih’ untuk siaran di TV3.
Ayu Raudhah, 25, yang juga adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan sebelum ini sering menjadi perhatian kerana dikaitkan dengan Mohd Zaquan Adha yang turut mempunyai peminatnya tersendiri selepas menjadi tunjang kepada pasukan bola sepak kebangsaan, terutama ketika merangkul pingat emas Sukan Sea di Laos, tahun lalu.
Mohd Zaquan, 23, kelahiran Seremban, Negeri Sembilan kini sibuk menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menghadapi cabaran Sukan Asia di Guangzhou, China pada November depan serta Piala AFF di Hanoi, Vietnam serta Jakarta, Indonesia, Disember nanti.
Sebelum ini akhbar pernah melaporkan Ayu Raudhah mengakui menyukai Mohd Zaquan Adha kerana dia penyayang dan berwajah manis serta menyifatkannya lelaki terbaik untuknya, manakala penyerang pasukan kebangsaan itu pula menyatakan cintanya hanya untuk aktres itu.
Jelas Ayu Raudhah lagi, dia akan memaklumkan pihak media jika semua berjalan lancar dengan tarikh dan tempat berlangsungnya majlis itu ditetapkan.
“Kita mahu buat benda baik, buat apa nak disembunyikan dan saya akan beritahu apabila kami mencapai kata sepakat. Buat masa ini kami baru merancang untuk bertunang.
“Mengenai perkahwinan pula saya tidak dapat menjangka bila akan diadakan, biar selesai dulu pertunangan antara kami ini dan majlis pernikahan pula dibincangkan kemudian,” katanya.
Bunga tetap di hati
Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
2010/07/04
shamss@hmetro.com.my
2010/07/04
TIADA GUNDAH... Bunga dan Ashraf menunggu kelahiran anak pertama.
Katanya, perasaannya bercampur baur ketika ini dan dia gembira memandangkan Bunga bakal melahirkan anak pertama mereka tidak lama lagi.
“Syukur, ia bagai satu rahmat buat saya. Kebetulan pula, adik saya (Aishah) juga mengandung (tujuh bulan). Hanya sebulan jaraknya dengan Bunga.
“Yang pasti, ia menjadi khabar gembira buat kami semua (keluarga). Berdebar juga saya menanti saat-saat itu, apapun kami semua gembira ketika ini,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Ashraf berkata, sebagai persiapan menyambut kelahiran anak pertamanya, dia dan Bunga merancang berpindah ke rumah baru.
“Tidak sabar rasanya hendak berpindah ke rumah baru, walaupun ia tidak jauh dari rumah keluarga Bunga (di sekitar Kemang, Jakarta, Indonesia).
“Rumah ini sempena meraikan kedatangan ‘orang baru’ (anak) dalam hidup kami, serba-serbinya lengkap di rumah itu untuk kami sekeluarga, termasuk sebuah kolam renang. Seboleh-bolehnya saya ingin berpindah sebelum Bunga bersalin,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai desas-desus mengaitkan isterinya sebagai antara kenalan Ariel yang termasuk dalam koleksi 32 video didakwa memaparkan adegan lucah Ariel, Ashraf enggan mengulas.
Di Indonesia, selepas isu panas penyebaran video lucah Ariel Peterpan dengan Luna Maya dan Cut Tari, bertiup pula gosip mengaitkan Bunga dalam skandal terbabit.
Dalam sebuah laman web, video klip yang kononnya memaparkan aksi panas membabitkan Ariel dan Bunga dikatakan mula terjual di Manado, Indonesia dan laris berbanding jualan video Luna Maya/Ariel atau Cut Tari/Ariel.
Kenyataan pihak pengurusan Bunga menyatakan, gosip itu tidak benar sama sekali dan menafikan Bunga pernah menjalin hubungan bersama Ariel.
Malah akhbar kelmarin melaporkan, polis Indonesia mengesahkan klip video yang kononnya memaparkan adegan seks antara Ariel dan Bunga sebagai gosip dan didapati tidak benar.
Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis, Komisioner Jeneral Ito Sumardi membuat pengesahan itu ketika ditemui wartawan tempatan di ibu pejabat pasukan komando polis di Kelapa Dua, Depok, Jawa Barat, Jakarta, Khamis lalu.
Katanya, mereka menjalankan siasatan terperinci, termasuk kemungkinan klip itu tersebar dalam bentuk cakera padat video (VCD) seperti dilaporkan media sebelum ini termasuk di Manado, Sulawesi Utara.
“Saya sudah lihat semua (VCD) itu,” kata Ito.
Mengenai perkembangan kariernya di Indonesia, Ashraf berkata, dia sibuk dengan penggambaran sinetron bertajuk Sejuta Cinta Marshanda (SCM) yang kini ditayang di kaca televisyen Indonesia.
Bagaimanapun, katanya, meskipun dibebani jadual ketat harian dalam dunia lakonan, dia tidak menafikan merindui Malaysia dan berhasrat kembali ke sini dalam masa terdekat ini.
“Lagi pula, saya ada program hendak dijalankan di Kuala Lumpur bersama syarikat, SinclairFalak Sdn Bhd, iaitu program Acting Saved My Life pada 31 Julai ini.
“Program itu berkaitan dunia lakonan dan saya bakal menjadi jurucakap untuk program itu bersama Sazzy Falak dan adik saya, Aishah. Bukan setakat itu, artis lain juga bakal memeriahkan program terbabit,” katanya.
Luna, Cut mungkin jadi tertuduh
2010/07/05
Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Marwoto Soeta, berkata keputusan itu bergantung kepada hasil siasatan kes berkenaan yang dibuat sejak dua minggu lalu.
“Ya, mungkin status mereka akan dinaikkan sebagai tertuduh,” katanya, semalam.
Menurut Marwoto, walaupun selepas dianggap sebagai tertuduh, kedua-dua selebriti televisyen itu mungkin tidak akan ditahan polis.
“Polis boleh menahan mereka, tetapi setakat ini belum ada keperluan untuk itu,” katanya.
Marwoto berkata, sebelum ini penyiasat kes itu bersedia mengenakan tuduhan ke atas Cut Tari, 32, dan Luna Maya, 26, tetapi belum melaksanakannya setakat ini.
Katanya, tuduhan itu sama dengan yang akan dikenakan ke atas Ariel, 28, iaitu Akta 29 Undang-undang Pornografi dan Akta 27 Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik.
Sementara itu, peguam Ariel dan Luna, OC Kaligis, berkata keputusan untuk penukaran status itu adalah urusan polis, namun setakat diketahuinya, Luna masih dianggap saksi.
“Saya baru bertemu Luna dan belum dimaklumkan sebarang perubahan status,” katanya.
Sebelum ini, polis menyatakan, ujian fizikal ke atas Ariel, Cut Tari dan Luna Maya dilengkapkan dan ketiga-tiga mereka memiliki banyak persamaan dengan watak dalam klip video menggemparkan itu.
Apabila ditanya sama ada identiti ketiga-tiga mereka memang pada paras 99 peratus, Marwoto berkata, kini polis yakin untuk menambah 0.9 peratus lagi. - Agensi
No comments:
Post a Comment