HIBURAN
Babak bogel Zul lulus!
SELEPAS dunia perfileman dikejutkan dengan kontroversi aktor Arja Lee berbogel dalam filem ... Dalam Botol, kini tiba pula giliran vokalis kumpulan Handy Black yang sebelum ini dikenali sebagai Zul Handy Black.
Hanya berbekalkan sebuah filem seram iaitu Mantra yang telah menemui penonton di pawagam bermula semalam, namanya secara tiba-tiba meraih perhatian.
Bukan hanya kerana filem itu merupakan filem pertama yang mengangkat Zul atau kini dikenali sebagai Zul Suphia'an sebagai pelakon utama untuk watak Muzir, iaitu seorang pengamal ilmu hitam.
Bahkan filem juga menimbulkan kontroversi apabila Zul,35, dengan beraninya berlakon tanpa seurat benang dalam satu adegan pemujaan.
Adegan bogel yang cukup sensitif belum menjadi satu kewajipan dalam minda masyarakat Malaysia dan ia ternyata memberi impak yang cukup besar untuk buah tangan terbaru pengarah Azhari Mohd. Zain itu.
Filem Mantra yang turut dilakonkan Hasnul Rahmat dan Ana Dahlia itu bagaimanapun lulus bersih daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) meskipun diklasifikasikan sebagai 18. Ini bermakna adegan bogel Zul itu lulus untuk dipertontonkan kepada penonton filem!
Dia yang ditemui baru-baru ini memberitahu, tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil untuk berbogel dalam filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta itu.
Kosmo!: Apa yang menyebabkan Zul berani untuk melakonkan adegan bogel itu?
Zul: Saya telah diberitahu awal tentang adegan bogel. Sebelum bersetuju untuk melakukannya saya bertanya terlebih dahulu kepada pengarah dan penulis skrip (Shahriman Wahab) sama ada adegan ini benar-benar perlu atau tidak. Selepas berbincang, adegan bogel sangat perlu kerana ia salah satu ritual dalam amalan ilmu hitam. Pengarah mahu beri gambaran yang jelas tentang ilmu hitam, kalau hanya guna tengkorak atau makan kemenyan, itu sudah biasa dilakukan, jadi kami tampil dengan satu yang lebih realiti.
Apabila Zul borbogel dalam filem, ia tidak secara langsung memberi promosi percuma kepada filem Mantra. Tidakkah ia kelihatan seperti sengaja menimbulkan kontroversi murahan?
Kalau setakat mahu timbulkan kontroversi murahan, saya tidak sanggup buat adegan bogel. Banyak lagi cara boleh timbulkan kontroversi selain berbogel. Saya lakukan kerana perlu dan ingin beri kesedaran kepada penonton apa akibatnya apabila terjebak dengan ilmu hitam.
Adakah Zul sememangnya orang yang tidak kisah dengan pandangan orang lain atau terlalu berani?
Saya memang berani. Berani kerana saya buat benda yang betul. Semasa bersetuju dengan pengarah untuk adegan bogel saya sudah sedia dengan segala tohmahan dan kritikan yang akan saya terima.
Mungkinkah Zul lakukannya kerana terdesak atau dipaksa sesiapa?
Tidak. Saya lakukan dengan rela hati, tiada paksaan daripada mana-mana pihak. Kalau untuk populariti memang tidak benar kerana saya sudah popular dengan lagu Kau Yang Bernama Seri 10 tahun dulu. Saya berbogel kerana bersebab. Jangan sampai jadi seperti Ariel Peterpan sudahlah (ketawa).
Bagaimana perasaan Zul ketika melakonkan adegan itu di hadapan krew produksi?
Saya akui, saya gementar bila lakonkan adegan itu. Namun, dalam masa yang sama saya bersyukur kerana kerjasama yang diberikan oleh seluruh tenaga produksi. Saya bukan berbogel sepanjang masa ketika penggambaran, saya pakai seluar ketat dan tuala. Hanya ketika penggambaran hendak dimulakan baru saya tanya kepada pengarah posisi mana yang dia mahukan. Apabila saya sudah berada dalam posisi itu, baru saya tanggalkan seluar dan tuala serta tutup mana yang patut. Habis sahaja penggambaran krew akan terus membalut tubuh saya dengan tuala.
Rela berbogel untuk kali kedua?
Saya tidak tahu lagi kerana saya perlu meneliti skrip terlebih dahulu. Kalau saya buat pun tidak akan melebihi apa yang saya lakukan dalam filem Mantra kerana itu sudah paling maksimum saya beri.
Ceritakan pengalaman ketika menjalani penggambaran filem Mantra.
Kalau hendak tahu sepanjang penggambaran kami semua dikelilingi makhluk halus. Saya diganggu dua, tiga minggu sebelum penggambaran lagi iaitu ketika saya perolehi skrip. Saya ingat saya seorang saja yang kena rupa-rupanya pengarah dan Hasnul juga mengalami pengalaman yang serupa.
Benarkah semua mantera yang digunakan dalam filem Mantra merupakan mantera sebenar untuk memanggil makhluk halus?
Semua mantera yang digunakan adalah mantera betul untuk memanggil makhluk halus dalam bahasa Jawa. Bila tiba bab mantera itu sahaja tiba-tiba sahaja angin yang kuat akan datang. Bayangkan hari-hari saya baca mentera itu, secara tidak langsung saya memanggil makhluk halus untuk datang. Saya juga rasa dimasuki makhluk halus kerana lokasi penggambaran di Lenggong, Perak, merupakan kubur lama yang berusia 500 tahun, selain Penjara Pudu. Pengarah juga melihat saya dan Hasnul berbual dalam bahasa Jawa pada malam hari di bilik selepas penggambaran selesai sedangkan kami berdua tidak tahu bahasa Jawa dan tidak ingat langsung kejadian itu
No comments:
Post a Comment