HIBURAN
Scha bukan tomboi, Awal bukan gay
BUKAN lagi rahsia. Satu Malaysia kini tahu pelakon dan hos popular, Awal Ashaari, 29, dan Scha Al-Yahya, 27, sedang enak dilanda asmara. Membentuk ikatan istimewa sejak 11 bulan lalu, mereka kini sepakat mahu mengakhiri hubungan itu dengan ikatan perkahwinan tidak lama lagi.
Kebetulan bertemu dua pelakon ini di sebuah majlis, biar pada awalnya mereka menolak untuk membuat fotografi bersama, namun Awal dan Scha akhirnya akur. Beberapa gambar mereka berdua buat pertama kali dirakamkan, dan pasangan ini membuka cerita tentang rencana masa depan bersama.
Di kaca televisyen, gandingan mereka boleh disaksikan dalam telefilem sempena hari kemerdekaan berjudul Prebet Jamilah arahan Michael Ang. Peminat boleh menyaksikan wajah Scha menerajui watak Kamilah manakala Awal sebagai Kapten Aziz pada 31 Ogos ini di Astro Ria (saluran 104).
Apa yang membuatkan kalian mula berani dan punya keyakinan untuk bercerita kisah percintaan ini kepada khalayak?
SCHA: Selepas kami secara rasmi bercinta, saya mula bersikap terbuka untuk berkongsi hal ini kepada pihak media. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Tiada sebab lagi untuk saya menyembunyikan hubungan ini. Apabila ada orang bertanya, lebih baik saya berterus terang saja. Hati juga lebih tenang dan lapang dada. Tidak perlu lagi saya mengeluarkan kenyataan masih mengenali hati budi sebagai senjata untuk melindungi perkara sebenar. Malah, apabila jalan berdua sekarang, tiada lagi yang membuat pelbagai spekulasi kerana sudah tahu kami memang bercinta.
AWAL: Ini bukan soal rahsia atau selama ini kami cuba menyembunyikan perkara sebenar. Pada masa itu, kami baru berkawan dan mengenali hati budi masing-masing. Tetapi, apabila sampai satu tahap kami mula serius dan selesa, baru saya dan Scha boleh berkongsi dengan umum. Lagipun, sebelum ini ada pelbagai cerita tidak benar tentang kami lebih-lebih lagi semasa kontroversi Scha putus cinta dengan Fahrin dan saya dianggap sebagai orang ketiga. Justeru, kami bersepakat untuk berterus terang mengenai hubungan istimewa ini.
Berapa lama kalian mengenali antara satu sama lain sebelum mengambil keputusan untuk bercinta?
S: Saya mula kenal Awal ketika menyertai pertandingan Dewi Remaja kira-kira dua tahun lepas. Selepas itu, kami mengacarakan program Sehati Berdansa bersama Fahrin Ahmad. Sebenarnya, saya berpisah dengan Fahrin sudah lama, cuma ramai tidak tahu kebenarannya.
A: Saya kenal Scha kira-kira empat tahun lalu sewaktu menjalankan tugas sebagai hos Dewi Remaja. Selepas itu, Scha bersahabat dengan kawan-kawan saya dan kami sekadar lepak beramai-ramai. Tidak terkecuali, kami bertemu lagi dalam acara-acara formal hiburan sehingga dapat peluang mengacara Sehati Berdansa bersama. Waktu itu, dia baru putus cinta. Kami mula jadi rapat sebab dia banyak meluah masalah kepada saya. Daripada situ, selepas dia tidak terikat dengan teman lelaki, kami mula keluar sama dan mula berkenalan lebih rapat.
Bagaimana hubungan ini boleh terjalin intim?
S: Awal melayan wanita dengan baik sekali. Perangainya yang sopan santun membuatkan dia sangat memahami hati perempuan. Terus terang, saya suka membebel manakala Awal pula lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Paling menarik, kami berkongsi minat sama seperti suka membeli-belah dan bercuti.
Awal: Scha merupakan wanita yang mampu menenangkan jiwa saya. Sejujurnya, saya sebelum ini cepat marah. Tetapi, dia bijak mengimbangi saya dalam apa jua keadaan. Kini, saya jadi lebih santai, relaks dan lebih suka jadi pendengar. Scha juga tidak macam sesetengah perempuan lain yang merimaskan atau merajuk tidak tentu fasal. Dia berjaya mengubah sikap saya yang tidak gemar berkonfrontasi apabila berdepan masalah. Kalau kami ada sedikit salah faham, Scha akan terus berjumpa dan bertanya sendiri kepada saya.
Kalian serius ingin berumah tangga?
S: Saya berhasrat hendak ada cahaya mata sendiri sebelum berusia 30 tahun. Sekarang, umur saya sudah menjangkau 27 tahun. Awal juga bercadang untuk menamatkan zaman bujang menjelang angka 30. Dalam perkara ini, kami telah sepakat untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Emak saya juga tidak mahu kami bertunang lama. Dia mahu sehari selepas bertunang kami terus dinikahkan.
Awal: Tidak dinafikan, golongan wanita memang selalu teruja memikirkan tarikh atau apa jua berkaitan perkahwinan. Saya pula tidak gemar menyasar bila mahu menamatkan zaman bujang kerana ia hanya membuatkan kita rasa kelam-kabut dan tertekan. Sebolehnya, saya tidak mahu mencanangkan tentang hal pernikahan kerana lebih manis kalau keluarga kedua belah pihak bercakap lebih lanjut tentang hal ini. Ya, saya dan Scha ada membincangkan impian untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi, jangan risau, jika sudah sampai masanya, saya akan beritahu juga.
Banyak pihak selama ini mentafsir Awal sebagai gay. Dan perwatakan Scha pula cenderung kepada tomboi. Adakah hubungan kalian hanya satu cermin sebenarnya?
S:Ya Allah, Ya Tuhanku. Scha akui Awal seorang jejaka yang bersopan santun. Tetapi ini tidak bermakna dia lelaki lembut. Saya pula, dikatakan mempunyai sikap kontra dengan Awal iaitu kasar dan macam tomboi. Lagipun, buat apa kami hendak menipu orang ramai. Saya pernah dengar juga tentang isu mengarut ini. Kalau dilayan sangat, ia jadi besar pula nanti. Lebih baik saya, Awal, keluarga dan kawan-kawan terdekat yang tahu hakikat sebenar. Biar saya kenal Awal daripada mata sendiri berbanding mata orang lain.
Awal: Saya tidak perlu membuang masa buat perkara tidak berfaedah seperti ini kerana ia melibatkan banyak pihak iaitu Scha, saya dan famili kami. Sejak melibatkan diri dalam industri ini, saya terbiasa dengan persepsi sebilangan pihak menilai luaran tanpa mengetahui siapa diri kita sebenarnya. Kalau Scha buang masa bercinta dengan saya, rasanya sudah lama dia meninggalkan saya. Kami sudah bercinta sejak 11 bulan lalu. Malah, hubungan saya dan Scha semakin erat sekarang. Yang penting, saya tidak perlu memberi penjelasan panjang lebar asalkan Scha, keluarga dan teman-teman baik mengetahui sedalam-dalamnya tentang sebenar saya. Dan ya, orang memang suka bercakap hal yang negatif.
Bagaimana dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti?
S: Saya dan keluarga belum memutuskannya lagi. Ada juga cadangan hendak bercuti bersama mereka ke Pulau Langkawi atau Singapura. Namun, kena tengok jugalah pada bajet. Saya bercuti selama seminggu. Sebenarnya, saya tidak kisah beraya di mana asalkan dapat meluangkan waktu berkualiti dengan keluarga. Sekarang, hendak bertemu keluarga agak sukar sebab sibuk dengan jadual penggambaran.
Awal: Sebaik saja sampai tahap bercinta dengan Scha, saya harus berbagi waktu untuk bertemu keluarga dia di Sungai Petani, Kedah. Biarpun belum lagi mendirikan rumah tangga, saya rasa inilah masa terbaik untuk kenal lebih erat sanak saudaranya sementelah sebelum ini kami sentiasa sibuk dengan komitmen seni. Saya juga akan bawa Scha bertemu keluarga dan saudara mara sendiri di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor sepanjang dua minggu bercuti hari raya ini.
PUASA TAK ABIS LAGI DAH BUAT MAKSIAT...BOLEH KE TAK PAKAI TUDUNG DAN BERCAMPUR LELAKI PEREMPUAN...ATAU ARTIS NI HUKUM HAKAM ALLAH MAIN BELASAH AJE...TAK KAN HUKUM BEGINI TAK TAHU HARAMYA...
HIBURAN
Album raya versi Suria FM
SELEPAS merakam lagu medley untuk dinyanyikan pada Konsert Kemuncak Suria FM 2010 berlangsung di Dataran Putrajaya pada 24 Julai lalu, para penyampai dari stesen radio popular, Suria FM buat kali kedua memasuki studio bagi merekod lagu dimuatkan ke dalam sebuah album raya.
Seramai lapan pasukan Suria FM - Halim Othman, Linda Onn, Lynn, Bob, Zizi, Myra, Tuah dan Naim yang terlibat dalam pembikinan album mengangkat judul Ceria Raya. Lagu berjudul Suria Di Pagi Raya dilagukan oleh Halim, Linda dan Zizi manakala Sebulan Berhari Raya (Bob/Halim/Linda/Lynn/Myra/Naim/Tuah/Zizi).
Selain dua lagu tersebut, Ceria Raya turut diisi dengan himpunan lagu raya malar-segar termasuk Selamat Hari Raya nyanyian Puan Sri Saloma, Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Balik Kampung (Datuk Sudirman Arshad) dan Pulanglah (Aishah).
Mengulas tentang album raya itu, Pengarah Strategi dan Latihan Suria FM, Subarma Mohtaruddin memberitahu, idea Ceria Raya muncul selepas menyaksikan atmosfera ramai artis menghasilkan lagu raya tidak kira nyanyian semula lalu diolah dalam nafas baru atau lagu sendiri.
"Lantaran itu, Suria FM menganggap ia sebagai peluang yang baik ditambah dapat menjalankan kerjasama erat dengan NSR Records serta Tesco (M) Sdn. Bhd. Malah, tidak salah kalau penyampai kami yang sebelum ini terkenal dengan celoteh masing-masing ddalam konti, mula menunjukkan bakat menyanyi.
"Kerana itu, kami melancarkan dua lagu baru dalam Ceria Raya bagi memeriahkan sambutan perayaan ini tidak lama lagi. Lagipun, tidak salah untuk mencipta kelainan. Koleksi lagu ini sebagai hadiah kepada orang ramai," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran naskhah berkenaan di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Mencuri masa selama tiga hari untuk menyudahkan proses rakaman dua lagu raya itu, jelas Subarma, Ceria Raya yang dicetak sebanyak 15,000 keping tidak dijual di kedai-kedai muzik sepertimana album lain. Ia secara eksklusif hanya boleh diperoleh di Tesco Mall terpilih di negara ini.
"Kepada peminat, mudah sahaja caranya untuk mendapatkan Ceria Raya. Menerusi pembelian barangan bernilai RM50 ke atas di mana-mana kedai penyewa dalam premis Tesco, mereka boleh menebus resitnya dengan sekeping album berkenaan," katanya yang turut mengatakan tarikh penebusan ditetapkan pada 28 dan 29 Ogos ini serta 4 dan 5 September 2010.
Selain itu, peminat boleh mendapatkan Ceria Raya dengan menyertai peraduan ke udara di Suria FM menerusi Krew Suria Wheels yang membuat kemunculan (Exclusive Stop) di beberapa lokasi terpilih. Untuk mengetahui tempat, tarikh dan masa Exclusive Stop Krew Suria Wheels, sila layari laman web Suria FM di www.suriafm.com.my.
No comments:
Post a Comment