DUNIA
Ikan 'berkaki empat'
JAKARTA - Seekor ikan 'berkaki empat' ditemui di dalam laut pada kedalaman lebih 500 meter di Wilayah Sangihe Talaud dekat perairan Indonesia, lapor sebuah akhbar semalam.
Kaki ikan itu sebenarnya sirip tetapi semasa ia berada di lantai laut, sirip tersebut bertindak seperti kaki untuk mengimbangi pergerakan.
Imej ikan itu dirakamkan oleh sebuah kenderaan robotik yang dilengkapi kamera dalam projek sekumpulan saintis termasuk dari Amerika Syarikat untuk meninjau kehidupan marin di laut dalam.
Gambar seekor ikan seperti jerung turut dirakamkan selain hidupan laut seperti tumbuhan berwarna merah. - Agensi
DUNIA
Tengok rumah dipecah menerusi iPhone
DALLAS, Amerika Syarikat - Seorang lelaki yang sedang bercuti 2,253 kilometer (km) dari rumahnya di sini menghubungi talian kecemasan 911 setelah dia melihat skrin pada telefon bimbit iPhone yang menunjukkan dua perompak memecah masuk ke kediamannya itu untuk merompak, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki itu, Vince Hunter menggunakan peralatan iCam yang berharga £2.60 (RM8.17) menyebabkannya boleh memantau penceroboh walaupun dia tidak berada di rumahnya baru-baru ini.
Dia mendapat maklumat mengenai pencerobohan itu selepas satu alat pengesan mendapati terdapat pergerakan dalam rumah menyebabkan alat tersebut menghantar mesej amaran kepadanya.
Hunter turut melihat kejadian di rumahnya itu menerusi iPhone yang menunjukkan dua perompak memakai sarung tangan manakala cermin pintunya pecah selepas dibaling dengan batu.
Dia yang berada di Connecticut untuk melawat ibu bapanya kemudian menghubungi talian 911 setelah melihat kejadian tersebut.
Dua perompak itu kemudian melarikan diri tanpa sempat melarikan barangan setelah beberapa anggota polis tiba di rumah tersebut. - Agensi
DUNIA
Air terjun bertukar jadi merah
OTTAWA - Air terjun di Cameron Falls, Alberta, Kanada tiba-tiba bertukar menjadi warna merah seperti buah tomato selepas hujan lebat, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar air terjun yang bertukar menjadi merah itu dirakamkan oleh seorang ibu dua anak, Rochelle Coffey yang bercuti bersama keluarganya.
Rochelle tidak menyangka dia dapat melihat fenomena alam semula jadi itu.
Air terjun itu bertukar menjadi merah kerana hujan lebat menyebabkan endapan pada batu-batu mengalir ke dalam kawasan air terjun sekali gus mengakibatkan perubahan warna berlaku. - Agensi
No comments:
Post a Comment