Thursday, August 26, 2010

NI KESAN PERGAULAN BEBAS TIADA BATAS TERMASUK ORANG ISLAM YANG MENGETAHUI HUKUM HARAM TAPI BUAT JUGA



Kes Daphne dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

25/08/2010 9:55pm

KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kes saman peribadi berhubung dakwaan memikat model dan pengacara TV Daphne Iking dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak memutuskannya selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak yang terlibat dan mendapati terdapat merit dalam kes itu.
Ini adalah kerana terdapat tujuh isu membabitkan Perlembagaan Persekutuan selain dakwaan bahawa peruntukan undang-undang yang digunakan dalam kes itu merupakan diskriminasi kepada kaum lelaki yang perlu diputuskan terlebih dahulu oleh mahkamah itu.
Darren Choy, 44, ahli perniagaan, telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos tahun lepas terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonannya supaya kes saman peribadi itu didengar di hadapan majistret lain.
Bekas suami Iking, Ryan Chong, telah mengemukakan saman peribadi itu terhadap Choy kerana memikat Iking, 30, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam prosiding itu, Choy diwakili peguam-peguam Jagjit Singh, Akbardin Abdul Kader dan Datuk Cyrus Dass manakala Chong diwakili peguam Wong Kian Kheong.
Pada Ogos tahun lepas, Majistret Mohd Faizi Che Abu telah membenarkan Chong mengemukakan saman peribadi itu setelah pihak pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Choy dengan alasan ia merupakan isu peribadi antara suami dan isteri.
Pada 9 Dis lalu, Choy memohon supaya Majistret Mohd Faizi menarik diri daripada mendengar kesnya bagi mengelak berlaku prejudis kerana majistret itu telah mengambil aduan daripada Chong sebelum ini.
Choy turut memohon untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi tujuh persoalan Perlembagaan bagi menentukan sama ada prosiding saman peribadi terhadapnya adalah sah daripada segi Perlembagaan.
Iking berkahwin dengan Chong, 31, pada 27 Jan 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Isobel Daniella, berusia dua tahun. Pasangan itu bagaimanapun bercerai tahun lepas.
Antara tujuh persoalan yang perlu diputuskan ialah sama ada Seksyen 498 itu merupakan satu undang-undang yang berat sebelah, diskriminasi kepada kaum lelaki, menjadikan kaum lelaki sebagai sasaran untuk liabiliti jenayah dan bertentangan dengan Artikel 8(1) dan (2).
Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga perlu memutuskan sama ada seksyen itu juga bertentangan dengan Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang mana ia telah merampas kebebasan seorang lelaki untuk berkawan atau berhubungan dengan wanita yang telah berkahwin.
Turut perlu diputuskan ialah sama ada Seksyen 498 merupakan satu peruntukan undang-undang yang tidak munasabah dan kuno kerana membawa tanggapan bahawa kaum wanita tidak ubah seperti barang dan tidak mempunyai keupayaan untuk menjalin persahabatan dengan lelaki secara rasional. — Bernama


No comments:

Post a Comment