Penuntut IPTS khalwat ketawa ketika dicekup Jaim
2010/06/24
Pasangan yang masing-masing berusia 19 tahun itu dicekup sepasukan lima pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Taman Desa Baru, dekat sini.
Mereka dikatakan masih boleh tersenyum sambil ketawa ketika pemeriksaan dilakukan dalam bilik tempat mereka dipercayai berkurung.
Malah, remaja perempuan itu pula dengan selamba memberitahu sanggup keluar dari asrama penginapannya semata-mata mahu tinggal sebilik dengan kekasihnya itu sejak tiga hari lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata selepas menerima aduan, pihaknya bergegas ke rumah terbabit untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, selepas memberi salam dan mengetuk pintu, seorang lelaki membukanya lalu pemeriksaan lanjut di bahagian atas rumah menemui seorang remaja perempuan dalam sebuah bilik.
“Pemeriksaan lanjut hanya menemui mereka berdua dan apabila disoal siasat, pasangan terbabit mengaku tinggal berdua-duaan dalam satu bilik sejak tiga hari lalu.
“Malah, mereka didapati bukan mahram sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, yang dikesali ketika ditahan, pasangan terbabit menunjukkan reaksi seolah-olah tidak bersalah.
Katanya, apabila ditanya mengapa tersenyum, pasangan terbabit dengan selamba menjawab: “Entah, saya pun tak tahu kenapa boleh gelak”.
“Apabila ditanya pegawai penguat kuasa Jaim, adakah perbuatan dilakukan itu menyalahi hukum agama, mereka mengakui tahu mengenainya,” katanya
Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati remaja perempuan berkenaan memberitahu dia datang ke rumah teman lelakinya itu selepas diminta tinggal bersama.
“Malah, kami turut menemui beberapa pakaian remaja perempuan berkenaan yang dibawa sekali untuk tinggal di rumah berkenaan.
“Kedua-dua pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-dua sekali,” katanya
No comments:
Post a Comment