Kebebasan berlebihan punca gejala seks
oleh Faridzwan Abdul Ghafar
2010/06/21
Masalah melanda remaja perlu ditangani secara bersepadu, terap nilai IslamKUALA LUMPUR: Kekurangan penerapan dan latihan akhlak yang baik menyebabkan gejala salah laku seks berlaku di kalangan remaja.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata disebabkan itu, ajaran Islam tidak masuk ke dalam jiwa remaja menyebabkan mereka tidak takut melakukan maksiat.
“Kita kena kaji sistem pendidikan dari segi penerapan nilai Islam supaya anak muda kita berakhlak. Untuk menangani gejala keruntuhan akhlak anak muda mesti ada usaha bersepadu dari semua pihak.
“Kita memberikan kebebasan yang berlebihan kepada remaja hari ini dan saya menyarankan kita sekat sikit internet seperti yang dilakukan China dan Pakistan demi menjaga akhlak anak muda kita,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau diminta mengulas laporan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) bahawa lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin.
Kajian itu juga menyatakan, sebahagian besar golongan remaja berkenaan mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata remaja terbabit dengan gejala salah laku seks kerana tidak mendapat hidayah Allah walaupun mereka mengetahui hukum agama dan dosa melakukan zina.
“Sebab utama perkara sedemikian kerana remaja kita tidak menjaga solat dan kurang mengunjungi tempat seperti masjid atau majlis ilmu. Hukum Islam pada kelompok remaja berkenaan hanya menyentuh telinga saja dan bukannya jiwa mereka.
“Selain itu, cara ibu bapa mendidik anak dengan corak Barat turut menyumbang kepada masalah berkenaan disamping keengganan mereka mendengar saranan ulama untuk mengatasi gejala maksiat,” katanya.
Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din, berkata kajian terbaru UPM itu boleh memberi kesedaran kepada masyarakat terutama ibu bapa mengenai realiti remaja sekarang yang mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.
“Saya menyeru kepada ibu bapa supaya mengambil tindakan dengan memantau aktiviti anak serta meningkatkan pengawasan lebih-lebih lagi ibu bapa yang mempunyai anak gadis.
“Islam menyanjung tinggi remaja yang menjalani kehidupan dengan berlandaskan agama dan bukannya hawa nafsu,” katanya.
No comments:
Post a Comment